Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah kesan dan bala bagi mereka yang mengikut hawa nafsu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sikap menuruti hawa nafsu adalah selama-lamanya membawa kepada kebinasaan. Ibn Abbas R.Anhuma berkata: “Tidak dinyatakan ungkapan (هَوَى) dalam al-Quran melainkan dengan celaan.” (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/257)

Berikut adalah celaan Allah SWT terhadap (هَوَى) iaitu:

Firman Allah SWT:

وَلَـٰكِنَّهُۥٓ أَخْلَدَ إِلَى ٱلْأَرْضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ ۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلْكَلْبِ إِن تَحْمِلْ عَلَيْهِ يَلْهَثْ أَوْ تَتْرُكْهُ يَلْهَث ۚ

Maksudnya: “Tetapi dia bermati-matian cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka dirinya itu ibarat seekor anjing; jika engkau menghalaunya ia menjelirkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau membiarkannya pula ia tetap juga menjelirkan lidahnya termengah-mengah.”

(Surah al-A‘raf: 176)

Firman Allah SWT:

وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ وَكَانَ أَمْرُهُۥ فُرُطًۭا

Maksudnya: “Lalu dia mengikut hawa nafsunya dan segala urusannya melampaui batas.”

(Surah al-Kahfi: 28)

Firman Allah SWT:

بَلِ ٱتَّبَعَ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوٓا۟ أَهْوَآءَهُم بِغَيْرِ عِلْمٍۢ ۖ فَمَن يَهْدِى مَنْ أَضَلَّ ٱللَّهُ ۖ وَمَا لَهُم مِّن نَّـٰصِرِينَ

Maksudnya: “Malahan orang-orang yang zalim itu telah mengikuti hawa nafsu mereka tanpa ilmu pengetahuan. Maka, siapakah yang mampu memberi hidayah kepada orang yang telah disesatkan oleh Allah? Dan mereka sama sekali tidak mempunyai penolong.”

(Surah al-Rum: 29)

Firman Allah SWT:

وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّنِ ٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ بِغَيْرِ هُدًۭى مِّنَ ٱللَّهِ ۚ

Maksudnya: “Dan tidak ada orang yang lebih sesat daripada orang yang hanya menurut hawa nafsunya tanpa mendapat petunjuk daripada Allah.”

(Surah al-Qasas: 50)

Firman Allah SWT:

وَلَا تَتَّبِعِ ٱلْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌۭ شَدِيدٌۢ بِمَا نَسُوا۟ يَوْمَ ٱلْحِسَابِ

Maksudnya: “Dan janganlah engkau mengikut hawa nafsu; kerana ia akan menyesatkanmu daripada jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat daripada jalan Allah akan mendapat azab yang dahsyat.”

(Surah Sad: 26)

Berdasarkan ayat-ayat ini, Allah SWT menjelaskan berkenaan bala dan akibat bagi mereka yang menjadikan hawa nafsu mereka sebagai ikutan mereka. Justeru, setiap orang wajib berjuang melawan hawa nafsu (mujahadatu linafsihi) dan ia merupakan salah satu keperibadian yang harus ada pada diri seorang daie kerana setiap manusia memiliki kecenderungan pada melakukan perkara baik atau buruk. Melaksanakan kecenderungan pada perkara yang baik dan menghindari yang buruk amat menuntut adanya kesungguhan dan kesungguhan itu akan ada di dalam seseorang yang berjuang dalam melawan hawa nafsu.

Oleh kerana itu, hawa nafsu yang ada pada setiap diri manusia itu dapat ditundukkan dalam ajaran Islam. Rasulullah SAW bersabda:

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُونَ هَوَاهُ تَبَعًا لِمَا جِئْتُ بِهِ

Maksudnya: “Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga ia menjadikan hawa nafsunya mengikut apa yang aku bawa (ajaran Islam).”

Riwayat Ibn Abu ‘Asim dalam al-Sunnah (15), al-Khatib dalam Tarikh Baghdad (4/368), dan al-Baihaqi dalam al-Madkhal ila al-Sunan al-Kubra (209). Imam al-Nawawi menyatakan dalam al-Arba’in al-Nawawiyah (41) bahawa hadith ini hasan sahih

Janganlah kita mengikuti jejak langkah mereka yang mengingkari hari pembalasan setelah terdapatnya bukti-bukti yang jelas di sekeliling kita yang menunjukkan akannya. Justeru, perkara itu, tidak lain tidak bukan hanyalah akan menampakkan lagi betapa bodoh dan ceteknya akal kita.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Leave a Reply