Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah maksud istiqamah, tahapnya dan dalilnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Istiqamah bermaksud menjalankan sesuatu suruhan secara terus menerus termasuk urusan agama. Istiqamah ialah komited dengan sentiasa melazimkan diri mentaati Allah SWT. Istiqamah memerlukan kesedaran, penghayatan dan perhatian tentang batas-batas kehidupan secara berterusan serta pengendalian emosi manusia yang sentiasa cenderung ke arah sedikit atau banyak.

Bagi memastikan istiqamah tercapai, terdapat tiga tahap perlu kita lalui iaitu:

  • Istiqamah hati iaitu keadaan di mana kita sentiasa teguh mempertahankan kesucian iman dan memelihara hati daripada perkara-perkara syirik, menjauhkan diri daripada sifat-sifat tercela dan menyuburkan diri dengan perkara-perkara terpuji.
  • Istiqamah lisan iaitu memelihara lisan daripada ungkapan celaan dan tutur kata keji, berkata benar, jujur dan tidak berpura-pura, tidak berdolak dalik dan sebagainya.
  • Istiqamah perbuatan iaitu ketekunan kita dalam melakukan perbuatan sehingga mencapai kejayaan yang diredhai Allah sehingga lahir sikap dedikasi dan konsisten tanpa timbul rasa kecewa, lemah semangat dan putus asa.

Dalil berkaitan gesaan istiqamah

Sayyid Qutub mengupas pentafsiran dalam ayat 112, Surah Hud tentang peri pentingnya sikap istiqamah dalam menjalankan perintah Allah SWT tanpa melampaui batas dan berlebihan kerana sikap ini akan mengeluarkan agama Islam daripada tabiatnya kepada  mengabaikan dan mengurangkannya. Ini merupakan satu isu yang besar nilainya untuk memastikan jiwa manusia sentiasa dipandu ke jalan yang lurus supaya tidak terseleweng kepada sikap berlebih-lebihan atau mengabaikan.  Sebagaimana firman-Nya:

فَٱسْتَقِمْ كَمَآ أُمِرْتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا۟ ۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌۭ

Maksudnya: Maka dengan itu, beristiqamahlah kamu di jalan yang benar; seperti yang diperintahkan kepada kamu dan orang yang bertaubat bersamamu; dan janganlah sesekali melampaui batas-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Melihat setiap apa yang kamu lakukan.

(Surah Hud: 112)

Diriwayatkan daripada Abu Amru – atau digelar juga Abu ‘Amrah Sufyan bin Abdullah al-Thaqafi R.A, katanya: “Aku berkata:

يَا رَسُوْلَ اللهِ! قُلْ لِي فِي الإسْلَامِ قَوْلًا لَا أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا غَيْرَكَ. قالَ: قُلْ: آمَنْتُ بِاللهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ.

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, ajarlah kepadaku berkenaan Islam, perkataan yang tidak perlu aku bertanya seseorang pun selainmu.” Sabda Baginda: Katakanlah ‘ آمَنْتُ بِالله ‘ (Aku beriman kepada Allah) kemudian istiqamahlah.”

Riwayat Muslim (38), al-Baihaqi dalam al-Sunan (1/76), Ahmad dalam Musnadnya (5/371), dan al-Daraqutni dalam al-Sunan (3/45).

Kepentingan dan faedah hadis ini ialah:

  • Salah satu daripada keindahan “jawami’ al-kalim” iaitu ungkapan yang ringkas tetapi makna yang mendalam termasuk dalam keistimewaan Rasulullah SAW. Ungkapan yang singkat tetapi ia mengumpulkan pokok-pokok Islam dalam dua perkataan iaitu iman dan istiqamah.
  • Menunjukkan keprihatinan para sahabat terhadap ajaran-ajaran agama dan pemeliharaan mereka terhadap iman. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/281-282)

Dinyatakan di sini pendapat ulama tentang istiqamah:

  1. Abu Qasim al-Qusyairi berkata: “Istiqamah adalah tingkatan yang menjadi pelengkap dan penyempurna segala urusan. Lantaran istiqamah segala kebaikan dan peraturannya dapat diwujudkan.”
  2. Al-Wasiti berkata: “Istiqamah adalah sifat yang menyempurnakan segala kebaikan.”
  3. Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Istiqamah ialah menempuh jalan yang lurus iaitu agama yang lurus, tidak ke kiri dan tidak ke kanan. Terhimpun di dalamnya segala ketaatan zahir dan batin serta meninggalkan segala larangan. Dengan demikian wasiat ini mencakupi segala kebaikan.”

Kesimpulan

Kesimpulannya, berdasarkan al-Quran dan hadis di atas memaparkan tentang kehebatan istiqamah dengan iman akan melahirkan Mukmin yang hebat dan cemerlang di dunia dan akhirat, pasti Allah SWT akan memberi penghormatan kepada mereka di dunia dan menganjari mereka dengan nikmat-nikmat syurga di akhirat kelak.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً  إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

Surah Ali Imran (8)

Leave a Reply