Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah kita mengambil keberkatan dari haruman yang datang dari jenazah saudara-saudara kita yang gugur syahid dalam jihad, seperti yang baru-baru ini tular di media sosial?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menjawab persoalan saudara, kami nyatakan terlebih dahulu bahawa memang terdapat karamah buat para syuhada’ yang gugur kerana berjuang di jalan Allah SWT. Ini thabit dalam hadith daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ كَلْمٍ يُكْلَمُهُ المُسْلِمُ فِي سَبِيلِ اللهِ، يَكُونُ يَوْمَ القِيَامَةِ كَهَيْئَتِهَا، إِذْ طُعِنَتْ، تَفَجَّرُ دَمًا، اللَّوْنُ لَوْنُ الدَّمِ، وَالعَرْفُ عَرْفُ المِسْكِ

Maksudnya: “Setiap luka yang diderita oleh seseorang muslim di jalan Allah akan kelihatan pada Hari Kiamat nanti sepertimana ketika dia ditikam. Darahnya memancar keluar, warnanya warna darah tetapi baunya ialah bau kasturi.”

Riwayat al-Bukhari (237) dan Muslim (1876)

Syeikh Abu al-‘Abbas al-Qastalani berkata, (العَرْفُ عَرْفُ المِسْكِ) bermaksud haruman atau bau yang semerbak bauannya dihidu orang sekeliling sebagai menzahirkan kelebihan orang yang syahid itu, oleh kerana itulah darahnya yang tumpah pada peperangan itu tidak dicuci dan tidak dimandikan jenazahnya. (Lihat  Irsyad al-Sari, 1/303)

Akan tetapi, ini tidak bermakna darah mereka itu boleh dikumpul dan diambil berkat darinya. Hal ini kerana darah itu merupakan najis, meskipun Allah SWT memuliakan darah mereka dengan menjadikannya berbau wangi.

Bahkan kenajisan darah ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ ٱلْمَيْتَةَ وَٱلدَّمَ وَلَحْمَ ٱلْخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ بِهِۦ لِغَيْرِ ٱللَّهِ ۖ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah.”

(Surah al-Baqarah: 173)

Dan juga firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ ٱلْمَيْتَةُ وَٱلدَّمُ وَلَحْمُ ٱلْخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ لِغَيْرِ ٱللَّهِ بِهِۦ وَٱلْمُنْخَنِقَةُ وَٱلْمَوْقُوذَةُ وَٱلْمُتَرَدِّيَةُ وَٱلنَّطِيحَةُ وَمَآ أَكَلَ ٱلسَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى ٱلنُّصُبِ وَأَن تَسْتَقْسِمُوا۟ بِٱلْأَزْلَـٰمِ ۚ ذَٰلِكُمْ فِسْقٌ ۗ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik.”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Begitu juga dalam firman-Nya:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ ٱلْمَيْتَةَ وَٱلدَّمَ وَلَحْمَ ٱلْخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ لِغَيْرِ ٱللَّهِ بِهِۦ ۖ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah.”

(Surah al-Nahl: 115)

Menyentuh najis tanpa sebarang keperluan juga adalah bertentangan dengan sifat orang Muslim itu sendiri. Hal ini kerana sifat seorang Muslim itu suka pada kebersihan dan menjauhi segala perkara kotor serta najis. Bahkan jelas dalam riwayat Abu Hurairah R.A bahawa Allah SWT sukakan perkara yang baik sahaja. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu Baik, Dia tidak akan menerima kecuali yang baik-baik sahaja.”

Riwayat Muslim (1015)

Apabila telah jelas tentang kenajisan darah, maka hukum mengumpulnya dan mengambil keberkatan darinya juga adalah dilarang. Sebaiknya dijauhi agar kita dapat mengelakkan dari sebarang fitnah dilemparkan kepada agama.

Terdapat kaedah-kaedah yang menekankan seseorang Muslim itu agar menghindari daripada terjebak dalam sebarang perkara yang boleh menyebabkan dirinya ditohmah dan dicela.

اتَّقُوا مَوَاضِعَ التُّهَمِ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.”

Kaedah ini dikeluarkan oleh ulama’ berdasarkan kalam Saidina Umar R.A, katanya:

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.”

Kami juga katakan, yang paling afdhal, kita berdoa kepada Allah supaya kita juga di kalangan mereka yang memperolehi syahid. Begitu juga, mengharapkan pengampunan daripada Allah dengan cara kita mentaati perintah Allah dengan sebaik-baiknya termasuk mencontohi saudara kita yang telah menemui Allah dengan baiknya.

Semoga kita tidak menjadi punca kepada tohmahan dan fitnah ke atas agama Islam, sekaligus dapat beramal berlandaskan hukum yang telah ditetapkan syara‘. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

 

Leave a Reply