Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada dengar, tekanan atau stress juga membawa kepada perceraian.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan bergaullah dengan mereka (golongan wanita) dengan cara yang makruf.”

Surah al-Nisa’ (19)

Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini berkata: (Iaitu) dengan cara yang Allah perintahkan daripada pergaulan yang baik. Dan seruan ini adalah kepada semua, kerana setiap seorang itu mempunyai pergaulan sama ada seorang suami atau seorang wali. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan perintah ini secara kebiasaannya adalah para suami. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/84)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat. Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut.

Kalimah mu’asyarah (bergaul) di sini menunjukkan pengertian kebersamaan dan perkongsian iaitu layanilah mereka dengan cara yang baik dan para isteri perlu melayani kamu seperti itu juga. Jadi, suami dan isteri diseru agar saling memberikan kebahagiaan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam melayari rumahtangga. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1128)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan, memang benar bahawa tekanan atau stress di tempat kerja atau di mana-mana yang terbawa-bawa ke rumah boleh mencetuskan konflik di dalam rumahtangga.

Sewajarnya, bebanan di tempat kerja haruslah ditinggalkan di tempat kerja. Berikan sepenuh komitmen kita sebagai pasangan yang cemerlang di rumah.

Tidak ada salahnya untuk kita meluahkan atau menceritakan hal ehwal kerja kita kepada pasangan, tetapi biarlah dalam keadaan santai dan rehat.

Masalah yang timbul ialah apabila tekanan di tempat kerja dibawa balik ke rumah dan melepaskan tekanan tersebut kepada pasangan dan anak-anak sehingga membawa kepada suasana yang tegang. (Lihat Baiti Jannati: Rumahku Syurgaku, hlm. 87-88)

Kami cadangkan beberapa perkara kepada pasangan yang menghadapi seperti ini, antaranya ialah:

  • Bincang dengan baik dengan pasangan mereka serta saling berlapang dada dan merasa keperluan untuk menyelesaikan secara bersama.
  • Jangan sekali-kali meninggikan suara ketika berbincang tetapi sentiasa menghormati pasangan dengan sebaiknya.
  • Pastikan isu yang membawa kepada stress dengan lebih khusus untuk diselesaikan.
  • Banyakkan zikrullah sebagaimana hadith Nabi SAW: Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَالَ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ، كَانَ دَوَاءً مِنْ تِسْعَةٍ وَتِسْعِينَ دَاءً، أَيْسَرُهَا؛ الْهَمُّ

Maksudnya: Sesiapa yang mengucapkan ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله’, maka ia adalah penawar daripada 99 penyakit, dan yang paling ringan adalah perasaan bimbang dan keluh kesah.

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (1990), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (5028) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (178). Al-Hakim menyatakan hadith ini sahih. Manakala pengarang kitab Dha’if al-Jami’ (6286) menilai hadith ini sebagai dha’if.

Syeikh Ubaidullah al-Rahmani al-Mubarakfuri menukilkan bahawa Imam al-Syaukani berkata: Zahirnya, sesungguhnya zikir ini adalah penawar dengan bilangan yang disebutkan, dan boleh jadi ia adalah lebih daripada itu. Maka maksudnya, ia adalah penawar kepada seluruh penyakit di mana seringan-ringannya ialah al-Hamm (yakni keluh kesah). Penyakit tersebut merangkumi penyakit-penyakit batin seperti takabbur, ‘ujub, syirik tersembunyi, dan hawa nafsu, ataupun yang lebih umum daripada itu. Dan inilah yang jelas.

Manakala al-Qari berkata, iaitu daripada penyakit-penyakit duniawi dan ukhrawi. Maksud yang paling ringan adalah yang paling sedikit dan paling mudah. Al-Hamm (keluh kesah) di sini merangkumi jenis yang berhubung dengan agama atau dunia, atau keresahan kehidupan dan dukacita hari akhirat.

Al-Munawi pula berkata: Demikian itu kerana seorang hamba, apabila terlepas daripada asbab, maka hatinya akan gembira dan bahagia, dukacitanya akan terlerai, serta akan datang kepadanya kekuatan, pertolongan dan dokongan. (Lihat Mir’at al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 17/261)

Begitu juga, al-San’ani ada menjelaskan bahawa penawar daripada 99 penyakit dan seringan-ringannya ialah al-Hamm. Akan tetapi, penawar ini tidak akan memberi manfaat kecuali bagi sesiapa yang beriktikad  dengannya, serta melakukan dengan hati yang hadir, yang kuat dan membenarkan. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 11/146)

Akhir kalam, banyakkan doa kepada Allah. Antaranya:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Leave a Reply