Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah ucapan doa yang dianjurkan oleh nabi kepada ahli keluarga ketika ingin keluar bermusafir ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
السَّفَرُ قِطْعَةٌ مِنْ الْعَذَابِ يَمْنَعُ أَحَدَكُمْ نَوْمَهُ وَطَعَامَهُ فَإِذَا قَضَى نَهْمَتَهُ مِنْ وَجْهِهِ فَلْيُعَجِّلْ إِلَى أَهْلِهِ
Maksudnya :”Abu Nua’im telah menceritakan kepada kami, Malik menceritakan kepada kami daripada Sumiy daripada Abu Salih daripada Abu Hurairah daripada Nabi saw. Baginda bersabda : Permusafiran itu adalah sekelumit daripada azab. Ianya menghalang kamu daripada tidur dan makan. Apabila telah selesai menunaikan hajat daripada permusafiran tersebut, maka segeralah kembali kepada ahli keluarganya.”
Riwayat al-Bukhari(5429)
Al-Munawi menyebut : Ia adalah sebahagian dari azab kerana di dalam permusafiran tersebut terdapat keletihan, kepayahan, angin yang kuat, cuaca yang panas dan sejuk, ada ketakutan, bahaya, kurangnya air dan bekalan makanan. (Lihat Faidh al-Qadir, 14/351)
Al-Qadhi ‘Iyad juga ada menyebutkan : Di dalam permusafiran terdapat kepenatan dan kesusahan. Apatah lagi terpaksa menempuh angina yang kuat, kepanasan dan cuaca yang sejuk. Ia juga menghalang dari makan dan minum kerana terkadang itu makanan dan minuman boleh jadi ada dan boleh juga tiada ketika permusafiran.” (Lihat Ikmal al-Mu’lim Bi Fawaid Muslim, 6/178)
Begitu juga Mulla Ali al-Qari menyatakan : Permusafiran menyebabkan kita terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga dan sahabat, serta susahnya hidup (di permusafiran).” (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Mishkat al-Masabih, 7/414)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan seseorang yang ingin keluar bermusafir adalah sunat baginya mengucapkan doa kepada keluarga atau saudara yang ditinggalkannya dengan doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَرَادَ أنْ يُسافِرَ فَلْيَقُلْ لِمَنْ يُخَلِّفُ: أَسْتَوْدِعُكُمُ اللَّهَ الَّذي لا تَضِيعُ وَدَائِعُهُ
Maksudnya: Sesiapa yang ingin pergi, hendaklah dia mendoakan orang yang dia tinggalkan, (أَسْتَوْدِعُكُمُ اللَّهَ الَّذي لا تَضِيعُ وَدَائِعُهُ) “Aku mengamanahkan kamu kepada Allah yang tidak pernah hilang peliharaannya.”
Riwayat Ahmad (8494), al-Nasa’ie (9903) dan Ibn Majah (2819)
Syeikh Sa’id al-Qahtani berkata: Hendaklah orang bermusafir berdoa untuk kaum keluarga dan orang yang dikasihinya, “Semoga Allah menjaga kamu dan aku jadikan kamu dalam hifzillah (pemeliharaan Allah) dan ri’ayah-Nya.” (Lihat Syarh Hisn al-Muslim min Azkar al-Kitab wa al-Sunnah, hlm. 239)
Abu Hurairah R.A turut meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إذا أرَاد أحَدُكُم سَفَراً فَلْيُوَدّعْ إخْوَانَهُ، فإنَّ اللَّهَ تَعالى جاعِلٌ فِي دُعائِهِمْ خَيْراً
Maksudnya: Apabila salah seorang kamu akan pergi, maka hendaklah dia mendoakan saudara-saudaranya yang akan ditinggalkan. Kerana sesungguhnya Allah SWT menjadikan kebaikan dalam doa mereka.
Riwayat -Tabarani dalam al-Awsat (2926) dan Abu Ya’la dalam Musnadnya (6647)
Telah dinyatakan dalam al-Azkar al-Nawawi bahaw: Adalah disunatkan bagi seseorang yang ingin bermusafir untuk mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga, saudara-mara, rakan-rakan, dan jiran-jiran, serta meminta mereka untuk mendoakan kebaikan baginya. Dia juga seharusnya mendoakan kebaikan bagi mereka. (Lihat al-Azkar li al-Nawawi, hlm.370)
Begitu juga dalam Fiqh al-Sunnah menyebutkan: Disunatkan untuk untuk mengucapkan doa selamat tinggal kepada ahli keluarga dan rakan-rakan dan meminta doa dari mereka. Ucapan doa kepada mereka adalah “ أَسْتَوْدِعُكُمُ اللَّهَ الَّذي لا تَضِيعُ وَدَائِعُهُ”. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 1/618)
Justeru, ucapan terbaik kepada ahli keluarga sebelum memulakan perjalanan adalah dengan mengucapkan doa sepertimana yang telah diutarakan sebelumnya dengan memohon kepada Allah SWT agar Dia melindungi serta memelihara mereka dari segala bahaya. Mengucapkan doa ini bukan hanya sekadar kata-kata, tetapi juga merupakan bukti nyata dari kasih sayang dan kepedulian yang amat dalam terhadap keselamatan mereka selama ketiadaanya.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”
Wallahua’lam