Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Jika seseorang itu musafir atau sakit yang membataskan amalannya, adakah diberi pahala? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Tidak dapat dinafikan bahawa dalam Islam terdapatnya beberapa pengecualian atau rukhsah diberikan kepada orang yang musafir dan begitu juga kepada orang yang sakit. Misalnya, orang yang dalam musafir diberikan keizinan untuk mengqasarkan atau menjamakkan solatnya. Begitu juga halnya bagi orang yang sakit, diberi keringanan untuk tidak berpuasa pada bulan Ramadhan  dengan  syarat-syarat yang telah digariskan.

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, sekiranya seseorang itu sedang bermusafir atau sakit yang membataskan amalannya, dia turut diberikan pahala sama seperti yang dia kerjakan ketika mukim atau ketika dia dalam keadaan sihat.

Hal ini jelas sehinggakan Imam al-Bukhari menamakan salah satu bab dalam kitab sahihnya sebagai “بَابُ يُكْتَبُ لِلْمُسَافِرِ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ فِي الإِقَامَةِ” (Bab: Dituliskan Pahala untuk Musafir seperti  Dia  Beramal Ketika Bermukim).

Kemudian Imam al-Bukhari meletakkan di bawah bab tersebut hadith, daripada Abu Musa bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَرِضَ العَبْدُ، أَوْ سَافَرَ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Maksudnya: “Apabila seorang hamba sakit atau bermusafir maka dituliskan kepadanya  pahala sama seperti yang dia kerjakan ketika mukim dalam keadaan sihat.

Riwayat al-Bukhari (2996)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Leave a Reply