Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat hadith makan secara menyandar dan apa hikmahnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Makan mempunyai adab-adabnya. Salah satunya tidak boleh menyandar. Terdapat dua hadith yang dikemukakan oleh Imam al-Bukhari dalam masalah ini, iaitu:
Daripada Abu Juhaifah, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
لاَ آكُلُ مُتَّكِئًا.
Maksudnya: “Aku tidak makan dalam keadaan bersandar.”
Riwayat al-Bukhari (5398)
Daripada Abu Juhaifah, katanya: Aku berada di sisi Nabi SAW, lalu Baginda bersabda kepada seorang lelaki yang berada di sisinya:
لاَ آكُلُ وَأَنَا مُتَّكِئٌ.
Maksudnya: “Aku tidak makan sambil bersandar.”
Riwayat al-Bukhari (5399)
Antara hikmahnya larangan makan secara menyandar ialah, sistem pencernaan tubuh dengan itu akan bekerja dengan baik dan terhindar daripada gangguan pencernaan yang mungkin muncul akibat makan dan minum sambil bersandar.
Boleh jadi juga, makan dengan cara tersebut sama seperti cara orang-orang yang takabbur atau bukan sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW, sebagai hamba Allah yang mensyukuri atas nikmat yang dikurniakan Allah SWT.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”