Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Khalid bin al-Walid R.A pernah makan dhab di hadapan Nabi SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan definisi Dhab terlebih dahulu.

Dalam bahasa Arab ia dipanggil sebagai Dhab (ضَبّ) atau nama saintifiknya ialah Uromastyx aegyptia merupakan sejenis biawak yang terdapat di padang pasir. Dari segi sains ia dikelaskan sebagai dalam keluarga cicak. Ia boleh didapati serata Timur Tengah termasuk Mesir, Libya, Palestin, dan lain-lain. Ia sering duduk di kawasan kering dan berbatu.

Dhab membiak secara bertelur dan mempunyai kulit bersisik tebal. Selain itu, ia merupakan sejenis haiwan herbivor — memakan sayur-sayuran yang tinggi kadar air serta kekacang sebagai sumber protein. Ia menghabiskan banyak masanya di dalam lubang yang digalinya untuk menyembunyikan dirinya atau dicelah-celah batu-batu yang selamat untuknya berlindung.[1]

Kamaluddin al-Damiri menyebutkan bahawa Dhab merupakan haiwan darat sebagaimana yang diketahui umum — dalam kalangan masyarakat Arab — dan ia menyerupai biawak (الوَرَلُ). Nama julukannya ialah Abu Hisl (أَبُو حِسْلٍ) dan kata jamaknya ialah Dhibab (ضِبَابٌ) dan Adub (أَضُبٌّ), sebagaimana perkataan Kaff (كَفّ) dan Akuff (أَكُفّ). Manakala Dhab betina pula dipanggil sebagai Dhabbah (ضَبَّةٌ). Pepatah Arab ada menyebut — bagi menggambarkan keengganan mereka melakukan sesuatu —:

لَا أَفْعَلُهُ حَتَّى يَرِدَ الضَّبُّ

Maksudnya: “Aku tidak akan melakukannya sehinggalah Dhab datang — ke air.”

Hal ini kerana Dhab tidak mendatangi air. Ibn Khalawaih menyebutkan bahawa Dhab tidak minum air dan hidup selama 700 tahun atau lebih. Dikatakan ia kencing sekali pada setiap 40 hari dan giginya tidak gugur. Begitu juga, dikatakan giginya itu pula hanya sebaris dan tidak berbahagi-bahagi. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/703)

Selain itu, al-Qalyubi juga ada menyebutkan bahawa dhab ialah haiwan yang menyerupai biawak (الوَرَلُ). Ia mampu hidup sekitar tujuh ratus tahun. Ia juga tidak minum air dan kencing sekali pada setiap 40 hari. Di samping itu, dhab betina memiliki dua alat kelamin betina dan dhab jantan juga memiliki dua alat kelamin jantan. (Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 4/259)

Menjawab persoalan di atas, memang benar berdasarkan hadith daripada Ibn Abbas, daripada Khalid bin al-Walid, katanya:

أُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِضَبٍّ مَشْوِيٍّ. فَأَهْوَى إِلَيْهِ لِيَأْكُلَ. فَقِيلَ لَهُ: إِنَّهُ ضَبٌّ. فَأَمْسَكَ يَدَهُ. فَقَالَ خَالِدٌ: أَحَرَامٌ هُوَ؟ قَالَ: «لاَ، وَلَكِنَّهُ لاَ يَكُونُ بِأَرْضِ قَوْمِي، فَأَجِدُنِي أَعَافُهُ». فَأَكَلَ خَالِدٌ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَنْظُرُ.

Maksudnya: Dihidangkan kepada Nabi SAW daging dhab yang dipanggang. Lalu Baginda menghulurkan tangan untuk memakannya. Dikatakan kepada Baginda: “Sesungguhnya itu ialah daging dhab.” Maka Baginda menahan tangannya (tidak jadi menghulur). Khalid bertanya: “Adakah ia haram?” Baginda menjawab: “Tidak, akan tetapi ianya tidak ada di negeri kaumku, maka aku mendapati diriku tidak menyukainya.” Khalid telah memakannya, sedangkan Rasulullah SAW memerhatikannya.

Riwayat al-Bukhari (5400)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Dhab. Diakses pada 26 Januari 2022. Lihat juga https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/02/786434/ustaz-azhar-kini-penternak-dhab. Diakses pada 26 Januari 2022.

Leave a Reply