Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Mana aula makan sebelum Jumaat atau selepas Jumaat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Hal ini berbeza dengan melihat kepada keadaan seseorang. Namun, yang aulanya adalah makan selepas Jumaat.  Hal ini berdasarkan hadith daripada Sahl bin Sa‘d, katanya:

إِنْ كُنَّا لَنَفْرَحُ بِيَوْمِ الجُمُعَةِ. كَانَتْ لَنَا عَجُوزٌ تَأْخُذُ أُصُولَ السِّلْقِ، فَتَجْعَلُهُ فِي قِدْرٍ لَهَا، فَتَجْعَلُ فِيهِ حَبَّاتٍ مِنْ شَعِيرٍ. إِذَا صَلَّيْنَا زُرْنَاهَا فَقَرَّبَتْهُ إِلَيْنَا، وَكُنَّا نَفْرَحُ بِيَوْمِ الجُمُعَةِ مِنْ أَجْلِ ذَلِكَ. وَمَا كُنَّا نَتَغَدَّى، وَلاَ نَقِيلُ إِلَّا بَعْدَ الجُمُعَةِ. وَاللَّهِ، مَا فِيهِ شَحْمٌ وَلاَ وَدَكٌ.

Maksudnya: “Sesungguhnya kami sangat gembira pada hari Jumaat. Ada seorang wanita tua yang akan mengambil akar-akar daun silq (untuk dimasak) lalu dia memasukkannya ke dalam periuk miliknya dan dia meletakkan sedikit bijirin barli di dalamnya. Apabila kami telah menunaikan solat (Jumaat), maka kami akan mengunjunginya dan dia pun menghidangkan makanan tersebut kepada kami. Kami sangat gembira pada hari Jumaat disebabkan perkara itu. Kami tidak makan tengahari dan tidak qailulah (tidur sekejap pada waktu tengahari) kecuali sesudah (solat) Jumaat. Demi Allah, dalam makanan itu tidak ada lemak dan minyak (yang keluar daripada daging).”

Riwayat al-Bukhari (5403)

Selain itu, makan sebelum Jumaat juga berkemungkinan boleh mendatangkan perasaan mengantuk yang boleh mengakibatkan terjejasnya tumpuan ketika mendengar khutbah seperti tidur dan sebagainya. Namun, sekiranya seseorang itu terlalu lapar, maka dia boleh mengambil sedikit makanan untuk mengalas perutnya sebelum menuju ke masjid untuk bersolat Jumaat.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Leave a Reply