Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah binatang yang telah dijinakkan kemudian terlepas dari kandang dan menjadi liar mengambil hukum haiwan liar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Bagi menjawab persoalan ini, kami kemukakan dua hadith di mana Ibn Mas‘ud mengharuskannya. Dan Ibn Abbas berkata:

مَا أَعْجَزَكَ مِنَ البَهَائِمِ مِمَّا فِي يَدَيْكَ فَهُوَ كَالصَّيْدِ، وَفِي بَعِيرٍ تَرَدَّى فِي بِئْرٍ مِنْ حَيْثُ قَدَرْتَ عَلَيْهِ فَذَكِّهِ.

Maksudnya: “Apa sahaja yang menyusahkan kamu daripada kalangan haiwan-haiwan ternakan yang berada dalam pemilikan kamu, maka ia sama (hukumnya) seperti binatang buruan. Dan mengenai unta yang telah jatuh ke dalam telaga, jika engkau mampu ke atasnya, maka sembelihlah.”

Itu adalah pendapat Ali, Ibn Umar dan Aisyah. (Lihat Sahih al-Bukhari, Bab 23)

Seterusnya, jelas menunjukkan kepada kita bahawa ia dihukum sebagai binatang liar. Hal ini berdasarkan hadith daripada Rafi‘ bin Khadij, katanya: Aku berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّا لاَقُو العَدُوِّ غَدًا، وَلَيْسَتْ مَعَنَا مُدًى. فَقَالَ: «اعْجَلْ، – أَوْ: أَرِنْ – مَا أَنْهَرَ الدَّمَ وَذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ فَكُلْ، لَيْسَ السِّنَّ وَالظُّفُرَ، وَسَأُحَدِّثُكَ: أَمَّا السِّنُّ فَعَظْمٌ، وَأَمَّا الظُّفُرُ فَمُدَى الحَبَشَةِ». وَأَصَبْنَا نَهْبَ إِبِلٍ وَغَنَمٍ. فَنَدَّ مِنْهَا بَعِيرٌ فَرَمَاهُ رَجُلٌ بِسَهْمٍ فَحَبَسَهُ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّ لِهَذِهِ الإِبِلِ أَوَابِدَ كَأَوَابِدِ الوَحْشِ، فَإِذَا غَلَبَكُمْ مِنْهَا شَيْءٌ فَافْعَلُوا بِهِ هَكَذَا».

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami akan bertemu musuh pada esok hari dan kami tidak memiliki pisau.” Baginda bersabda: “Bersegeralah (dalam menyembelih) – atau perawi berkata dengan lafaz “أَرِنْ” – Apa sahaja yang boleh mengalirkan darah dan telah disebut nama Allah, maka makanlah. Tetapi bukannya gigi dan kuku.  Aku akan menyampaikan (menjelaskan) kepada kamu, adapun gigi kerana ia ialah tulang dan adapun kuku pula kerana ia ialah sejenis alat penyembelihan yang digunakan oleh kaum Habasyah.” Dan kami telah mendapat harta rampasan berupa unta dan kambing. Salah seekor unta daripada harta rampasan tersebut telah menjadi liar, lalu seorang lelaki telah memanahnya dan berjaya menghentikannya. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya bagi unta-unta ini wujudnya unta liar sebagaimana haiwan-haiwan liar yang lain. Oleh itu, sekiranya sesuatu daripadanya mengatasi kamu (menyusahkan atau memenatkan kamu), maka kamu lakukanlah terhadapnya seperti ini.”

Riwayat al-Bukhari (5509)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply