Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah menderhakai ibu bapa tidak melayakkan anak tersebut mendapat harta peninggalan? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hukum pusaka ini telah disyariatkan dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Orang-orang yang mengingkari pensyariatan hukum pusaka adalah kafir dan keluar daripada Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).

(Surah al-Nisa’: 7)

Para ulama ketika menerangkan sebab penurunan ayat ini menyatakan bahawa ketika zaman sebelum datangnya Islam (zaman jahiliyyah), wanita dan kanak-kanak tidak berhak mendapat sedikit pun daripada harta pusaka yang ditinggalkan ahli keluarga mereka. Ini adalah kerana pada ketika itu, hanya lelaki yang boleh mempertahankan kabilah dan keluarga sahaja mewarisi harta pusaka. Hal ini dapat dilihat dalam satu kisah yang direkodkan bahawa ada seorang lelaki dari kaum Ansar meninggal dunia sebelum diturunkan ayat ini, dalam masa yang sama dia meninggalkan empat orang anak perempuan. Namun, kesemua harta yang ditinggalkan diambil oleh sepupunya. Oleh  kerana itu, Allah SWT menurunkan ayat ini yang menyatakan bahawa wanita juga berhak mendapat sebahagian daripada harta pusaka dan sekali gus memuliakan wanita. (Lihat Tafsir Muqatil Bin Sulaiman, 127/5; Tafsir al-Tabari, 597/7; Tafsir al-Maturidi, 28/3; al-Mufassal fi Tarikh al-Arab Qabla al-Islam, 237/10)

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِىَ فَهْوَ لأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya: “Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.”

Riwayat al-Bukhari (6351)

Hadis menerangkan tentang cara pewarisan bahagian harta pusaka yang disebut dalam kitab Allah SWT, dengan cara menerangkan golongan yang berhak mewarisi pusaka. Ia juga menerangkan bahagian daripada lebihan harta yang mana tidak dijelaskan secara terperinci di dalam al-Quran yang berkaitan dengan pewaris-pewaris dan bahagian mereka. Dan juga menerangkan cara pembahagian pewarisan baki harta bagi pewaris ‘asabah yang tidak disebut dalam al-Quran secara terperinci. Apabila digabungkan hadis ini dengan ayat al-Quran tentang pewarisan maka tersusun dan lengkaplah pembahagian atau bahagian-bahagian di antara kesemua pewaris dari ashab al-Furudh dan ‘asabah. (Lihat al-Kafi Dan Tatmi al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm.414)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan ada tiga perkara yang menghalang seseorang itu daripada mewarisi harta peninggalan warisnya iaitu perhambaan, pembunuhan  dan perbezaan agama. Hal ini sepertimana  telah disebutkan Abdul Karim al-Lahim dalam kitabnya al-Faraid bahawa terdapat tiga perkara yang menghalang perwarisa iaitu:

  • Perhambaan
  • Seorang waris membunuh warisnya yang lain tanpa hak
  • Berbezanya agama seseorang dengan warisnya. (Lihat Kitab al-Faraid, hlm.19 )

Imam al-Rahabi menyatakan hal ini melalui matannya yang terkenal dalam bab faraid:

 وَيَمْنَعُ الشَّخْصَ مِنَ المِيرَاثِ … وَاحِدَةٌ مِنْ عِلَلٍ ثَلَاثِ

 رِقٌّ وَقَتْلٌ وَاخْتِلَافُ دِينِ…

Maksudnya: Dan menghalang seseorang itu daripada perwarisan, salah satu daripada tiga sebab, perhambaan dan pembunuhan dan perbezaan agama,  (Lihat, Matan al-Rahabiyyah, hlm.3)

Justeru kami katakan meskipun melakukan perbuatan yang menderhakai ibu bapa dianggap sebagai dosa besar yang dinyatakan dalam nas-nas al-Quran dan al-Hadith, namun perbuatan tersebut tidak menyebabkan seseorang terkecuali dari hak warisan ibu bapanya. Oleh yang demikian,  seseorang yang menderhakai ibubapanya  tetap berhak menerima warisan tersebut, dan tidak dibenarkan bagi ahli waris atau ibu bapa untuk menghalanginya dari menerima bahagian warisan yang sepatutnya menjadi hak miliknya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply