Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah seseorang yang mati kerana mempertahan harta termasuk dalam syahid?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Memelihara harta menurut Islam merupakan hak setiap individu, bahkan ia termasuk dalam salah satu maqasid atau tujuan pensyariatan Islam. Hal ini kerana harta itu merupakan salah satu unsur dalam kehidupan, dan inilah yang banyak digunakan di antara manusia agar hajat mereka dapat ditunaikan. Bahkan menjadi fitrah kemanusiaan yang Allah SWT ciptakan, seseorang itu mempunyai harta dan beranak pinak.

Firman Allah SWT:

ٱلْمَالُ وَٱلْبَنُونَ زِينَةُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ

Maksudnya: “Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia.”

(Surah al-Kahf: 46)

Berbalik kepada persoalan yang saudara ajukan, ini pernah ditanyakan sendiri kepada Rasulullah SAW dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَأَيْتَ إِنْ جَاءَ رَجُلٌ يُرِيدُ أَخْذَ مَالِي؟ قَالَ: ‏فَلاَ تُعْطِهِ مَالَكَ‏.‏ قَالَ: أَرَأَيْتَ إِنْ قَاتَلَنِي؟ قَالَ: ‏قَاتِلْهُ‏.‏ قَالَ: أَرَأَيْتَ إِنْ قَتَلَنِي؟ قَالَ: فَأَنْتَ شَهِيدٌ‏.‏ قَالَ: أَرَأَيْتَ إِنْ قَتَلْتُهُ؟ قَالَ: ‏هُوَ فِي النَّارِ

Maksudnya: “Seorang lelaki telah datang bertemu Rasulullah SAW seraya berkata: ‘Wahai Rasulullah, apakah pendapatmu sekiranya seorang lelaki datang kerana ingin mengambil hartaku?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Jangan berikan hartamu.’ Lelaki itu berkata: ‘Apa pendapatmu jika dia memerangiku?’ Baginda menjawab: ‘Perangilah dia.’ Lelaki itu bertanya lagi: ‘Apa pendapatmu jika dia membunuhku?’ Baginda menjawab: ‘Maka kamu dikira syahid.’ Lelaki itu bertanya lagi: ‘Apa pendapatmu jika aku membunuhnya?’ Baginda menjawab: ‘Dia di neraka’.”

Riwayat Muslim (140)

Dalam riwayat lain daripada ‘Abdullah bin ‘Amru R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قُتِلَ دُونَ مَالِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ

Maksudnya: “Barang siapa dibunuh kerana membela hartanya, maka dia adalah syahid.”

Riwayat al-Bukhari (2480) dan Muslim (141)

Syeikh ‘Abdullah bin Soleh al-Fauzan berkata, hadith di atas merupakan hujjah pensyari‘atan untuk mempertahankan harta, serta keharusan memerangi orang yang sengaja menyerang untuk mengambil harta. Dan sesiapa sahaja yang mempertahankan hartanya, kemudian dibunuh ketika mempertahankannya, maka dia dikira syahid di sisi Allah SWT. (Lihat Minhah al-‘Allam, 8/352)

Imam al-San‘ani pula mengatakan, ini adalah dalil keharusan memerangi sesiapa sahaja yang berniat mengambil harta orang lain tanpa hak, tidak kira sama ada harta tersebut sedikit atau banyak, dan inilah pendapat majoriti ulama’. Adapun sebahagian al-malikiyyah berkata, tidak boleh memeranginya jika harta yang diambil itu sedikit sahaja.

Dinukilkan dari Imam al-Qurtubi, sebab mengapa terdapatnya perselisihan tentang kuantiti harta yang diambil itu adalah, adakah memerangi itu tujuannya untuk menolak kemungkaran atau bukan. Jika tujuannya menolak kemungkaran, maka tidak dibezakan nilai harta itu sedikit atau banyak. Jika tujuannya sekadar menolak mudharat kehilangan harta, maka keadaannya berbeza-beza setiap orang. Imam Ibn al-Munzir menukilkan pandangan Imam al-Syafi‘i bahawa sesiapa yang ingin dirampas hartanya, nyawanya atau kehormatannya, tetapi dia tidak mempunyai jalan lain melainkan dengan bunuh, maka harus baginya untuk membunuh, dan dia tidak dikenakan qisas, tidak dituntut bayaran diyah atau kaffarah. Dengan syarat dia tidak berniat untuk membunuh tanpa sebarang sebab. (Lihat Subul al-Salam, 7/83)

Sekiranya dia meninggal dunia mempertahankan hartanya, terdapat 2 pandangan menurut ulama’ tentang cara pengurusan jenazahnya:

Pertama: Dia diuruskan sama seperti jenazah lain, dan syahid yang dimaksudkan itu dari segi pahalanya dan bukannya syahid dunia.

Ini merupakan salah satu riwayat dari Imam Ahmad, pandangan Imam Malik dan Imam al-Syafi‘i. Ini kerana kedudukannya rendah sedikit berbanding syahid di medan peperangan, tetapi memperoleh pahala syahid.

Kedua: Dia diuruskan seperti orang mati syahid, kerana dikira seperti syahid dunia dan akhirat seperti syahid dalam peperangan. Ini adalah pandangan al-Sya‘bi, al-Auza‘ie dan Ishaq, sepertimana yang zahir pada umum lafaz hadith.

Disebutkan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah,  jumhur ulama termasuklah satu riwayat daripada Imam Ahmad berpendapat, orang yang mati atau dibunuh secara zalim hanya dikira sebagai syahid akhirat sahaja. Dalam erti kata lain, mereka hanya mengambil hukum syahid dalam peperangan bersama orang kafir dari sudut pahalanya sahaja, dan bukannya mengambil hukum mereka di dunia. Oleh sebab itu, mereka tetap perlu dimandikan dan disolatkan. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/174)

Selain itu, al-Munawi ketika menjelaskan hadith di atas menyebutkan, syahid di sini adalah merujuk kepada syahid akhirat, bukanlah syahid dunia akhirat — di mana dia tidak perlu dimandikan dan disolatkan. (Lihat Faidh al-Qadir, 6/195).

Begitu juga Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menyatakan, syahid tersebut bermakna orang yang syahid akhirat iaitu baginya pahala syahid. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 9/2063)

Kesimpulan

Natijah dari perbincangan ini, orang yang mati kerana mempertahankan hartanya dikategorikan dalam kalangan syuhada’ akhirat sahaja. Oleh yang demikian, cara pengurusan jenazahnya tetap sama seperti pengurusan jenazah muslim yang lain.

Kurniaan gelaran syahid kepada mereka ini sebenarnya dianugerahkan sendiri oleh Rasulullah SAW berdasarkan riwayat yang sahih. Namun, hakikatnya hanya Allah SWT jualah yang Maha Mengetahui hakikat seseorang itu sama ada syahid ataupun sebaliknya. Semoga mereka yang gugur kerana mempertahankan haknya dikurniakan ganjaran yang hebat ini.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply