Soalan
Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan apa maksud hidayah, dan apa perbezaan antara taufik dan hidayah.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Kami mulakan dengan mengemukakan perbahasan berkenaan lafaz hidayah.
Al-Raghib al-Asfahani menyebut bahawa lafaz hidayah memiliki empat tingkatan, iaitu:
- Hidayah umum, iaitu hidayah yang diberikan oleh Allah SWT kepada setiap mukallaf berupa kecerdasasan akal dan sejumlah pengetahuan asas.
- Hidayah yang berupa seruan Allah SWT terhadap manusia melalui perantaraan Rasul-Nya.
- Taufik, iaitu hidayah Allah SWT yang diberikan kepada semua manusia yang dapat membawanya kepada kebahagiaan.
- Hidayah Allah SWT yang diberikan kepada para hamba-Nya sehingga di akhirat, dia dapat memperoleh syurga. (Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 536)
Hal yang sama juga dijelaskan oleh Ibn al-Qayyim yang turut membahagikan hidayah kepada empat bentuk. Kami nukilkan berserta penjelasannya seperti berikut: (Lihat Miftah Dar al-Sa’adah, 1/304)
- Hidayah Umum: Hidayah ini diberikan kepada seluruh makhluk, sama ada haiwan atau manusia untuk suatu maslahat tertentu. Allah SWT berfirman:
سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى الَّذِي خَلَقَ فَسَوَّىٰ وَالَّذِي قَدَّرَ فَهَدَىٰ
Maksudnya: Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi (dari segala sifat-sifat kekurangan), – Yang telah menciptakan (sekalian makhlukNya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya; Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhlukNya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya)
(Surah al-A’la: 1-3)
- Hidayah Bayan wa Dalalah (Hidayah Penjelasan dan Petunjuk). Yang dimaksudkan di sini adalah hidayah berupa penjelasan kepada hamba dan hal ini tidak memestikan memperoleh hidayah yang sempurna. Allah SWT berfirman:
وَأَمَّا ثَمُودُ فَهَدَيْنَاهُمْ فَاسْتَحَبُّوا الْعَمَىٰ عَلَى الْهُدَىٰ
Maksudnya: “Adapun kaum Thamud, maka Kami beri petunjuk kepadanya, lalu mereka mengutamakan kesesatan dari hidayah petunjuk.”
(Surah Fussilat: 17)
- Hidayah Taufiq dan Ilham. Hidayah ini diberikan kepada sesiapa sahaja yang Allah kehendaki, sepertimana disebut dalam ayat:
وَاللَّهُ يَدْعُو إِلَىٰ دَارِ السَّلَامِ وَيَهْدِي مَن يَشَاءُ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ
Maksudnya: (Itulah dia kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa, dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu).
(Surah Yunus: 25)
Ada juga yang diberikan hidayah berupa penjelasan, namun belum tentu memperoleh hidayah taufik. Firman Allah SWT:
إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ ۚ
Maksudnya: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya).”
(Surah al-Qasas: 56)
- Hidayah di akhirat menuju ke syurga atau neraka.
Allah SWT berfirman:
احْشُرُوا الَّذِينَ ظَلَمُوا وَأَزْوَاجَهُمْ وَمَا كَانُوا يَعْبُدُونَ – مِن دُونِ اللَّهِ فَاهْدُوهُمْ إِلَىٰ صِرَاطِ الْجَحِيمِ
Maksudnya: (Allah berfirman kepada malaikat):” Himpunkanlah orang-orang yang zalim itu, dan orang-orang yang berkeadaan seperti mereka, serta benda-benda yang mereka sembah – “Yang lain dari Allah serta hadapkanlah mereka ke jalan yang membawa ke neraka.”
(Surah al-Saffat: 22-23)
Adapun penghuni syurga:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي هَدَانَا لِهَٰذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْلَا أَنْ هَدَانَا اللَّهُ
Maksudnya: “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya);
(Surah al-A’raf: 43)
Syeikh Muhammad Mustafa al-Maraghi pula membahagikan hidayah Allah SWT untuk manusia dalam empat bentuk, iaitu:
- Hidayah al-Ilham (petunjuk ilham), iaitu dalam bentuk naluri yang dibawa oleh setiap manusia sejak kelahirannya, seperti bayi yang baru lahir, meskipun tanpa belajar, dia dapat menyusu pada ibunya.
- Hidayah al-Hawas (petunjuk pancaindera), iaitu berupa pendengaran, penglihatan dan seumpamanya. Namun, hidayah dalam bentuk ini belum dapat membawa manusia kepada kebenaran, kerana kemampuannya sangat terbatas. Disebabkan itu, Allah SWT menyempurnakan hidayah ini dengan hidayah akal.
- Hidayah al-‘Aql (petunjuk akal), iaitu berupa kemampuan akal untuk berfikir, memahami dan mengetahui sesuatu, yang akan dapat membawanya kepada kebenaran dan keselamatan hidup. Al-Quran menganjurkan manusia untuk memerhatikan segala sesuatu di sekitarnya, dan memikirkan dan memahami ciptaan Allah SWT untuk memantapkan keimanannya. Namun, ia tetap memerlukan kepada hidayah al-din yang merupakan kurniaan Allah yang terbesar.
- Hidayah al-Din wa al-Syara’i’ (petunjuk agama dan syariat), iaitu berupa wahyu yang diturunkan Allah SWT kepada Rasul-Nya untuk disampaikan kepada umatnya atau kepada manusia seluruhnya, sebagai pedoman hidup untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Di samping hidayah umum di atas, terdapat juga hidayah yang khusus, yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada orang tertentu, yang akan menjadikan keimanan dan ketakwaan lebih mantap. Hidayah seperti ini boleh wujud dalam bentuk taufiq, ma’unah (pertolongan Allah SWT terhadap orang beriman) dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/29)
Allah SWT berfirman:
إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَـٰكِنَّ اللَّـهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).”
(Surah al-Qasas (56)
Ibn Kathir berkata: “Allah SWT berfirman kepada Rasul-Nya SAW: “Sesungguhnya engkau tidak berkuasa memberikan hidayah kepada orang yang engkau cintai”, maksudnya itu bukan urusanmu. Tetapi, kewajibanmu hanya menyampaikan dan Allah akan memberi hidayah (petunjuk) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. ( Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 10/473)
Guru kami, Fadilatu al-Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti berkata: “Hidayatu al-Taufiq khusus untuk Allah, tidak diberikan kepada nabi yang diutuskan atau malaikat yang hampir. Justeru, Nabi Nuh sendiri tidak mampu memberikan hidayah kepada anaknya, Nabi Ibrahim kepada bapanya – walaupun kepada anak atau ayahnya.”
Imam Ibn Rajab al-Hanbali membahagikan hidayah kepada dua:
- Hidayah yang bersifat mujmal, iaitu hidayah kepada agama Islam dan iman, yang ini dianugerahkan-Nya kepada setiap muslim.
- Hidayah yang bersifat khusus dan terperinci, iaitu hidayah untuk mengetahui perincian cabang-cabang iman dan islam, serta pertolongan-Nya untuk mengamalkan semua itu. Hidayah ini sangat diperlukan oleh setiap mukmin siang dan malam.” (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, hlm. 225)
Dalam ayat yang lain, Allah SWT merakamkan kata-kata Nabi Syu’aib AS:
وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ
Maksudnya: “Dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah.”
(Surah Hud :88)
Syeikh al-Maraghi berkata: “Taufik bererti kejayaan dan keberhasilan dalam melakukan segala amal dan usaha yang baik. Hal itu boleh terjadi apabila orang yang melakukan usaha dan mencari jalan yang dapat menyampaikan kepada keberhasilan tersebut, di samping dia mempersiapkan sebab-sebab yang dapat memudahkannya untuk mencapainya. Kesemua itu hanya daripada Allah SWT semata-mata. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/3250)
Ibnu al-Qayyim menyebut, bahawa taufiq itu ialah iradat Allah yang datang dari-Nya sendiri terhadap hamba-Nya untuk melakukan yang baik, diberinya keizinan untuk melakukan perbuatan yang diredhai-Nya, didorong oleh kecintaan kepada-Nya.
Menurut kitab Jauharah Tauhid, pengertian taufiq ialah sesuatu yang diciptakan oleh Allah SWT yang mendorong seseorang itu untuk melakukan kebaikan jika perkara tersebut berada di dalam dirinya.
Dalam bahasa yang lain, hidayah al-taufiq dengan maksud Allah jadikan petunjuk dalam hatinya yang akhirnya dapat dilaksanakan sebarang bentuk kebaikan dan kesolehan. Justeru, kami katakan, hidayah bersifat umum sedangkan taufiq bersifat khusus berdasarkan kepada nas Ilahi bahawa taufiq dan hidayah adalah milik Allah.
Justeru, kami dapati hakikat hidayah taufik merupakan milik Allah yang wajib kita mohon kepada-Nya. Maka kami tutup dengan mukadimah khutbah Nabi SAW pada kebanyakannya:
كانَ رسولُ اللَّهِ يقولُ في خُطبتِهِ ، يحمدُ اللَّهَ ويثني عليْهِ بما هوَ أَهلُهُ ثمَّ يقولُ من يَهدِهِ اللَّهُ فلا مضلَّ لَهُ ومن يضللْهُ فلا هاديَ لَهُ
Maksudnya: Adalah Rasulullah SAW dalam khutbahnya, dia memuji Allah dan memuja-Nya mengikut yang selayaknya, kemudian bersabda: “Sesiapa yang Allah hidayatkan padanya, maka dia tidaklah sesat dan siapa yang disesatkannya, nescaya seseorang itu tidak akan mendapat petunjuk.”
Riwayat Muslim (867) dan al-Nasaie (1578)
Kami menutup dengan berdoa kepada Allah:
اللَّهُمَّ اهْدِنَا فِيمَنْ هَدَيْتَ ، وَعَافِنَا فِيمَنْ عَافَيْتَ ، وَتَوَلَّنَا فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ ، وَبَارِكْ لَنَا فِيمَا أَعْطَيْتَ ، وَقِنَا شَرَّ مَا قَضَيْتَ
Maksudnya: “Ya Allah berikanlah petunjuk kepadaku sebagaimana mereka yang telah Engkau beri petunjuk, Dan berilah kesihatan kepadaku sebagaimana mereka yang Engkau telah berikan kesihatan, Dan peliharalah daku sebagaimana orang yang telah Engkau peliharakan, Dan berilah keberkatan bagiku pada apa-apa yang telah Engkau kurniakan, Dan selamatkan aku dengan rahmat-Mu dari bahaya kejahatan yang telah Engkau tentukan. Amin.
Riwayat Abu Daud (1425), al-Tirmizi (464), al-Nasaie (1745), Ibn Majah (1178) dan Ahmad (1718)
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 15 Februari 2022 bersamaan 13 Rejab 1443H