Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah jaminan keselamatan dan kurniaan rezeki bagi mereka yang beriman kepada Allah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَقَالُوٓا۟ إِن نَّتَّبِعِ ٱلْهُدَىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّفْ مِنْ أَرْضِنَآ ۚ أَوَلَمْ نُمَكِّن لَّهُمْ حَرَمًا ءَامِنًۭا يُجْبَىٰٓ إِلَيْهِ ثَمَرَٰتُ كُلِّ شَىْءٍۢ رِّزْقًا مِّن لَّدُنَّا وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan mereka berkata, “Sekiranya kami mengikut petunjuk bersama engkau nescaya kami akan dihalau dari negeri kami.” Bukankah Kami telah memperkukuhkan kedudukan mereka di Makkah sebagai negeri yang suci dan aman; yang dibawa ke Makkah hasil tanaman daripada segala jenis buah-buahan sebagai rezeki daripada kami. Kebanyakan mereka tidak mengetahui.”

(Surah al-Qasas: 57)

Dalam ayat ini, kita melihat coretan bagaimana orang musyrikin Makkah menyatakan kebimbangan dan kerisauan mereka untuk mengikuti jejak Rasulullah SAW ke jalan yang benar. Mereka mahu mempercayainya, namun mereka enggan dengan mengandaikan bahawa diri mereka akan dipulau sepertimana Bani Hasyim, dan berkemungkinan juga akan diusir sebagaimana orang Muhajirin yang berhijrah ke Habsyah dan Madinah oleh sebab keimanan mereka. Walhal mereka tidak sedar bahawa manusia tidak dapat berbuat apa-apa melainkan dengan izin Allah SWT.

Oleh yang demikian, Allah SWT memberikan peringatan kepada mereka tentang jaminan hidup mereka selama ini. Tanah yang kering dan tandus itu, Allah SWT mewujudkan telaga zamzam yang tidak pernah kering, tidak pernah kekurangan buah-buahan, malah ia tumbuh subur. Apa yang hendak dinyatakan di sini adalah semua ini tidak akan terjadi melainkan hanya dengan keizinan Allah SWT. Oleh kerana itu, Allah SWT berfirman:

مَآ أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۗ وَمَن يُؤْمِنۢ بِٱللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُۥ ۚ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ

Maksudnya:Tidak ada musibah yang menimpa seseorang melainkan dengan izin Allah. Sesiapa yang beriman kepada Allah maka Allah akan memberi hidayah kepada hatinya. Allah Maha Mengetahui semua perkara.”

(Surah al-Taghabun: 11)

Sungguh jelas di sini, bahawa sememangnya Allah SWT yang mengatur turun naik kehidupan manusia. Lantas Allah SWT menjanjikan kelebihan bagi mereka yang mempercayai-Nya. Sedangkan di zaman nenek moyang mereka, Allah SWT telah memberikan kurniaan rezeki dan kehidupan, daripada dahulunya serba kekurangan, maka apatah lagi sekiranya mereka beriman kepada-Nya, meletakkan sepenuh kepercayaan kepada-Nya, nescaya Allah SWT akan memberikan jaminan ke atas kehidupannya bukan sahaja di dunia, bahkan yang lebih penting di alam akhirat sana.(Lihat Tafsir al-Bayan, 4/141-142)

Akhir kalam, kami nukilkan di sini beberapa mutiara hikmah berkenaan dengan rezeki:

  • Hamzah al-‘Abdi berkata: Kami datang mengunjungi Murrah bin Syarahil lalu dia berkata: “Ketahuilah sesungguhnya Allah SWT tidak menulis ke atas hamba-Nya sebarang bala, kecuali pasti berlaku sekalipun seorang hamba mentaati-Nya. Dan Allah tidak menulis bagi seorang hamba sebarang rezeki kecuali pasti ditunaikannya sekalipun seorang itu menderhakai-Nya.” (Lihat Hilyah al-Auliya’, 4/163)
  • Ubaidullah bin Muhammad bin Yazid berkata: Aku mendengar ayahku menyebut bahawa mereka telah mengunjungi Abu Hazim lalu berkata: “Wahai Abu Hazim, tidakkah kamu melihat harga barang sekarang ini mahal?” Lantas dijawabnya: “Apakah yang merunsingkan kamu demikian itu? Sesungguhnya Yang memberi rezeki pada kita pada masa barang murah, Dia-lah juga yang memberi rezeki pada kita pada masa barang mahal.” (Lihat Hilyah al-Auliya’, 3/239)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.

Leave a Reply