Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah terdapat solat selepas sampai di kampung atau negerinya yang merupakan sunnah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami terangkan secara ringkas, maka “solat” terlebih dahulu. Perkataan ‘solat’ diambil daripada bahasa Arab. Ia merupakan kata nama terbitan (masdar) daripada kata kerja (fi‘il); solla, yusolli, solatan yang bermaksud doa, istighfar, maghfirah (keampunan), Islam dan al-Din. (Lihat al-Mu‘jam al-‘Arabi al-Asasi, 1/746)

Allah SWT berfirman:

وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ

Maksudnya: “Dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka.”

(Surah al-Taubah: 103)

Dari sudut istilah fiqh, solat bermaksud beberapa perkataan dan perbuatan, yang didahului dengan takbir dan diakhiri dengan salam, mengikut syarat-syarat tertentu. (Lihat al-Iqna‘ fi Halli Alfaz Abi Syuja‘, 1/257).

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyatakan bahawa ia dinamakan solat kerana ia mengandungi doa yang merupakan unsur yang banyak di dalamnya. Hal ini kerana menyebut makna sebahagian ke atas makna keseluruhan yang dikehendaki (إِطْلَاقُ اسْمِ الْجُزْءِ عَلَى الْكُلِّ). (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/309).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, terdapatnya solat yang disunatkan untuk dikerjakan apabila seseorang itu tiba di kampung atau negerinya.

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, katanya:

كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ، فَلَمَّا قَدِمْنَا المَدِينَةَ قَالَ لِي: «ادْخُلِ المَسْجِدَ فَصَلِّ رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya: “Aku bersama Nabi SAW dalam satu perjalanan. Apabila kami sampai di Madinah Baginda bersabda kepadaku:  ‘Masuklah ke dalam masjid dan tunaikanlah solat dua rakaat.’

Riwayat al-Bukhari (3087)

Begitu juga riwayat daripada  Ka’ab R.A bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا قَدِمَ مِنْ سَفَرٍ، ضُحًى دَخَلَ المَسْجِدَ، فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ

Maksudnya: “Nabi SAW apabila kembali daripada bermusafir pada waktu dhuha, Baginda masuk ke dalam masjid dan menunaikan solat dua rakaat sebelum duduk.”

Riwayat al-Bukhari (3088)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Leave a Reply