Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah iman adanya kemanisan apabila sesuatu sifat wujud bagi seseorang mukmin sejati?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan terlebih dahulu takrif dan definisi iman.

Iman pada bahasa ialah al-tasdiq (membenarkan). Menurut Ibn Manzur, pengertian ini (al-tasdiq) telah disepakati oleh majoriti ilmuan Islam, seperti al-Asfahani, al-Qadhi Iyadh dan al-Tabari juga bersependapat bahawa makna iman dari sudut bahasa ialah membenarkan. Hal ini juga seperti yang disebutkan oleh Ibn Kathir bahawa iman pada bahasa ialah membenarkan atau semata-mata membenarkan. (Lihat Lisan al-’Arab, 3/141; Mufradat Alfaz al-Quran, hlm. 91)

Imam Ahmad berkata: “Iman adalah perkataan dan amalan, boleh bertambah dan berkurang. (Lihat al-Sunnah, 1/207) Imam al-Bukhari dalam awal kitab sahihnya menyebut bahawa: “Iman itu perkataan dan perbuatan, boleh bertambah dan boleh berkurang.” Kemudian beliau berkata lagi: “Cinta kerana Allah dan benci kerana Allah adalah sebahagian daripada iman.” (Lihat Sahih al-Bukhari, dalam kitab al-Iman).

Ibn ‘Abd al-Bar dalam kitabnya al-Tamhid berkata: “Iman menurut ulama’ Ahlus Sunnah di mana mereka adalah Ahlul Athar daripada ulama fiqh dan hadith, – mereka telah bersepakat, iman itu perkataan dan perbuatan dan tidak ada amalan kecuali dengan niat. Iman menurut Ahlus Sunnah bertambah dengan ketaatan dan berkurang kerana maksiat. Segala ketaatan termasuk bahagian daripada iman.” (Lihat al-Tamhid, 9/238)

Ibn Kathir berkata: Iman menurut pengertian Syar’i tidak wujud kecuali dengan adanya keyakinan (i’tiqad), perkataan dan perbuatan. Demikian definisi yang disampaikan oleh kebanyakan ulama. Bahkan Imam al-Syafi’i dan Imam Ahmad bin Hanbal serta Abu ‘Ubaid, serta ulama yang lain juga bersepakat bahawa iman adalah perkataan dan perbuatan, boleh bertambah dan berkurang.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim pada tafsiran surah al-Baqarah, ayat 2).

Syeikh Abd al-Rahman Habannakah menyatakan bahawa iman adalah membenarkan dengan hati atas setiap apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. (Lihat al-Aqidah al-Islamiyyah wa Ususuha, hlm. 80)

Justeru, iman menurut Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah adalah ikrar dalam hati, diucapkan dengan lisan dan diamalkan dengan anggota badan.

Kami juga nyatakan bahawa imannya sifatnya bertambah dan berkurang. Antara dalilnya ialah:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.

(Surah al-Anfal: 2)

Menjawab persoalan di atas, antara kemanisan iman itu berdasarkan hadith Rasulullah SAW: Daripada Anas bin Malik R.A, daripada Nabi SAW, sabda Baginda:

ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ الإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ المـَـرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّـهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُـقْذَفَ فِي النَّارِ

Maksudnya: “Tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, nescaya dia akan memperolehi kemanisan iman. (Pertama) Allah dan Rasul-Nya lebih disayanginya daripada sesuatu selain keduanya dan (Kedua) dia mengasihi seseorang, tidak dikasihinya orang itu melainkan kerana Allah, dan (Ketiga) dia tidak suka untuk kembali menjadi kafir (murtad) sepertimana dia tidak suka dirinya dicampakkan ke dalam api neraka.”

Riwayat al-Bukhari (16)

Semoga kita mengecapi kemanisannya, dan kami akhiri dengan doa:

رَضِيتُ بِاللهِ رَبَّا، وَبِالإِسْلَامِ دِيْنَا، وَبِمُحَمَّدٍ – صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وِسَلَم – رَسُولًا

Maksudnya: “Aku redha Allah sebagai Rab, Islam sebagai agama dan Muhammad SAW sebagai Rasul.”

Leave a Reply