Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Islam mencela si mati sekalipun kita tahu dia jahat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Berkenaan persoalan di atas, kami katakan, benar. Hal ini pernah dikisahkan bagaimana seseorang mencela Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi di hadapan al-Hasan al-Basri, lantas ditegurnya.
Hal ini kerana seseorang yang telah meninggal dunia, dia akan dihukum di mahkamah yang paling adil oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman:
وَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ غَافِلًا عَمَّا يَعْمَلُ الظَّالِمُونَ ۚ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍ تَشْخَصُ فِيهِ الْأَبْصَارُ (42) مُهْطِعِينَ مُقْنِعِي رُءُوسِهِمْ لَا يَرْتَدُّ إِلَيْهِمْ طَرْفُهُمْ ۖ وَأَفْئِدَتُهُمْ هَوَاءٌ
Maksudnya: Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku). (Dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka tidak bersemangat (kerana bingung dan cemas).
(Surah Ibrahim: 42-43)
Menjawab persoalan di atas juga, pesanan Rasulullah SAW kepada kita berdasarkan hadith daripada Aisyah R.Anha, katanya: Nabi SAW bersabda:
لاَ تَسُبُّوا الأَمْوَاتَ، فَإِنَّهُمْ قَدْ أَفْضَوْا إِلَى مَا قَدَّمُوا.
Maksudnya: “Janganlah kamu semua mencela mereka yang meninggal dunia, kerana sesungguhnya mereka telah sampai kepada apa yang telah mereka lakukan.”
Riwayat al-Bukhari (6516)
Antara sebab tidak dibenarkan perkara tersebut kerana boleh jadi ia akan menyakiti orang yang masih hidup. Sebagai contoh, anak dan warisnya yang tidak memiliki sifat sepertinya. Siapa sangka anak kepada Abu Jahal mati syahid dalam peperangan, iaitu Ikrimah R.A. Begitu juga siapa sangka anak Abdullah bin Ubai, kepala munafik di Madinah adalah seorang yang soleh dan termasuk dari kalangan Sahabat Nabi SAW yang sejati, yang namanya juga Abdullah.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”