Soalan

Assalamualaikum ustaz. Terdapat sebahagian orang melakukan solat dengan memakai pakaian yang sama ketika mereka tidur tanpa menukarnya terlebih dahulu. Jadi, nak tanya, apa hukum menggunakan pakaian tidur untuk melakukan solat itu?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Antara syarat sah solat adalah pakaian, tempat dan badan mestilah bersih daripada najis. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

Maksudnya: “Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.”

(Surah al-Muddathir: 4)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam tafsirnya menyebut bahawa ayat itu bermaksud jagalah pakaian daripada najis dan kotoran. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 29/210)

Begitu juga di dalam sebuah hadis yang diriwayatakan daripada Abu Hurairah. Beliau berkata:

أَنَّ خَوْلَةَ بِنْتَ يَسَارٍ أَتَتِ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَتْ : يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي إِلاَّ ثَوْبٌ وَاحِدٌ وَأَنَا أَحِيضُ فِيهِ فَكَيْفَ أَصْنَعُ ؟ قَالَ : إِذَا طَهُرْتِ فَاغْسِلِيهِ ، ثُمَّ صَلِّي فِيهِ . فَقَالَتْ : فَإِنْ لَمْ يَخْرُجِ الدَّمُ ؟ قَالَ : يَكْفِيكِ غَسْلُ الدَّمِ وَلاَ يَضُرُّكِ أَثَرُه

Maksudnya: “Khaulah Binti Yasar datang bertemu dengan Nabi SAW. Beliau berkata: Wahai Rasulullah aku tiada pakaian melainkan satu helai sahaja dan ada kesan haid pada pakaian tersebut. Bagaimana perlu aku lakukan?, Baginda SAW menjawab: Jika engkau telah suci, bersihkanlah pakaian tersebut kemudian solatlah menggunakan pakaian itu. Khaulah berkata lagi: Jika tiada darah yang keluar? Nabi SAW menjawab: Cukuplah sekadar basuh darah haid dan kesannya tidak memudaratkan engkau (boleh digunakan untuk solat dan sebagainya).”

Riwayat Abu Daud (365)

Ini menunjukkan darah tersebut jika terkena pada pakaian maka wajib untuk dibasuh dan dihilangkan najis tersebut. Jika ianya bukan najis sudah pasti Nabi SAW tidak memerintahkan sedemikian rupa.

Justeru, termasuk daripada syarat sah solat ialah mestilah suci daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solatnya. Al-Khatib al-Syarbini berkata: “Syarat ke-5: Mestilah suci daripada najis yang tidak dimaafkan pada pakaian dan badan, iaitu pakaian dan badannya walaupun di dalam hidung, mulut, mata atau telinganya. (Mestilah juga suci juga) pada tempat solatnya iaitu tempat yang didirikan solat di atasnya. Tidak sah solat jika terdapat najis pada tempat-tempat tersebut walaupun dalam keadaan seseorang itu tidak mengetahui kewujudannya atau tidak tahu bahawa ia membatalkan solat.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/402)

Oleh yang demikian, jika sekiranya terdapat najis yang tidak dimaafkan pada pakaian atau tempat solat seseorang, maka solatnya tidak sah. Begitu juga jika sekiranya dia menanggung najis dengan pakaiannya yang menyentuh najis, maka solatnya juga tidak sah.

Imam al-Syirazi menyebut: “Jika sekiranya seseorang memakai pakaian yang bersih dan hujungnya itu terkena dengan najis, contohnya seperti seseorang memakai serban di atas kepala dan hujungnya jatuh ke tanah yang bernajis, maka tidak sah solatnya kerana dia menanggung dengan apa yang bersambung dengan najis tersebut.”

Manakala, Imam al-Nawawi dalam syarahannya pula menyebut: Apa yang disebutkan oleh pengarang ini merupakan sesuatu yang disepakati. Ia sama ada hujung yang bersentuhan dengan najis tersebut bergerak dengan berdiri, duduk, rukuk dan sujudnya ataupun tidak bergerak. Inilah mazhab kami yang tiada khilaf padanya.” (Lihat  al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/150)

Justeru itu, tidak sah solat seseorang itu jika ada najis pada badan atau tempat solatnya atau menanggung najis pada dirinya.

Isu Solat dengan Pakaian Tidur

Pada asasnya, sepertimana telah dijelaskan di atas, bahawa termasuk syarat sah solat adalah dengan memastikan bersihnya badan, tempat solat dan pakaian seseorang itu. Lebih khusus lagi pakaian yang ingin dibawa solat mestilah bersih dari segala najis. Ini berdasarkan firman Allah SWT :

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

Maksudnya: “Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.”

(Surah al-Muddatthir : 4)

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa’di di dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan juga di dalam ayat tersebut ialah membersihkan pakaian daripada najis. Ini kerana ianya merupakan salah satu kesempurnaan amalan khususnya di dalam solat. Oleh sebab itu diperintahkan untuk membersihkan pakaian daripada segala jenis najis pada setiap waktu khususnya waktu solat. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir al-Kalam al-Mannan, 2/132)

Begitu juga dapat difahami bahawa najis itu perlu dibersihkan daripada pakaian melalui perintah Nabi SAW kepada Khaulah Binti Yasar. Kata Khaulah kepada Rasulullah SAW:

يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي إِلاَّ ثَوْبٌ وَاحِدٌ وَأَنَا أَحِيضُ فِيهِ فَكَيْفَ أَصْنَعُ ؟ قَالَ : إِذَا طَهُرْتِ فَاغْسِلِيهِ ، ثُمَّ صَلِّي فِيهِ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, Aku ini tiada pakaian melainkan satu helai sahaja dan aku dalam keadaan berhaid. Macam mana nak buat?. Sabda Rasulullah SAW: Jika engkau telah suci daripada haid, basuhlah pakaian tersebut dan solatlah gunakan pakaian itu.”

Riwayat Abu Daud (365)

Ini menunjukkan bahawa Nabi memerintahkan agar pakaian yang dipakai untuk solat perlu dibersihkan terlebih dahulu daripada segala najis.

Kata Imam al-Nawawi bahawa menurut mazhab syafi’i ialah bersih dan hilangnya najis merupakan syarat sah solat. Jika dia mengetahui adanya najis maka solatnya tidak sah tanpa ada khilaf lagi. Jika dia terlupa atau jahil terhadap najis yang ada pada tubuh, baju dan tempat solatnya maka solatnya juga tidak sah.Tidak kiralah sama ada solat fardu, solat sunat, solat jenazah ataupun sujud tilawahnya. Menghilangkan najis adalah syarat sah bagi kesemua ibadah tersebut. Inilah mazhab para syafi’iyyah, Imam Ahmad dan jumhur para ulama. Sama ada salaf mahupun khalaf. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/139)

Syeikh Nawawi al-Jawi: “Syarat sah solat yang kedua ialah bersih daripada najis yang tidak dimaafkan (لا يعفى عنها) pada baju iaitu pakaian yang dipakai, bersih najis daripada badan termasuk hidung, mata dan telinganya. Juga bersih najis daripada tempat solat yang mana jika ada najis boleh terlekat pada anggota badan atau pakaian.” (Lihat Kasyifah al-Saja Syarh Safinatunnaja, hlm. 119)

Ini bermakna bahawa sah atau tidak solat seseorang adalah bergantung kepada syarat ini. Jika ianya tidak dipenuhi atau dituruti maka tidak sahlah solat seseorang itu.

Antara syarat sah solat yang lain ialah menutup aurat dengan sempurna. Ini berdasarkan teguran Nabi SAW kepada Jarhad ketika mana pehanya terselak di dalam solat. Kata Nabi SAW:

غَطِّ فَخِذَكَ فَإِنَّهَا مِنْ الْعَوْرَةِ

Maksudnya: “Tutuplah peha mu kerana peha itu aurat.”

Riwayat al-Tirmizi (2798) Beliau menyatakan bahawa hadis ini ialah hadis hasan.

Di dalam riwayat lain menyebut daripada Aisyah bahawa Nabi SAW bersabda :

لاَ يَقْبَلُ اللَّهُ صَلاَةَ حَائِضٍ إِلاَّ بِخِمَارٍ

Maksudnya: “Allah tidak menerima solat wanita yang haid (iaitu wanita yang telah berlaku) kecuali dengan khimar (penutup kepala).”

Riwayat Abu Daud (641)

Imam al-San’ani menyebut bahawa penafian dengan huruf lam di dalam hadis tersebut adalah penafian yang membawa maksud tidak sahnya dan terbatalnya solat seseorang wanita jika tidak menutup auratnya. (Lihat Subul al-Salam Ila Bulugh al-Maram, 14/43)

Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ berkata: “Menutup aurat ialah syarat sah solat. Jika mana-mana bahagian aurat seseorang yang menunaikan solat terdedah, maka tidak sah solatnya.Tidak kiralah yang terdedah itu sedikit atau banyak. Sama ada lelaki atau perempuan. Sama ada solat bersama orang ramai atau bersendirian. Sama ada solat fardu atau solat sunat atau solat jenazah atau tawaf atau sujud tilawah mahupun sujud syukur.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/172)

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, harus menggunakan pakaian tidur untuk solat selagi mana pakaian itu bersih dan suci dari segala najis serta menutup aurat. Ini kerana kaedah mengatakan:

الأَصْلُ فِي الأشْيَاء الطَّهَارةُ

Maksudnya: “Asal bagi sesuatu adalah suci bersih.”

Ini bermakna bahawa mana-mana pakaian, air dan sebagainya itu adalah kekal suci selagi mana tiada bukti tentang kenajisannya. Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa’di menyebut:

والأصل في مياهنا الطهارهْ # والأرض والثياب والحجارهْ

Maksudnya: “Asal bagi air kita adalah suci bersih. Begitu juga tanah, pakaian dan batu-batu.” (Lihat Syarh Manzumah al-Qawaid al-Fiqhiyah, hlm. 136-137)

Akan tetapi seelok-eloknya gantilah kepada pakaian yang lebih elok dan sesuai. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ خُذُوا۟ زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang)…”

(Surah al-‘Araf: 31)

Ibn Kathir menyebut bahawa di dalam ayat ini terdapat makna bahawa sunnah memakai pakaian yang kemas dan sesuai ketika solat. Terutamanya pada hari Jumaat dan hari raya. Begitu juga digalakkan memakai wangi-wangian dan bersiwak kerana ia juga termasuk dalam maksud berhias dan kedua-duanya itu merupakan satu kesempurnaan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/256)

Kesimpulan

Berdasarkan persoalan di atas, kami nyatakan bahawa harus menggunakan pakaian tidur untuk solat selagi mana pakaian tersebut suci bersih dan menutup auratAkan tetapi lebih baik memakai pakaian yang lebih elok, kemas dan sesuai. Ini merupakan satu persediaan menghadap Tuhan Yang Maha Esa.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 15 Februari 2022 bersamaan 13 Rejab 1443H

Leave a Reply