Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum jual beli janin binatang? Adakah ia termasuk jenis gharar yang tidak dibenarkan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ -صلى الله عليه وسلم- نَهَى عنْ بيعِ حَبل الحَبلَةِ -وَكَانَ بَيْعًا يَبْتَاعُهُ أهْلُ الجَاهِلِيَّةِ- كَانَ الرَّجلُ يَبْتَاعُ الجَزُورَ إِلَى أنْ تُنْتَجَ النَّاقَةُ، ثُمَّ تُنْتَجَ الَّتِي فِي بَطْنِهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang menjual janin – jual beli ini dilakukan oleh masyarakat Jahiliyyah – Seseorang menjual unta sehingga unta tersebut mengandung, kemudian menjual janin yang ada di perutnya.”

Riwayat al-Bukhari (2143) dan Muslim (1514)

Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan:

Perkataan ‘حَبل’ adalah bentuk isim masdar. Yang dimaksudkan di sini adalah janin yang ada di perut induknya ketika berlakunya transaksi. Dikatakan di dalam al-Misbah: Sebahagian ulama berpendapat bahawa istilah ‘الحَبْل’ khusus untuk manusia, bukan untuk binatang dan tumbuh-tumbuhan.

Yang dimaksudkan dengan ‘الحَبلَةِ’ adalah mengandung kandungan, iaitu menghasilkan janin yang ada di perut unta. Ia adalah janin yang ada di perut unta.

Perkataan ‘الجَزُورَ’ bermaksud unta sama ada jantan atau betina.

Maksudnya ‘تُنْتَجَ النَّاقَةُ’ ialah sehingga melahirkan. ‘النَّاقَةُ’ ialah unta betina.

Kalimat ‘تُنْتَجَ الَّتِي فِي بَطْنِهَا’ adalah bermaksud larangan menjual janin, iaitu menjual anak-anaknya.

Antara pengajaran daripada hadith ini:

  • Dalam hadith di atas, terdapat larangan jual beli ‘حَبل الحَبلَةِ’. Dijelaskan di sini, yang dimaksudkan dengan jual beli ‘حَبل الحَبلَةِ’ adalah seseorang menjual unta dengan harga tempoh yang lunas setelah dia mendapatkan keturunannya.
  • Jenis jual beli ini bersifat khusus, kerana ia jenis jual beli yang dilakukan oleh masyarakat Jahiliyyah. Mereka menjadikan waktu pelunasan hutang dengan batasan ini.
  • Adapun hukum haramnya, maka ia termasuk jenis jual beli penipuan (gharar), kerana tidak diketahuinya batas waktu. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu.”

(Surah al-Baqarah: 228)

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ المَدِينَةَ وَهُمْ يُسْلِفُونَ بِالثَّمَرِ السَّنَتَيْنِ وَالثَّلاَثَ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ أَسْلَفَ فِي شَيْءٍ، فَفِي كَيْلٍ مَعْلُومٍ، وَوَزْنٍ مَعْلُومٍ، إِلَى أَجَلٍ مَعْلُومٍ.

Maksudnya: Nabi SAW datang ke Madinah, sementara mereka melakukan jual beli salaf pada buah kurma basah selama dua dan tiga tahun. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa melakukan jual beli salaf pada sesuatu, maka hendaklah menggunakan sukatan dan timbangan yang diketahui, hingga batas waktu yang diketahui.”

Riwayat al-Bukhari (2240) dan Muslim (1604)

Ini kerana dengan ketidaktahuan waktu boleh membawa kepada pertikaian, sementara Islam datang dengan cinta, kasih sayang dan penyatuan.

  • Sebahagian ulama’ mentafsirkan jual beli ‘حَبل الحَبلَةِ’ dengan jual beli janin. Illah hukumnya di sini lebih besar daripada yang pertama. Di sini, terdapat ketidaktahuan barang yang dibeli, iaitu tidak diketahuinya ukuran dan jenisnya. Di dalamnya juga terdapat ketidaktahuan waktu, kerana ia merupakan waktu yang tidak terbatas, terkadang panjang dan terkadang pendek, bahkan terkadang tidak ada sama sekali.

Inilah sebagaimana dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/262)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Leave a Reply