Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana kaifiyat atau tatacara untuk melakukan sujud syukur? Adakah mereka yang ingin sujud syukur perlu ada wudhu’ dan menghadap kiblat? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Syukur

Syukur merupakan pengiktirafan terhadap kurniaan Tuhan dengan memujinya. Hakikatnya menzahirkan atas kesan nikmat pada lidah, hati dan anggota badan di mana lidah memuji, hati mengiktiraf dan anggota badan melakukan mengikut apa yang diredhai-Nya. Madarij al-Salikin, (2/244) Syukur pada istilah ialah seorang hamba menggunakan semua nikmat kurniaan Allah kepadanya untuk mentaati-Nya. (Lihat Hasyiah al-Syabramalisi, 1/22)

Sedangkan takrif sujud syukur sebagai sujud yang dilakukan oleh seseorang ketika mendapat nikmat atau tertolak bala. (Lihat Syarh al-Minhaj dan Hasyiah al-Qalyubi, 1/208)

Ulama telah khilaf (berselisih pandangan) berkenaan dengan sujud syukur seperti berikut:

  • Pandangan pertama: Ia tidak disyariatkan. Inilah pendapat Abu Hanifah, Malik dalam satu pendapat yang masyhur dan al-Nakha’ie mengikut yang dinyatakan oleh Ibn al-Munzir.
  • Pandangan kedua: Ia disyariatkan dan hukumnya sunat. Inilah pendapat Imam al-Syafi’e, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur, Ibn al-Munzir, Abu Yusuf, Muhammad Ibn Habib daripada mazhab Maliki dan Ibn Qassar menisbahkan kepada Imam Malik bahkan ditashihkan oleh al-Banani.

Dalil Sujud Syukur

Dalil yang menunjukkan kepada pensyariatan sujud syukur adalah berdasarkan hadith Nabi SAW daripada Abu Bakrah RA, katanya:

أَنَّهُ كَانَ إِذَا جَاءَهُ أَمْرُ سُرُورٍ أَوْ بُشِّرَ بِهِ خَرَّ سَاجِدًا شَاكِرًا لِلَّهِ

Maksudnya: “Adalah Nabi SAW ketika telah datang sesuatu perkara yang menggembirakan ataupun diceritakan sesuatu yang gembira dengannya akan turun sujud, bersyukur terhadap Allah SWT.”

Riwayat Abu Daud (2774)

Antara hujahnya adalah berdasarkan hadis daripada Abu Bakrah R.A, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى الله عَليْهِ وسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَتَاهُ أَمْرٌ يَسُرُّهُ أَوْ بُشِّرَ بِهِ ، خَرَّ سَاجِدًا ، شُكْرًا لِلَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى

Maksudnya“Bahawa sesungguhnya Nabi SAW apabila datang kepadanya sesuatu yang menggembirakan atau khabar gembira, beliau lantas sujud untuk berterima kasih kepada Allah SWT.”

Riwayat Ibn Majah (1394)

Dalam riwayat lain, daripada Abu Bakrah R.A juga, beliau berkata:

اَنَّ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ اِذَا جَاءَهُ خَبَرٌ يَسُرُّهُ خَرَّ سَاجِدًا للهِ

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya apabila datang kepada Nabi SAW sesuatu yang baik yang menggembirakan, beliau langsung sujud kerana berterima kasih kepada Allah SWT.”

Riwayat Abu Daud (2774)

Begitu juga diriwayatkan daripada para Sahabat yang mana turut juga melakukan sujud syukur ketika menerima satu perkhabaran yang gembira. Sebagai contoh, diriwayatkan bahawa Abu Bakar RA sujud syukur ketika pembukaan Yamamah dan mendengar perkhabaran Musailamah al-Kazzab dibunuh. Begitu juga Ali RA telah sujud syukur apabila mendapati bahawa Dzu al-Thudayyah daripada kalangan Khawarij telah terbunuh. Seterusnya, diriwayatkan juga bahawa Ka’ab bin Malik telah sujud syukur ketika mana mendengar khabar bahawa taubatnya telah diterima oleh Allah SWT.

Disunatkan untuk melakukan sujud syukur ketika mana menerima kurnian nikmat daripada Allah SWT seumpama kelahiran anak, mendapat harta, pangkat, lulus peperiksaan dengan cemerlang dan juga selainnya. Begitu juga disunatkan untuk sujud syukur ketika mana kita terbebas dari segala bala dan bencana sepertimana terselamat dari kemalangan, gempa bumi dan juga perkara-perkara yang tidak baik.

Sepertimana dijelaskan, inilah pendapat al-Syafi’e (begitu juga pendokong mazhab Syafi’e), Ahmad bin Hanbal (begitu juga pendokong mazhab Hanbali), Ishak, Abu Thaur dan juga Ibn al-Munzir. Adapun al-Nakha’ie, Malik dan juga Abu Hanifah berpendapat bahawa sujud syukur adalah makruh. Namun, terdapat juga pendapat sebahagian Malikiyyah yang mengatakan bahawa sunatnya sujud syukur. ( Lihat al-Mughni1/449 dan al-Majmu’4/70)

Kaifiyat dan Tatacara Sujud Syukur

Di dalam kitab fiqh Syafi’e dan juga Hanbali menyebutkan bahawa sifat serta kaifiyat sujud syukur itu adalah seperti mana sujud tilawah di luar solat. Oleh itu, bagi yang ingin melakukan sujud syukur mestilah dalam keadaan berwudhu’, menutup aurat, bersih dari sebarang najis bagi tubuh badan, pakaian serta tempat sujud dan perlulah menghadap kiblat. (Lihat al-Majmu’4/63)

Secara praktikalnya bagi yang ingin melakukan sujud syukur adalah seperti berikut:

  • Perlulah berniat terlebih dahulu untuk melakukan sujud syukur.
  • Kemudian bertakbir sepertimana takbiratul ihram dengan mengangkat tangan kerana diqiyaskan dengan solat.
  • Kemudian bertakbir sekali lagi tanpa mengangkat tangan yang mana takbir pada kali ini adalah untuk turun sujud.
  • Kemudian sujud sekali sepertimana sujudnya di dalam solat. Adapun bacaan ketika sujud syukur ini adalah bacaan sepertimana sujud di dalam solat dan kemudiannya boleh ditambahkan dengan lafaz tahmid memuji Allah SWT atas kurniaan nikmat yang telah diberikan oleh-Nya.
  • Kemudian bangun dari sujud (dalam keadaan duduk) dan memberi salam. Tidak disyaratkan untuk membaca tasyahhud dan tidak juga disunatkan untuk membacanya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 1/358)

Sujud Syukur Tanpa Wudhu’ dan Tidak Menghadap Kiblat

Selain dari kaifiyat yang ditunjukkan pada perbahasan sebelum ini, terdapat juga perbahasan para ulama’ mengenai sujud syukur tanpa wudhu’ serta tidak pula menghadap kiblat. Ini adalah pendapat kebanyakan salaf  serta sebahagian al-Malikiyyah. ( Lihat Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar al-Khalil, 2/62)

Begitu juga ianya adalah pendapat jemaah muhaqqiq seperti Ibn Jarir al-Tabari, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam al-Fatawa al-Kubra, (5/340) , Ibn al-Qayyim Tahzib Sunan, (1/69), al-Syaukani Nail al-Autar, (3/127)  dan al-San’ani. (Lihat Subul al-Salam, 1/315)

Bagi yang berpendapat sedemikian, berikut adalah alasan serta justifikasi bagi menyokong pendapat mereka:

  • Pendapat yang mengatakan bahawa sujud syukur memerlukan wudhu’ perlu mendatangkan dalil. Mengqiyaskan sujud syukur dengan solat adalah tidak tepat kerana sujud syukur itu adalah sujud dan bukannya seperti solat.
  • Zahir hadith Abu Bakrah RA yang menunjukkan bahawa Nabi SAW terus sujud syukur tatkala menerima sesuatu yang menggembirakan Baginda. Tiada pula disebutkan perlunya dalam keadaan berwudhu’. Sekiranya memerlukan wudhu’ pasti akan diterangkan oleh Baginda SAW kerana berhajatkan kepadanya bahkan hadith menyebutkan Nabi SAW terus sujud tatkala menerima khabar yang gembira.
  • Sujud syukur dilakukan apabila mendapat nikmat atau terselamat dari mudarat tanda syukur kepada Allah SWT. Ianya dilakukan secara serta merta. Jika memerlukan kepada wudhu’, sudah tentu ianya tidak dapat dilakukan dengan segera kerana perlu mencari air untuk berwudhu’, mencari kiblat kemudian barulah boleh melakukan sujud syukur. Ini boleh menghilangkan rahsia makna disyariatkan sujud syukur itu sendiri.

Kesimpulan

Kami melihat di dalam isu ini, pendapat yang lebih dekat adalah pendapat yang mengatakan bahawa sujud syukur boleh dilakukan tanpa adanya wudhu’ dan juga menghadap ke kiblat. Ini dengan melihat bahawa tiada dalil yang menjadi pemutus akan perlunya untuk berwudhu’ dan menghadap kiblat.

Boleh sahaja bagi mereka yang menerima khabar gembira seperti mendapat anak, lulus peperiksaan, naik pangkat untuk terus sujud menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT. Begitu juga seseorang yang terselamat dari kecelakaan jalan raya, sembuh dari penyakit, boleh terus sujud menzahirkan rasa syukur serta lega dari kemudaratan yang tidak menimpa ke atasnya.

Jika ingin beramal dengan pendapat yang mengatakan perlunya wudhu’ serta menghadap kiblat juga tiada masalah kerana isu ini terdedah kepada perbahasan ilmiah yang boleh diperbahaskan lagi.

Semoga dengan pencerahan ini, dapat sama-sama untuk kita lebih memahami berkenaan sujud syukur dengan lebih baik lagi dan yang lebih utama adalah dengan mengamalkannya.

 Wallahu a’lam.

Bertarikh: 15 Februari 2022 bersamaan 13 Rejab 1443H

Leave a Reply