Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Rasulullah SAW pernah bermimpi di hujung usianya dengan dua gelang emas yang Baginda tidak suka, dan apakah ta’bir mimpi tersebut?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Banyak isu yang terkait dengan mimpi. Justeru, kami bahagikan kepada beberapa perkara:
Pertama: Mimpi yang benar dan mainan syaitan
Dalam hal ini, kami kemukakan hadith Nabi SAW, daripada Abu Qatadah bahawa Baginda bersabda:
الرُّؤْيَا الصَّادِقَةُ مِنَ اللهِ، وَالحُلْمُ مِنَ الشَّيْطَانِ.
Maksudnya: “Mimpi yang benar daripada Allah, dan mimpi yang buruk daripada syaitan.”
Riwayat al-Bukhari (6984)
Kedua: Sikap kita terhadap mimpi
Perlunya kita memahami jika ia baik adalah daripada Allah maka bolehlah kita ceritakan sebaliknya jika tidak, ia daripada syaitan, maka hendaklah kita berdoa berlindung daripadanya. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW, daripada Abu Sa‘id al-Khudri, bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda:
إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ رُؤْيَا يُحِبُّهَا، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ اللهِ، فَلْيَحْمَدِ اللهَ عَلَيْهَا وَلْيُحَدِّثْ بِهَا، وَإِذَا رَأَى غَيْرَ ذَلِكَ مِمَّا يَكْرَهُ، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَلْيَسْتَعِذْ مِنْ شَرِّهَا، وَلاَ يَذْكُرْهَا لِأَحَدٍ، فَإِنَّهَا لاَ تَضُرُّهُ.
Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kalian bermimpi melihat sesuatu yang disenanginya, maka sesungguhnya mimpi itu daripada Allah, kerana itu hendaklah dia memuji Allah dan menceritakannya. Dan apabila dia bermimpi melihat sesuatu yang tidak disenanginya, sesungguhnya mimpi itu daripada syaitan, maka hendaklah dia memohon perlindungan daripada keburukannya dan tidak menceritakannya, kerana sesungguhnya mimpi itu tidak akan membahayakannya.”
Riwayat al-Bukhari (6985)
Ketiga: Mimpi adalah salah satu juzuk daripada 46 juzuk kenabian
Benarlah sabda Nabi SAW, daripada ‘Ubadah bin al-Samit, bahawa Baginda bersabda:
رُؤْيَا المُؤْمِنِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ
Maksudnya: “Mimpi seorang mukmin adalah satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.”
Riwayat al-Bukhari (6987)
Guru kami Syeikh ‘Atiyyah Salim berkata: Disebut 46 juzuk kenabian dengan maksud usia risalah Rasulullah SAW kepada umatnya selama 23 tahun. Sedangkan datang dalam bentuk mimpi pada permualaan wahyu selama 6 bulan, ketika di Gua Hira’. Justeru, 6 bulan mewakili setengah tahun. Maka jadilah mimpi itu 1/46 juzuk kenabian.
Keempat: Mimpi yang baik sebagai berita gembira
Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَمْ يَبْقَ مِنَ النُّبُوَّةِ إِلَّا المُبَشِّرَاتُ. قَالُوا: وَمَا المـُبَشِّرَاتُ؟ قَالَ: الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ.
Maksudnya: “Tiada yang berbaki daripada kenabian selain berita gembira.” Mereka bertanya: “Apa itu berita gembira?” Baginda menjawab: “Mimpi yang baik.”
Riwayat al-Bukhari (6990)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan benar. Hal ini berdasarkan hadith, riwayat Ibn ‘Abbas R.Anhuma, daripada Nabi SAW, katanya:
بَيْنَا أَنَا نَائِمٌ، رَأَيْتُ أَنَّهُ وُضِعَ فِي يَدَيَّ سِوَارَانِ مِنْ ذَهَبٍ، فَفُظِعْتُهُمَا وَكَرِهْتُهُمَا، فَأُذِنَ لِي فَنَفَخْتُهُمَا فَطَارَا، فَأَوَّلْتُهُمَا كَذَّابَيْنِ يَخْرُجَانِ». فَقَالَ عُبَيْدُ اللهِ: أَحَدُهُمَا العَنْسِيُّ الَّذِي قَتَلَهُ فَيْرُوزُ بِاليَمَنِ وَالآخَرُ مُسَيْلِمَةُ.
Maksudnya: “Ketika aku sedang tidur, aku bermimpi bahawa diletakkan pada kedua belah tanganku dua gelang emas, maka aku berasa gerun dan aku tidak menyukai kedua-duanya. Setelah itu aku diberi keizinan, maka aku meniup kedua-duanya sehingga ia pun terbang. Maka aku menakwilkan kedua-duanya bahawa itu adalah dua orang pendusta yang akan muncul.” Maka ‘Ubaidillah berkata: “Salah seorang daripada keduanya adalah al-‘Ansi yang dibunuh oleh Fairuz di Yaman, dan yang lainnya adalah Musailimah.”
Riwayat al-Bukhari (7034)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”