Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Rasulullah SAW pernah bermimpi melihat seekor lembu disembelih? Dan apa takwilannya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Banyak isu yang terkait dengan mimpi. Justeru, kami bahagikan kepada beberapa perkara:
Pertama: Mimpi yang benar dan mainan syaitan
Dalam hal ini, kami kemukakan hadith Nabi SAW, daripada Abu Qatadah bahawa Baginda bersabda:
الرُّؤْيَا الصَّادِقَةُ مِنَ اللهِ، وَالحُلْمُ مِنَ الشَّيْطَانِ.
Maksudnya: “Mimpi yang benar daripada Allah, dan mimpi yang buruk daripada syaitan.”
Riwayat al-Bukhari (6984)
Kedua: Sikap kita terhadap mimpi
Perlunya kita memahami jika ia baik adalah daripada Allah maka bolehlah kita ceritakan sebaliknya jika tidak, ia daripada syaitan, maka hendaklah kita berdoa berlindung daripadanya. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW, daripada Abu Sa‘id al-Khudri, bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda:
إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ رُؤْيَا يُحِبُّهَا، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ اللهِ، فَلْيَحْمَدِ اللهَ عَلَيْهَا وَلْيُحَدِّثْ بِهَا، وَإِذَا رَأَى غَيْرَ ذَلِكَ مِمَّا يَكْرَهُ، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَلْيَسْتَعِذْ مِنْ شَرِّهَا، وَلاَ يَذْكُرْهَا لِأَحَدٍ، فَإِنَّهَا لاَ تَضُرُّهُ.
Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kalian bermimpi melihat sesuatu yang disenanginya, maka sesungguhnya mimpi itu daripada Allah, kerana itu hendaklah dia memuji Allah dan menceritakannya. Dan apabila dia bermimpi melihat sesuatu yang tidak disenanginya, sesungguhnya mimpi itu daripada syaitan, maka hendaklah dia memohon perlindungan daripada keburukannya dan tidak menceritakannya, kerana sesungguhnya mimpi itu tidak akan membahayakannya.”
Riwayat al-Bukhari (6985)
Ketiga: Mimpi adalah salah satu juzuk daripada 46 juzuk kenabian
Benarlah sabda Nabi SAW, daripada ‘Ubadah bin al-Samit, bahawa Baginda bersabda:
رُؤْيَا المُؤْمِنِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ
Maksudnya: “Mimpi seorang mukmin adalah satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.”
Riwayat al-Bukhari (6987)
Guru kami Syeikh ‘Atiyyah Salim berkata: Disebut 46 juzuk kenabian dengan maksud usia risalah Rasulullah SAW kepada umatnya selama 23 tahun. Sedangkan datang dalam bentuk mimpi pada permualaan wahyu selama 6 bulan, ketika di Gua Hira’. Justeru, 6 bulan mewakili setengah tahun. Maka jadilah mimpi itu 1/46 juzuk kenabian.
Keempat: Mimpi yang baik sebagai berita gembira
Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَمْ يَبْقَ مِنَ النُّبُوَّةِ إِلَّا المُبَشِّرَاتُ. قَالُوا: وَمَا المـُبَشِّرَاتُ؟ قَالَ: الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ.
Maksudnya: “Tiada yang berbaki daripada kenabian selain berita gembira.” Mereka bertanya: “Apa itu berita gembira?” Baginda menjawab: “Mimpi yang baik.”
Riwayat al-Bukhari (6990)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan benar. Hal ini berdasarkan hadith daripada Abu Musa – aku berpendapat bahawa ia – daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
رَأَيْتُ فِي المَنَامِ أَنِّي أُهَاجِرُ مِنْ مَكَّةَ إِلَى أَرْضٍ بِهَا نَخْلٌ، فَذَهَبَ وَهَلِي إِلَى أَنَّهَا اليَمَامَةُ أَوْ هَجَرٌ، فَإِذَا هِيَ المَدِينَةُ يَثْرِبُ، وَرَأَيْتُ فِيهَا بَقَرًا وَاللهِ خَيْرٌ، فَإِذَا هُمُ المـُؤْمِنُونَ يَوْمَ أُحُدٍ، وَإِذَا الخَيْرُ مَا جَاءَ اللهُ مِنَ الخَيْرِ وَثَوَابِ الصِّدْقِ الَّذِي آتَانَا اللهُ بِهِ بَعْدَ يَوْمِ بَدْرٍ.
Maksudnya: “Aku melihat di dalam mimpi bahawa sesungguhnya aku akan berhijrah dari Makkah ke suatu negeri yang terdapat pohon kurma. Maka aku menduga bahawa negeri itu adalah Yamamah atau Hajar, namun ternyata itu adalah Madinah (yang dulu dikenali dengan nama) Yathrib. Dan aku lihat di sana ada seekor lembu (disembelih), dan itu adalah baik demi Allah. Ternyata lembu itu adalah (gambaran) kaum mukmin (yang terbunuh) ketika peperangan Uhud, dan kebaikan itu pula adalah apa yang Allah datangkan daripada kebaikan dan pahala kejujuran yang Allah berikan kepada kami setelah peperangan Badar.”
Riwayat al-Bukhari (7035)
Kami akhiri dengan doa kepada saudara-saudara kita yang sedang menghadapi ujian dan tribulasi khasnya kepada saudara kita di Palestin:
اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”
Riwayat al-Bukhari (6393)
اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ
Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”
Riwayat al-Bukhari (2965)