Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat perut yang paling mula membusuk berbanding dengan yang lain?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Dalam menjawab persoalan di atas, hal ini kembali kepada nusus Syarak. Rasulullah SAW pernah menyebut hal ini. Hadith daripada Tarif bin Abi Tamimah katanya:
شَهِدْتُ صَفْوَانَ وَجُنْدَبًا وَأَصْحَابَهُ وَهُوَ يُوصِيهِمْ فَقَالُوا: هَلْ سَـمِعْتَ مِنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَيْئًا؟ قَالَ: سَـمِعْتُهُ يَقُولُ: «مَنْ سَـمَّعَ سَـمَّعَ اللهُ بِهِ يَوْمَ القِيَامَةِ – قَالَ: – وَمَنْ يُشَاقِقْ يَشْقُقِ اللهُ عَلَيْهِ يَوْمَ القِيَامَةِ». فَقَالُوا: أَوْصِنَا. فَقَالَ: «إِنَّ أَوَّلَ مَا يُنْتِنُ مِنَ الْإِنْسَانِ بَطْنُهُ، فَمَنِ اسْتَطَاعَ أَنْ لاَ يَأْكُلَ إِلَّا طَيِّبًا فَلْيَفْعَلْ، وَمَنِ اسْتَطَاعَ أَنْ لاَ يُحَالَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجَنَّةِ بِـمِلْءِ كَفِّهِ مِنْ دَمٍ أَهْرَاقَهُ فَلْيَفْعَلْ». قَالَ: قُلْتُ لِأَبِي عَبْدِ اللَّهِ: مَنْ يَقُولُ: سَـمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، جُنْدَبٌ؟ قَالَ: نَعَمْ جُنْدَبٌ.
Maksudnya: Aku pernah menyaksikan Sofwan dan Jundab serta para sahabat Safwan ketika dia (Jundab) sedang memberi wasiat kepada mereka. Mereka bertanya: “Adakah engkau ada mendengar sesuatu daripada Rasulullah SAW?” Dia (Jundab) menjawab: “Aku pernah mendengar Baginda bersabda: “Sesiapa yang memperdengarkan amalannya (kepada orang lain dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk), maka Allah akan memperdengarkannya (menzahirkan tujuannya itu) pada hari kiamat. Baginda juga bersabda: Dan barangsiapa yang menyusahkan (orang lain), maka Allah akan menyusahkan dirinya pada hari kiamat.”
Mereka berkata: “Berilah kami nasihat.” Dia berkata: “Sesungguhnya anggota yang mula-mula akan menjadi busuk daripada seseorang ialah perutnya. Barangsiapa yang mampu untuk tidak makan kecuali yang baik-baik, maka hendaklah dia melakukannya. Barangsiapa yang tidak mahu dihalangi antara dirinya dengan syurga dengan sebab sepenuh tapak tangan yang ditumpahkan darah yang ditumpahkannya, maka hendaklah dia melakukannya.” Dia (al-Firabri) berkata: Aku bertanya kepada Abu Abdillah: “Siapa yang mengatakan: Aku (al-Firabri) mendengar Rasulullah SAW, adakah Jundab?” Dia menjawab: “Benar, Jundab yang mengatakannya.”
Riwayat al-Bukhari (7152)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”