Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimanakah cara membetulkan perbuatan Imam yang terlupa?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan kelebihan solat berjemaah. Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda :

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya : “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.”

Riwayat Muslim (1509)

Antara tatacara solat berjemaah ialah wujudnya imam dan makmum, yang mesti memahami dengan sebaik-baiknya dan jika berlaku kesilapan bagi imam atau terlupa, terdapat tatacara bagi membetulkannya. Antaranya seperti berikut:

  1. Sekiranya imam terlupa atau tersilap pada qira’ah (bacaan), disunatkan bagi makmum untuk membantunya dengan mentalqinkan (yakni menyebutkan bacaan yang betul agar diikuti) imamnya.
  2. Ini berdasarkan hadith al-Musawwir bin Yazid al-Maliki RA:

 شَهِدتُ رسولَ اللهِ صلّى اللهُ عليه وسلَّمَ يَقرَأُ في الصَّلاةِ، فترَكَ شيئًا لم يَقرَأْه، فقال له رجُلٌ: يا رسولَ اللهِ، [ترَكتَ] آيةَ كذا وكذا! فقال رسولُ اللهِ صلّى اللهُ عليه وسلَّمَ: هلّا أَذكَرْتَنيها!

Maksudnya: “Aku melihat Nabi SAW membaca di dalam solat, kemudian tertinggal suatu yang sepatutnya dibaca. Lalu seorang lelaki menegur (selepas solat), “Wahai Rasulullah! (Bacaan) sebenarnya ialah begini dan begitu.” Lalu Baginda menjawab, “Kenapa kamu tidak mengingatkan aku tadi tentangnya?”

Riwayat Abu Daud (907)

  1. Dari Ibn Umar R.Anhuma berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم صَلَّى صَلاَةً فَقَرَأَ فِيهَا فَلُبِسَ عَلَيْهِ فَلَمَّا انْصَرَفَ قَالَ لأُبَىٍّ ‏”‏ أَصَلَّيْتَ مَعَنَا ‏”‏ ‏.‏ قَالَ نَعَمْ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ فَمَا مَنَعَكَ ‏”‏ ‏.‏

Maksudnya: “Sesungguhnya suatu hari Rasulullah SAW bersolat. Apabila Baginda membaca surah, tiba-tiba Baginda terlupa. Apabila solat sudah selesai, Baginda bertanya kepada Ubayy, “Adakah anda bersolat bersamaku?” Jawabnya, “Ya.” Baginda bersabda: “Maka, apa yang menghalangmu (daripada membetulkanku)?”

Riwayat Abu Daud (907).

  1. Daripada Anas bin Malik RA: “Para sahabat Rasulullah SAW saling membetulkan antara satu sama lain di dalam solat.” Hadith riwayat al- Daraqutni, al-Baihaqi dan al-Hakim.
  2. Sekiranya imam terlupa pada zikir (seperti zikir yang dibaca apabila berpindah rukun), atau menyebut perkataan lain (seperti tertukar bacaan i’tidal dan takbir), maka sunat bagi makmum untuk menegurnya secara kuat agar imam mendengar dan membetulkan bacaannya.
  3. Sekiranya imam terlupa pada rukun fi’li, seperti meninggalkannya atau mengubahnya, maka sunat bagi makmum bertasbih untuk memaklumkan kepada imam.
  4. Jika imam teringat dan yakin kesilapannya, maka hendaklah dia melaksanakannya. Contohnya, imam bangun untuk rakaat kelima dalam solat fardhu Zuhur secara lupa. Makmum bertasbih secara kuat sebagai menegur. Imam yang teringat dan yakin dia telah menambah perbuatan solat secara tidak sengaja, turun kembali untuk duduk sekalipun dia sudah berdiri tegak. Disunatkan sujud sahwi sebelum salam.
  5. Jika imam yakin bangkitnya untuk rakaat keempat, maka tidak boleh turun kembali kerana syak tidak boleh menghilangkan keyakinan.
  6. Jika imam bangkit ke rakaat kelima kerana menggantikan rukun yang tertinggal, maka imam perlu mengabaikan sahaja tasbih makmum yang menegur. Maka makmum berkenaan hendaklah dia mufaraqah (berpisah) daripada imam dan menyempurnakan solatnya secara bersendirian.
  7. Jika imam meninggalkan suatu sunat yang jika makmun tetap melakukannya maka akan berlakulah mukhalafah fahisyah dengan imam, seperti tasyahhud akhir, sujud tilawah dan sujud sahwi, maka makmum wajib mengikut perbuatan imam dan meninggalkan sunat itu. Batal solat sekiranya makmum melaksanakan secara bersendirian kerana mengikut perbuatan imam adalah syarat sah jemaah. Namun, jika makmum melakukan sunat yang ringan seperti doa qunut, maka itu dianggap sebagai mukhalafah yasirah (perbezaan yang kecil) yang tidak membatalkan solat dan jemaah.
  8. Jika imam meninggalkan tasyahhud awal, makmum boleh bertasbih menegur imam jika imam belum bangkit tegak, dan imam boleh turun kembali untuk duduk tasyahhud awal. Begitu juga, sekiranya makmum sudah tegak berdiri, tetapi imam sebelum sempat berdiri tegak telah turun kembali untuk tasyahhud awal, maka wajib bagi makmum untuk turun duduk mengikut imam. (Lihat al- Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 1/454)

Soalan: Apakah hukum makmum sengaja lambat daripada imam?

Jawapan: Perbuatan tersebut adalah makruh. Ini kerana makmum hendaklah mengikut imam berdasarkan hadith Rasulullah SAW:

إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا

Maksudnya: “Sesungguhnya imam dijadikan untuk diikuti dengannya, maka apabila imam bertakbir maka hendaklah kamu semua bertakbir dan apabila ia ruku’ maka hendaklah kamu ruku’.

Riwayat al-Bukhari (378) Muslim (411) dan al-Tirmidzi (361)

Kami nukilkan di sini daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji:

“Makmum hendaklah mengikut perpindahan imamnya dalam semua rukun fi’li. Perbuatan makmum hendaklah terkemudian daripada perbuatan imam tetapi sebelum selesai perbuatan imam tersebut. Adalah makruh bagi makmum terkemudian satu rukun daripada imamnya malah solatnya batal jika ketinggalan dua rukun yang panjang.

Contohnya, imam telah ruku’ dan i’tidal kemudian sujud dan bangun sedangkan makmum masih lagi berdiri tanpa sebab yang dimaafkan. Tetapi jika dia ketinggalan disebabkan sesuatu yang dimaafkan seperti lambat bacaannya, dia dibolehkan terkemudian daripada imam sehingga 3 rukun.

Walau bagaimanapun, jika masih tidak memadai untuk mengikut imam selanjutnya, mengikut imam. Kemudian dia hendaklah menyambung perbuatannya semula yang dia hendaklah menghentikan perbuatan yang sedang dilakukannya dan teruskan tertinggal selepas imam mengucap salam.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/463)

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua`lam.

Leave a Reply