Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah metod bertafakkur menurut nas ilahi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

أَوَلَمْ يَتَفَكَّرُوا۟ فِىٓ أَنفُسِهِم ۗ مَّا خَلَقَ ٱللَّهُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَآ إِلَّا بِٱلْحَقِّ وَأَجَلٍۢ مُّسَمًّۭى ۗ وَإِنَّ كَثِيرًۭا مِّنَ ٱلنَّاسِ بِلِقَآئِ رَبِّهِمْ لَكَـٰفِرُونَ

Maksudnya: “Tidakkah mereka memikirkan tentang kejadian diri mereka sendiri? Allah tidak menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya melainkan dengan kebenaran-Nya dan dengan tempoh masa yang ditetapkan. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia tidak mempercayai pertemuan Tuhan mereka.”

(Surah al-Rum: 8)

Dalam ayat ini, Allah SWT mengajukan persoalan kepada golongan musyrikin. Apakah mereka tidak berfikir tentang bagaimana kejadian diri manusia itu sendiri? Akulah yang telah mencipta dan menjadikan mereka daripada tiada kepada ada. Akulah yang mengatur mereka dengan melalui beberapa proses yang akhirnya membentuk manusia yang mempunyai bentuk tubuh dan akal yang sempurna. Semestinya Dia mampu untuk menciptakan mereka semula selepas mereka dibinasakan. Allah SWT mengingatkan hamba-hambanya untuk bertafakur dan merenungi ciptaan-Nya bagi melihat tanda-tanda kebesaran-Nya. Dengan merenungi ciptaan-ciptaan ini, manusia dapat mengerti dan memahami bahawa setiap makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT bukanlah satu perkara yang sia-sia, bahkan ia dicipta dengan tujuan dan perancangan yang jelas. (Lihat Tafsir al-Bayan, 4/236)

Metode Bertafakur

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa amalan berfikir atau bertafakur, dalam konteks merenung ayat-ayat Allah SWT dan ciptaan-Nya seterusnya mengagungkan-Nya adalah merupakan perbuatan yang terpuji. Malah, merenung penciptaan makhluk-makhluk Allah SWT bagi tujuan bertafakur dan mengambil pelajaran daripadanya adalah dituntut dan dianjurkan. Terdapat hadis yang memberi gambaran penuh kepada kita mengenai metode bertafakur yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW. Ibn Abbas R.Anhuma meriwayatkan bahawa:

فَقَامَ نَبِيُّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ، فَخَرَجَ فَنَظَرَ فِي السَّمَاءِ، ثُمَّ تَلَا هَذِهِ الْآيَةَ فِي آلِ عِمْرَانَ (إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ) حَتَّى بَلَغَ (فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ) ثُمَّ رَجَعَ إِلَى الْبَيْتِ فَتَسَوَّكَ وَتَوَضَّأَ، ثُمَّ قَامَ فَصَلَّى ثُمَّ اضْطَجَعَ ثُمَّ قَامَ، فَخَرَجَ فَنَظَرَ إِلَى السَّمَاءِ فَتَلَا هَذِهِ الْآيَةَ، ثُمَّ رَجَعَ فَتَسَوَّكَ فَتَوَضَّأَ، ثُمَّ قَامَ فَصَلَّى.

Maksudnya: “Nabi SAW bangun pada akhir malam, lalu keluar. Setelah itu, Baginda memandang ke arah langit sambil Baginda membaca ayat ini – dalam Surah Ali ‘Imran – (yang bermaksud) “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang…” sehingga sampai kepada ayat (yang bermaksud) “maka peliharalah kami daripada azab neraka.” Kemudian, Baginda SAW kembali pulang ke rumah lalu bersugi dan berwudhu’. Setelah itu, Baginda SAW mendirikan solat. Kemudian, Baginda SAW berbaring. Setelah itu, Baginda SAW bangun (sekali lagi), lalu keluar dan menatap ke arah langit sambil membaca ayat ini. Kemudian, Baginda kembali pulang (ke rumah), lalu bersugi dan berwudhu’. Setelah itu, Baginda mendirikan solat.”

Riwayat Muslim (256)

Berdasarkan kepada hadis di atas, sekurang-kurangnya terdapat lima elemen penting yang perlu diberi perhatian agar tafakur yang dilakukan dapat memberi kesan yang mendalam dan maksima kepada jiwa, iaitu menjadikan iman dan taqwa sebagai teras utama, ibadah-ibadah seperti bacaan doa, ayat-ayat al-Quran, bersuci, dan mendirikan solat sebagai medium yang berkesan, pemilihan waktu yang munasabah seperti waktu sepertiga malam yang merupakan waktu yang paling tenang dengan kadar gangguan yang sangat minimum. Begitu juga lokasi yang sesuai, dan akhirnya penggunaan keupayaan pancaindera secara optimum, khususnya deria penglihatan dan pendengaran dalam proses merenung serta memerhatikan penciptaan alam ini. (Lihat Tafsir al-Bayan, 4/237-238)

Kesimpulan

Berfikir mengenai kejadian diri kita dan makhluk-makhluk ciptaan Allah SWT menambah keimanan kita kepada-Nya dan hari pembalasan. Janganlah kita mengikut jejak kaum yang mendustakan Allah SWT dan rasul-Nya, kelak kita termasuk dalam kalangan orang-orang yang menyesal di dalam neraka.

Kita perlulah mengambil iktibar daripada kesan-kesan umat yang terdahulu yang dibinasakan akibat pendustaan mereka kepada para rasul yang diutuskan oleh Allah SWT kepada mereka. Janganlah kita bersikap materialistik sehingga mengabaikan tujuan utama kita di dunia adalah untuk mencari keredhaan Allah SWT dan bersedia bagi hari pembalasan.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply