Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah pesanan nabi kepada Muaz bin Jabal R.A selepas solat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjawab persoalan di atas, diriwayatkan daripada Muaz bin Jabal R.A, bahawa Rasulullah SAW berpesan kepadanya:

أُوصِيكَ يَا مُعَاذُ لاَ تَدَعَنَّ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ تَقُولُ اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: Aku berpesan kepadamu wahai Muaz, janganlah engkau meninggalkan pada penghujung setiap solat dari membaca: “Ya Allah bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan elok dalam beribadah kepada-Mu.”

Riwayat Abu Dawud (1552). Imam al-Nawawi menyebut dalam al-Azkar bahawa sanad hadith ini sahih.

Syeikh al-‘Azim Abadi menjelaskan, dalam doa ini kita memohon kepada Allah SWT agar kita dapat mentaati-Nya melalui lisan, hati dan perbuatan tubuh badan. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 4/385)

Hadith ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW berpesan kepada Muaz bin Jabal supaya tidak meninggalkan zikir “اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ” selepas solat.

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: “DIsunatkan untuk membaca doa ini selepas solat fardhu kerana ia adalah yang dimaksudkan dalam hadith ini secara mutlak. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/308)

Berkenaan dengan maksud perkataan dubur (penghujung) solat, para ulama berbeza pendapat berkenaannya kepada dua pendapat:

Pandangan Pertama: Selepas Salam

Sebahagian ulama berpendapat bahawa maksud penghujung solat itu adalah selepas sahaja dari menunaikan solat. Mereka berhujahkan antaranya dengan firman Allah SWT:

فَإِذَا قَضَيْتُمُ الصَّلَاةَ فَاذْكُرُوا اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِكُمْ

Maksudnya: Maka apabila kamu selesai melaksanakan solat, berzikirlah kepada Allah dalam keadaan berdiri, duduk, dan juga berbaring.

(Surah al-Nisa’: 103)

Imam al-Qurtubi dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini berkata: “Apabila kamu selesai dari solat maka berzikirlah kepada Allah dengan jantung hati dan juga lidah.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/319)

Riwayat di atas ini menunjukkan anjuran zikrullah secara umum selepas menunaikan solat. Kemudian datanglah beberapa riwayat hadis yang menjelaskan tentang zikir-zikir yang dimaksudkan. Antaranya menerusi sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Al-Mughirah bin Syu’bah R.A beliau berkata bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW membaca pada penghujung solat apabila baginda selesai memberi salam:

‏لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ، وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهْوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ، اللَّهُمَّ لاَ مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ، وَلاَ مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ، وَلاَ يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ

Maksudnya: “La Ilaaha IllaLlah, Dia lah yang Maha Esa dan tidak ada sekutu bagi-Nya. Buat-Nya seluruh kepujian dan Dia Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu. Wahai Allah, tidak ada yang dapat menghalang terhadap suatu yang telah Kau berikan, tidak ada yang dapat memberi apabila Kau telah menghalangnya. Dan kekayaan pemilik kekayaan tidak dapat memberi manfaat kepadanya berbanding diri-Mu.”

Riwayat al-Bukhari (6330)

Imam al-Bukhari di dalam kitabnya Sahih Al-Bukhari meletakkan hadis ini di dalam bab: “Berdoa selepas solat.”

Pandangan Kedua: Selepas Tasyahhud Sebelum Salam

Imam Ibn al-Qayyim berkata: “Dubur (penghujung) solat itu mempunyai ihtimal (kemungkinan) sama ada sebelum salam atau selepas salam. Guru kami (Ibn Taimiyyah) merajihkan bahawa maksudnya adalah sebelum salam. Lalu aku pun merujuk isu ini kepadanya dan beliau berkata: “Dubur bagi setiap sesuatu adalah sebahagian darinya, seperti dubur haiwan.” (Lihat Zad Al-Ma’ad, 1/294)

Mereka menyebut isu ini apabila mengulas berkenaan hadis:

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ الدُّعَاءِ أَسْمَعُ قَالَ جَوْفُ اللَّيْلِ الآخِرُ وَدُبُرَ الصَّلَوَاتِ الْمَكْتُوبَاتِ

Maksudnya: Wahai Rasulullah, doa apakah yang paling didengari? Lalu kata Rasulullah SAW: Di pertengahan malam dan pada penghujung solat fardhu.

Riwayat al-Tirmizi (3499)

Justeru apabila kita mengatakan bahawa penghujung bagi setiap sesuatu adalah sebahagian darinya, maka dapat difahami bahawa dubur bagi solat merupakan sebahagian dari solat dan maksudnya di sini adalah selepas tasyahhud akhir dan sebelum ucapan salam.

Oleh itu, riwayat-riwayat yang menyebut tentang zikir-zikir dan disertakan isyarat bahawa ia dibaca sesudah solat, maka maksud penghujung solat di situ adalah selepas solat. Manakala riwayat-riwayat yang menyebutkan bacaan doa penghujung solat tanpa mengikatnya dengan bacaan selepas solat, maka penghujung solat di situ adalah selepas tasyahhud akhir dan sebelum salam.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Leave a Reply