Soalan
Assalamualaikum ustaz. Apa hukum mengebumikan jenazah bukan di tempat dia meninggal dunia? Ini kerana ada yang mengatakan bahawa jenazah mesti dikebumikan di tempat di mana dia meninggal. Mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Definisi Jenazah
Menurut Imam al-Ramli, perkataan al-Jana’iz merupakan jamak dari perkataan janazah. Perkataan janazah adalah nama bagi mayyit (mayat) yang mana diletakkan di atas keranda. ( Lihat Nihayah al-Muhtaj Syarah al-Minhaj, 8/16).
Selain itu, al-Nawawi menukilkan pandangan daripada Ibn Faris, yang mana beliau mengatakan perkataan al-Jana’iz itu adalah kalimah jamak dari masdar al-Janazah. (Lihat Tahrir Alfaz al-Tanbih, hlm. 94)
Manakala dari sudut istilah, menurut Muhammad Batthal, dalam al-Nazm al-Musta’zab fi Syarh Gharib al-Muhazzab, (1/123) jenazah bermaksud seseorang yang meninggal dunia dan yang telah terpisah rohnya dari badannya. Begitu juga, dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, jenazah boleh didefinisikan sebagai mayat bagi orang Islam.
Dua perkataan yang sinonim dengan kematian ialah jenazah atau mayat. Terdapat banyak dalil yang membicarakan berkaitan dengannya. Antaranya:
Firman Allah SWT:
قُلْ يَتَوَفَّاكُمْ مَلَكُ الْمَوْتِ الَّذِي وُكِّلَ بِكُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ
Maksudnya: Katakanlah: “Malaikat maut yang diberi tugas dalam (mencabut nyawa)mu akan mematikanmu, kemudian hanya kepada Tuhanmulah kamu akan dikembalikan.”
(Surah al-Sajadah: 11)
Dijelaskan dalam Tafsir al-Jalalain, bahawa Malaikat maut akan diamanahkan oleh Allah SWT dalam mencabut nyawa manusia bagi mengakhiri hidupnya dan Dialah yang akan membalas amal perbuatan kalian. (Lihat Tafsir al-Jalalain, hlm. 546)
Selain itu, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Mulk:
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
Maksudnya: “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) bagi menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).”
(Surah al-Mulk: 2)
Al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebut: Allah SWT menciptakan manusia untuk kematian dan kehidupan. Dalam nas ini, Allah menyebut kematian terlebih dahulu adalah kerana asal manusia itu dalam hukum kematian. Sebagai contoh sperma, tanah dan sebagainya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/206)
Dalam nas yang lain, Allah berfirman dalam Surah Ali-Imran:
كُلُّ نَفۡس ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ
Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.”
( Surah Ali-Imran: 185)
Al-Maraghi dalam tafsirnya menafsirkan bahawa bagi setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami saat perpisahan dengan jasadnya. Walaupun badannya mati, namun jiwa tidak akan mati. Hal ini kerana mampu merasakan sesuatu adalah yang hidup sedangkan bagi yang telah mati, tidak akan mampu merasakan sesuatu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/861)
Begitu juga, Sayyid Qutub menafsirkan bahawa setiap yang hidup pasti akan meneguk air maut dan akan berpisah dari kehidupannya. Tiada ada beza di antara seseorang dengan yang lain dalam kepastian merasai air maut, malah yang berbeza diantara mereka adalah nasib dan kesudahan mereka selepas meninggalkan dunia ini.(Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/19)
Tanggungjawab Terhadap Si Mati
Kita dituntut untuk menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ
Maksudnya: Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.
Menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155)
Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardu kifayah menurut ijma’ para ulama’ tanpa khilaf. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/104)
Susunan proses pengurusan terhadap jenazah boleh dijelaskan seperti berikut:
Memandikan jenazah adalah suatu kewajipan yang diletakkan di dalam fardhu kifayah. Hal ini bermakna, kewajipan itu wajib ke atas masyarakat di sesuatu tempat, dan kewajipan itu hanya akan terangkat atau dikira selesai apabila sebahagian daripada masyarakat menunaikan tanggungjawab tersebut.
Kewajipan memandikan jenazah ini berasal daripada arahan Nabi SAW ketika berlakunya tragedi seorang lelaki yang mati akibat terjatuh daripada unta, maka diseru untuk dimandikan jenazahnya, sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma:
اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ, وَكَفِّنُوهُ فِي ثَوْبَيْنِ
Maksudnya: “Mandikanlah dia dengan air yang dicampur daun bidara dan kafanilah dengan dua helai kain.”
Riwayat al-Bukhari (1265)
Terdapat dua tatacara mandian, iaitu:
Pertama, disebutkan al-ghusl al-adna atau mandian asas yang wajib bagi mayat. Apabila selesai peringkat ini, maka sempurnalah kewajipan. Langkah yang pertama ialah dengan membersihkan najis-najis yang berada di badan atau yang melekat pada mayat. Kemudian hendaklah dimandikan kepada mayat itu dengan air sebagaimana wajib ke atas orang yang berjunub ketika hidup. Tidak menjadi syarat sah mandian jenazah untuk di niatkan terlebih dahulu. Maka dengan itu, selesailah perkara yang wajib dalam pemandian jenazah.
Kedua, al-ghusl al-akmal iaitu mandian yang lebih sempurna. Dalam kategori ini, dilakukan semua yang wajib, sunat, harus serta ditambah bersama dengan adab-adab ketika menguruskan pemandian jenazah.
Kafan bermaksud suatu yang membalut atau menutup badan jenazah yang meninggal dunia. Secara umumnya, mengkafankan jenazah dengan kain putih adalah dituntut di sisi syarak. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الْبَسُوا مِنْ ثِيَابِكُمُ الْبَيَاضَ فَإِنَّهَا خَيْرُ ثِيَابِكُمْ وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ
Maksudnya: “Pakailah dari pakaian kamu yang berwarna putih, sesungguhnya ia merupakan pakaian terbaik kamu dan kafankanlah orang yang meninggal dunia dari kalangan kamu dengan warna putih.”
Riwayat Abu Daud (4061)
Kata perintah dalam hadis tersebut membawa kepada hukum sunat. Ini kerana, Rasulullah SAW ada memakai pakaian-pakaian yang tidak berwarna putih dalam keadaan yang banyak bagi menjelaskan keharusannya.
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa proses mengkafankan jenazah ini disunatkan padanya untuk menggunakan kain kafan yang berwarna putih. Jenis (kainnya) pula bagi hak si mati adalah apa yang dibolehkan untuk dia memakainya semasa masih hidup. Maka dibolehkan untuk dikafankan orang perempuan menggunakan kain sutera, namun makruh hukumnya. Manakala bagi orang lelaki haram dikafankan dengan kain sutera. (Lihat Raudhah al-Talibin, 2/110)
Justeru, jika tiada kain kafan dalam pemahaman masyarakat iaitu kain yang berwarna putih, maka boleh untuk jenazah dikafankan dengan apa sahaja kain yang dibolehkan untuk si mati memakainya semasa hayatnya.
Sekiranya tidak mencukupi tiga helai kain, memadailah dengan sekadar satu helai kain sahaja untuk menjadi kain kafan kepada si mati.
Solat jenazah merupakan fardhu kifayah ke atas setiap muslim yang menghasilkan ganjaran pahala yang besar kepada pelakunya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Thauban R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى عَلَى جَنَازَةٍ فَلَهُ قِيرَاطٌ فَإِنْ شَهِدَ دَفْنَهَا فَلَهُ قِيرَاطَانِ الْقِيرَاطُ مِثْلُ أُحُدٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan solat jenazah maka dia akan mendapat pahala sebanyak satu qirath. Jika sekiranya dia menyaksikan pengebumian jenazah maka dia akan mendapat dua qirath, dan satu qirath itu ganjaranya sebesar bukit Uhud.”
Riwayat Muslim (946)
Para fuqaha al-Syafi’eyyah menyebut bahawa solat jenazah boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja dari sudut ia tidak terhad kepada waktu-waktu yang tertentu. Bahkan kata Imam al-Mawardi: “Solat ke atas mayat, ia tidak terkhusus kepada waktu-waktu yang tertentu. Ia tidak dimakruhkan untuk dilaksanakan pada waktu-waktu yang tertentu. Dibolehkan untuk mengerjakan ia pada waktu-waktu yang dilarang solat padanya.” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 3/48)
Rasulullah SAW bersabda:
أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ
Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”
Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)
Berdasarkan hadis ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. ( Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20 & 51)
Mengebumikan Jenazah Bukan di Tempat Dia Meninggal
Berbalik kepada persoalan di atas, kami nukilkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW menyuruh supaya disegerakan urusan berkaitan pengebumian jenazah dengan bersabda:
أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ ، فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا إِلَيْهِ ، وَإِنْ تَكُ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ
Maksudnya: “Bersegeralah kalian dalam menguruskan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”
Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)
Syeikh ‘Ilisy al-Maliki menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan, namun tanpa tergopoh-gapah. Bahkan, makruh hukumnya jika dengan kelajuan yang menyukarkan untuk orang lain untuk mengikutinya. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155)
Walau bagaimanapun, diharuskan dan dibolehkan untuk menangguhnya jika mempunyai sebab yang kuat dan maslahah yang lebih besar, antaranya ialah:
- Jika sekiranya terdapat syak tentang kematiannya seperti seseorang mati disebabkan oleh lemas, penyakit berkaitan perut, kematian mengejut dan seumpamanya, yang masih berkemungkinan untuk hidup. Hal ini seperti disebut di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah:
اتَّفَقَ الفقهاء عَلَى أَنَّهُ إِن تَيَقَّن المَوْتَ يبادر إِلَى التَجْهِيز وَلَا يُؤَخَّر… فَإِنْ مَاتَ فَجْأَةً تَرَكَ حَتَّى يتيقن مَوْتَه
Maksudnya: Para fuqaha’ telah bersepakat bahawa jika sekiranya diyakini kematian seseorang tersebut, maka hendaklah bersegera untuk menyiapkan pengebumiannya dan tidak boleh sengaja dilambat-lambatkan. Jika sekiranya seseorang itu mati dalam keadaan mengejut, maka hendaklah dibiarkan terlebih dahulu sehinggalah diyakini kematiannya. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 16/7)
- Menunggu supaya dapat disembahyangkan oleh jemaah yang lebih ramai. Dibolehkan untuk menangguhkan pengebumian seperti contohnya seseorang yang mati di awal pagi jumaat ditangguhkan sehingga selepas solat Jumaat untuk mendapatkan jumlah jemaah yang ramai. Hal ini kerana jenazah yang disembahyangkan oleh jemaah yang ramai akan dapat memberikan syafaat kepada si mati, lebih-lebih lagi jika disertai oleh ramai orang-orang yang soleh dan beriman. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RAnha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ مَيِّتٍ يُصَلِّي عَلَيْهِ أُمَّةٌ مِنْ الْمُسْلِمِينَ يَبْلُغُونَ أَنْ يَكُونُوا مِائَةً يَشْفَعُونَ إِلَّا شُفِّعُوا فِيهِ
Maksudnya: “Tidak ada seorang muslim yang meninggal dunia kemudian disembahyangkan oleh seratus orang dalam kalangan orang Islam dengan meminta supaya diberikan syafaat kepada si mati kecuali pasti akan diberikan syafaat kepadanya.”
Riwayat Muslim (947)
- Menunggu kedatangan ahli waris untuk melihat jenazah buat kali terakhir selama mana tidak terlalu lama. Hal ini seperti disebutkan di dalam kitab Faidh al-Qadir:
يَنْبَغِي انْتِظَارِ الوَلِيِّ إِنْ لَمْ يَخَفْ تَغَيًّرُهُ
Maksudnya: Hendaklah menunggu walinya (untuk melihat jenazah) selagimana tidak dikhuatiri perubahan berlaku pada mayat. (Lihat Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 3/377)
Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa menangguh pengebumian adalah diharuskan jika sekiranya terdapat sebab yang munasabah dan bahkan dituntut jika terdapat maslahah yang lebih besar apabila menangguhnya pada kadar yang tidak terlalu lama.
Di samping itu, para ulama’ juga menyatakan bahawa adalah disunatkan untuk mengebumikan jenazah di tempat dia meninggal dunia. Antaranya ialah apa yang disebut oleh Syeikh Abu Bakr al-Mundzir al-Naisabur:
يُستحبُّ أن يُدفنَ الْميِّتُ في البلدِ الذي تُوفِّيَ فيه، على هذا كانَ الأمرُ على عهدِ رسولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم، وعليه عَوامُّ أهلِ العلمِ، وكذلكَ تفعلُ العامَّةُ في عامَّةِ البلدانِ
Maksudnya: “Disunatkan untuk dikebumikan jenazah di negeri yang dia meninggal dunia padanya. Dan begitulah hal keadaannya pada zaman Rasulullah SAW, dalam kalangan ahli ilmu dan juga kebiasaan orang awam.” (Lihat al-Awsat fi al-Sunan, al-Ijma’ wa al-Ikhtilaf, 5/464)
Walau bagaimanapun, diharuskan untuk memindahkan jenazah untuk dikebumikan di tempat lain selagimana mempunyai sebab dan maslahah yang kuat dan tidak mengambil masa yang lama sehingga menjangkau waktu yang lama, seperti dua atau tiga hari sebagai contoh. Jika mengambil masa terlalu lama, maka hukumnya adalah makruh. Ini sepertimana disebutkan Imam Ibn Hajar dalam kitabnya Fath al-Bari dengan berkata:
اختلف فِي جَوَازِ نَقْلِ المَيِّتِ مِن بَلَدٍ إِلَى بَلَد فَقِيلَ يُكْرَه، لِمَا فِيهِ مِن تَأْخِيرِ دَفْنِهِ وتعريضه لهتك حرمته وَقِيلَ يُسْتَحَبُّ كَمَا نَصَّ الشافعي على استحباب نقل المَيِّتِ إِلَى الأرْضِ الفَاضِلَةِ كَمَكَّة وَغَيْرِهَا
Maksudnya: Para ulama’ berbeza pendapat berkaitan keharusan memindahkan urusan pengebumian jenazah daripada stu tempat ke satu tempat yang lain. Ada yang mengatakan hukumnya makruh kerana ia melambatkan proses pengebumiannya dan mendedahkan jenazah kepada perkara yang mungkin mencemarkan kehormatannya. Ada pula yang mengatakan ia disunatkan.. sepertimana dinukilkan daripada Imam al-Syafie bahawa sunat memindahkan jenazah ke tempat yang mulia seperti Mekah dan seumpamanya. (Lihat Fath al-Bari, 4/117)
Begitu juga, disebut di dalam kitabnya ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud:
قَالَ العيني: وَأَمَّا نَقْلُ المَيِّتِ مِن مَوْضِعٍ إِلَى مَوْضِعٍ فَكَرِهَهُ جَمَاعَةٌ وَجَوَّزَهُ آخَرُونَ, وقال المازري: ظَاهِرُ مَذْهَبنَا جَوَازُ نَقْلِ المَيِّتِ مِن بَلَدٍ إِلَى بَلَدٍ، وقد مات سعد بن أبي وقاص وسعيد بن زيد بالعقيق ودُفِنَا بِالمَدِينَةِ
Maksudnya: Berkata Imam al-Aini: Adapun memindahkan jenazah daripada satu tempat ke tempat yang lain, sebahagian ulama’ mengatakan ia makruh dan sebahagian lagi mengatakan ianya diharuskan. Al-Maziriy berkata: Apa yang zahir bagi mazhab kami ialah harus untuk memindahkan jenazah daripada satu negeri ke negeri yang lain. Contohnya Saad Ibn Abi Waqas dan Sa’id Ibn Zaid telah meninggal dunia di al-‘Aqiq, namun kemudiannya mereka disemadikan di Madinah. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, 5/59)
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa dibolehkan dan harus hukumnya untuk mengebumikan jenazah bukan di tempat dia meninggal dunia dan melewatkan sedikit urusan pengebumian jenazah selagimana mempunyai sebab yang kuat, mashlahah yang lebih besar dan tidak mengambil masa terlalu lama sehingga memudaratkan jenazah.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 15 Februari 2022 bersamaan 13 Rejab 1443H