Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya saya ada memberikan hutang kepada kawan dalam jumlah yang agak banyak kerana dia memerlukan bantuan kewangan, setelah sekian lama dia masih tidak melunaskan hutang tersebut, soalan saya apakah hukum saya meminta hak saya agar dikembalikan semula ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Islam tidak melarang kita untuk berhutang, bahkan nas yang membicarakan berkaitan hutang piutang amat jelas sekali di dalam al-Quran. Ini memberi satu gambaran yang jelas bahawa Islam bahawa Islam adalah satu agama yang syumul dari semua aspek. Tuntutan untuk merekod hutang piutang adalah sunat di dalam agama Islam. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).”

(Surah al-Baqarah: 282)

Ibn Kathir menerangkan, “Ayat ini merupakan panduan daripada Allah SWT kepada hambaNya yang mukmin untuk menulis atau merekod sekiranya bermuamalah dengan cara bertangguh (berhutang). (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/411).

Demikian juga hadis yang diriwayatkan oleh Ka’ab bin Malik RA:

أَنَّهُ تَقَاضَى ابْنَ أَبِى حَدْرَدٍ دَيْنًا كَانَ لَهُ عَلَيْهِ فِى الْمَسْجِدِ، فَارْتَفَعَتْ أَصْوَاتُهُمَا حَتَّى سَمِعَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ فِى بَيْتِهِ، فَخَرَجَ إِلَيْهِمَا حَتَّى كَشَفَ سِجْفَ حُجْرَتِهِ فَنَادَى: يَا كَعْبُ. قَالَ لَبَّيْكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: ضَعْ مِنْ دَيْنِكَ هَذَا. وَأَوْمَأَ إِلَيْهِ أَىِ الشَّطْرَ قَالَ لَقَدْ فَعَلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: قُمْ فَاقْضِهِ

Maksudnya: “Suatu ketika dia menuntut Abdullah bin Abu Hadrad supaya membayar hutangnya. Peristiwa ini berlaku di dalam masjid. Suara mereka riuh rendah hingga didengari oleh Rasulullah SAW walaupun Baginda ketika itu berada di dalam rumahnya. Lalu Rasulullah SAW keluar menemui mereka hingga terselak langsir bilik Baginda. Baginda memanggil Ka’ab bin Malik: “Wahai Ka’ab”, Ka’ab menjawab: “Ya, aku datang wahai Rasulullah”. Sambil mengisyaratkan dengan tangannya Baginda bersabda: “Rebatlah sebahagian”. Ka’ab membalas: “Ya, wahai Rasulullah”. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Bangunlah, bayarlah hutang itu kepadanya.”

Riwayat al-Bukhari (2563) dan Muslim (1558)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan hukum syarak membenarkan seseorang untuk menuntut haknya dan berusaha untuk mendapatkannya, sama ada dia memerlukannya atau tidak; terutama jika dia mengetahui tentang penangguhan atau penolakan pihak lain untuk memenuhi hak yang dimiliki olehnya. Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa beliau berkata: Seorang lelaki menemui Nabi SAW dan menuntut hutangnya dengan menggunakan kata-kata kasar, lalu para sahabat Baginda ingin menyakitinya, tetapi Nabi SAW bersabda:

 دَعُوهُ فإنَّ لِصاحِبِ الحَقِّ مَقالًا

Maksudnya: “Biarkanlah dia, kerana pemiutang (pemilik hak) mempunyai hak untuk berkata-kata.”

Riwayat Bukhari(2401)

Tiada keraguan bahawa jika seseorang menangguhkan hutang  padahal dia kaya, dia telah menzalimi orang yang memberikannya hutang.  Zalim adalah haram, walau sekecil zarah. Para ahli fiqh menafsirkan hadith tersebut seperti yang dihuraikan oleh Sufyan, iaitu dengan sifat seorang yang menangguhkan hutang. (Lihat al-Taudih li Syarh al-Jami’ al-Sahih, 14/529)

Al-Sana’ni menyatakan:  Ia merujuk kepada kuasa permintaan dan kekuatan hujah, jadi tidak ada kesalahan jika dia sering mengulangi permintaannya dan cara dia mendapatkan haknya itu kurang baik. (Lihat al-Tanwir Syarh Jami’ al-Saghir, 6/110)

Justeru, tidak menjadi satu kesalahan sekiranya seseorang menuntut hak atau hutangnya dari orang lain jika dia menyedari bahawa individu yang berhutang sengaja menangguhkan pembayaran. Namun, jika orang yang berhutang itu berada dalam kesempitan hidup, adalah lebih baik untuk bersikap sabar terhadap keadaannya yang sukar sehingga dia mampu membayar segala hutangnya. Firman Allah SWT:

وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيْسَرَةٍ ۚ وَأَن تَصَدَّقُوا خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).”

(Surah al-Baqarah: 280)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Wallahua’lam

Leave a Reply