Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah amalan soleh seperti takbir, tahmid, amar makruf dan bersetubuh bersama isteri dianggap sebagai sedekah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami katakan benar. Hal ini berdasarkan hadith daripada Abu Zar R.A:  Bahawa terdapat beberapa orang dari kalangan sahabat Rasulullah SAW berkata kepada Baginda SAW:

يَا رَسُولَ اللهِ ذَهَبَ أَهْلُ الدُّثُورِ بِالْأُجُورِ؛ يُصَلُّونَ كَمَا نُصَلِّي، وَيَصُومُونَ كَـمَا نَصُومُ، وَيَتَصَدَّقُونَ بِفُضُولِ أَمْوَالِهِمْ. قَالَ: أَوَلَيْسَ قَدْ جَعَلَ اللهُ لَكُمْ مَا تَصَّدَّقُونَ؟ إنَّ بِكُلِّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةً، وَكُلِّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةً، وَكُلِّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةً، وَكُلِّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةً، وَأَمْرٌ بِالـمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ، وَنَهْيٌ عَنْ مُنْكَرٍ صَدَقَةٌ، وَفِي بُضْعِ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ أَيَأْتِي أَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُونُ لَهُ فِيهَا أَجْرٌ؟ قَالَ: أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فِي حَرَامٍ، أَكَانَ عَلَيْهِ وِزْرٌ؟ فَكَذَلِكَ إذَا وَضَعَهَا فِي الْحَلَالِ، كَانَ لَهُ أَجْرٌ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya telah pergi dengan membawa pahala yang banyak, mereka bersolat sebagaimana kami bersolat, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka (sedang kami tidak dapat melakukannya).

Rasulullah SAW bersabda: Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu jalan untuk bersedekah? Sesungguhnya  setiap  tasbih  adalah  sedekah,  setiap  takbir  adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, menyuruh kepada yang  makruf adalah sedekah, mencegah perkara yang mungkar adalah sedekah dan pada mendatangi isteri kamu (jimak) adalah sedekah.

Mereka  bertanya:  Ya Rasulullah,  adakah  sekiranya  salah  seorang  daripada  kami  mendatangi  isterinya (jimak) juga mendapat pahala? Baginda bersabda: Apa pendapat kamu sekiranya dia melunaskan  syahwatnya  dengan  cara  yang  haram,  bukankah  dia  akan  mendapat dosa?  Demikianlah halnya jika perkara tersebut  diletakkan pada jalan yang halal, maka dia akan mendapat pahala.”

            Riwayat Muslim (1006)

Sebab datang hadith ini adalah bahawa beberapa orang dari sahabat Rasulullah dan mereka ini adalah orang-orang faqir, bertanya kepada Nabi: “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya telah membawa banyak pahala, mereka solat sebagaimana kami solat, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa, namun mereka bersedekah dengan kelebihan harta-harta mereka.” Mereka dengan orang-orang miskin sama-sama mengerjakan solat dan puasa, akan tetapi orang-orang kaya tersebut bersedekah. Maka Nabi SAW bersabda, “Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu apa-apa yang dapat kamu sedekahkan?. . . dan seterusnya.”

Ketika orang-orang faqir itu mengadukan kepada Nabi bahawa orang-orang kaya membawa banyak pahala, mereka solat sebagaimana mereka solat, mereka berpuasa sebagaimana mereka berpuasa, dan mereka pun bersedekah dengan kelebihan harta-harta mereka, maksudnya bahawa sahabat-sahabat yang faqir itu tidak dapat bersedekah. Maka Nabi menjelaskan kepada mereka sedekah yang sanggup mereka lakukan. Nabi SAW bersabda: “Bukankah Allah SWT menjadikan bagi kamu apa-apa yang mampu kamu sedekahkan? Sesungguhnya setiap tasbih adalah sedekah,… dan seterusnya.” Bermakna, jika seseorang mengucapkan subhanallah maka itu adalah sedekah, jika seseorang mengucapkan Allahu akbar maka itu adalah sedekah, jika seseorang mengucapkan alhamdulillah maka itu adalah sedekah, jika seseorang mengucapkan laailaaha illallahu maka itu adalah sedekah. (Lihat al-Kafi, hlm. 269-270)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Leave a Reply