Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah seseorang pergi ke masjid dianggap sedekah? Begitu juga mendamaikan orang yang sedang bergaduh sebagai sedekah. Tolong orang pun dianggap sedekah? Dan bercakap baik pun dianggap sedekah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebagaimana yang kami terangkan, bahawa mafhum sedekah itu luas dan itulah tanda rahmatnya Allah SWT.

Menjawab persoalan di atas, kami katakan, ya. Hal ini berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah RA, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ سُلَامَى مِنْ النَّاسِ عَلَيْهِ صَدَقَةٌ، كُلَّ يَوْمٍ تَطْلُعُ فِيهِ الشَّمْسُ تَعْدِلُ بَيْنَ اثْنَيْنِ صَدَقَةٌ، وَتُعِينُ الرَّجُلَ فِي دَابَّتِهِ فَتَحْمِلُهُ عَلَيْهَا أَوْ تَرْفَعُ لَهُ عَلَيْهَا مَتَاعَهُ صَدَقَةٌ، وَالْكَلِمَةُ الطَّـيِّـبَةُ صَدَقَةٌ، وَبِكُلِّ خُطْوَةٍ تَمْشِيهَا إلَى الصَّلَاةِ صَدَقَةٌ، وَتُـمِيطُ الْأَذَى عَنْ الطَّرِيقِ صَدَقَةٌ.

Maksudnya: “Setiap sendi tubuh manusia padanya terdapat   sedekah,  setiap  hari  apabila matahari terbit lalu engkau berlaku adil terhadap dua orang (yang berbalah) adalah sedekah, engkau menolong seseorang yang berkenderaan  lalu engkau bantu dia untuk naik ke atas kenderaannya atau mengangkat barangnya adalah sedekah, ucapan yang baik adalah sedekah, setiap langkah ketika engkau  berjalan menuju  ke  masjid  untuk  solat  adalah sedekah  dan menghilangkan gangguan di jalan adalah sedekah.”

Riwayat al-Bukhari (2827) dan Muslim (1007)

Sedekah dalam hadis ini tidak bermaksud hanya apa yang disebut dalam hadis ini sahaja. Sebahagian ulama berpendapat sedekah di sini dengan maksud sedekah sunat atau galakan bukan wajib. Lihat Syarh Sahih Muslim (7/95). Bahkan juga mengingatkan kepada selainnya dan menjadikan semua benda yang memberi  manfaat kepada diri sendiri atau orang lain juga adalah sedekah.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

فِي كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ

Maksudnya: “Pada setiap benda yang mempunyai hati yang basah (yang hidup) adalah sedekah.”

Riwayat al-Bukhari (2363) dan Muslim (2244)

Sabda Rasulullah SAW lagi:

إِنَّ اللَهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mewajibkan al-Ihsan (berbuat baik) kepada semua perkara.”

Riwayat Muslim (1955)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply