Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya telah bernazar untuk berpuasa, dan saya sudah niat puasa nazar semalam. Sehubungan dengan itu saya masih mempunyai puasa ganti yang belum diganti dan Ramadhan akan tiba dalam 97 hari lagi. Soalan saya adakah puasa saya pada hari semalam dikira sebagai puasa ganti atau puasa nazar? Saya keliru kerana terdapat tuan yang menulis, jika Ramadhan akan tiba tidak lama lagi, harus utamakan puasa ganti?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan hadith Rasulullah, daripada Ummu al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaatinya. Dan sesiapa yang bernazar untuk bermaksiat kepadanya maka janganlah dia bermaksiat kepadanya.”
Riwayat al-Bukhari (6696)
Dalam isu saudara, kami katakan, tuan berhak untuk berpuasa nazar dan dia berlaku berdasarkan apa yang tuan niat. Hal ini sebagaimana hadith Rasulullah SAW:
وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap orang mengikut apa yang dia niatkan.”
Riwayat Al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)
Sedangkan, puasa Ramadhan selama mana belum tiba Ramadhan lagi boleh diqadha’. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ
Maksudnya: “Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.”
(Surah al-Baqarah: 184)
Al-Syaukani berkata: Yakni, maka wajib baginya untuk berpuasa di hari yang lain, sesuai dengan jumlah hari yang dia tinggalkan. (Lihat Fath al-Qadir, 1/542)
Oleh kerana puasa Qadha’ bersifat muwassa’ dan telah dita’yinkan nazar pada esok harinya, maka jatuhlah pada nazar, bukan pada puasa Qadha’. Dalil yang jelas bahawa Aisyah R.Anha menta’khirkan puasa Qadha’ semasa hayat Rasulullah SAW pada bulan Sya’ban. Sudah pasti kita juga berpendapat, Aisyah juga melaksanakan puasa-puasa sunat sebagaimana anjuran Rasulullah SAW.
Walaupun begitu, kami lebih cenderung kepada puasa Qadha’ dengan segera jika mempunyai masa dan keluasan. Hal ini kerana kita tidak mengetahui bila kita akan menemui Tuhan kita. Begitu juga yang disebut dalam sebuah hadith:Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى
Maksudnya: “Maka adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.”
Riwayat Bukhari (1953) dan Muslim (1148)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”