Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah seorang wanita keluar bersama tunangnya yang akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi dalam satu kenderaan? Misalnya, tunangnya menghantarnya ke tempat pekerjaan, membeli barangan dan seumpamanya. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَـٰنِسَآءَ ٱلنَّبِىِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍۢ مِّنَ ٱلنِّسَآءِ ۚ إِنِ ٱتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِٱلْقَوْلِ فَيَطْمَعَ ٱلَّذِى فِى قَلْبِهِۦ مَرَضٌۭ وَقُلْنَ قَوْلًۭا مَّعْرُوفًۭا ٣٢ وَقَرْنَ فِى بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ ٱلْجَـٰهِلِيَّةِ ٱلْأُولَىٰ ۖ وَأَقِمْنَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتِينَ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَطِعْنَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓ ۚ إِنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ ٱلرِّجْسَ أَهْلَ ٱلْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًۭا
Maksudnya: “Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). (32) Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai “Ahlul Bait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).”
(Surah al-Ahzab:32-33)
Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini menyatakan, ini adalah adab yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada para isteri Nabi , dan juga wanita-wanita yang lain juga diwajibkan mengikutinya. Rasulullah berkata kepada para istri-Nya dengan bahawa apabila mereka bertakwa kepada Allah sebagaimana yang diperintahkan kepada mereka, maka tidak ada seorang wanita pun yang menyerupai mereka, dan tidak ada yang dapat menyamai mereka dalam keutamaan dan kedudukan. Kemudian beliau janganlah berkata kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) iaitu tidak berbicara dengan ajnabi dengan kata-kata yang mengandungi nada tertentu seperti berbicara dengan suami. (Lihat al-Quran al-‘Azim, 6/408 )
Dalil di atas menunjukkan bahawa Allah SWT memerintahkan isteri-isteri nabi dan wanita-wanita yang lain supaya menjaga maruah dengan tidak berbicara dengan kaum lelaki atau ajnabi dengan merendahkan suara iaitu dengan nada yang lemah lembut. Yang demikian bagi mengelakkan fitnah antara lelaki dan perempuan ajnabi.
Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa tidak halal bagi seseorang untuk keluar dengan tunangnya tanpa ditemani oleh mahram. Ini kerana bagi mengelakkan sebarang fitnah yang timbul dan bagi menjaga maruah dan kehormatan sebagai seorang Muslim. Ini sebagaimana Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ. فَقَامَ رَجُلٌ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، امْرَأَتِي خَرَجَتْ حَاجَّةً، وَاكْتُتِبْتُ فِي غَزْوَةِ كَذَا وَكَذَا. قَالَ: ارْجِعْ فَحُجَّ مَعَ امْرَأَتِكَ
Maksudnya: “Janganlah seorang lelaki berkhalwat (berdua-duaan) dengan seorang wanita kecuali bersama mahramnya. Seorang lelaki bangun lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, isteriku keluar untuk haji, sedangkan aku pula telah mendaftar untuk ikut berperang sekian dan sekian.’ Baginda bersabda: ‘Kembalilah dan laksanakan haji bersama isterimu”.
Riwayat al-Bukhari (5233); Muslim (1341)
Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, janganlah seorang lelaki itu duduk berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya. Sekiranya seorang lelaki ajnabi itu berkhalwat bersama-sama dengan wanita ajnabiyyah tanpa ada orang yang ketiga maka perbuatan itu adalah haram secara sepakat para ulama. Demikianlah juga (hukumnya) jika bersama-sama perempuan tersebut seseorang yang mereka tidak berasa malu dengannya disebabkan kecilnya dia seperti seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, tiga tahun atau seumpamanya, kerana wujudnya anak tersebut di situ sama seperti tiada. Selain itu, ulama-ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berpendapat, tiada beza dalam pengharaman khalwat — antara lelaki dan perempuan ajnabiyyah — sama ada khalwat itu berlaku ketika solat atau selainnya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/109).
Antara hikmah larangan seorang lelaki ajnabi berdua-duaan bersama seorang perempuan ajnabiyyah adalah kerana perkara tersebut boleh menimbulkan fitnah, tohmahan dan syak wasangka orang lain serta berkemungkinan memberi mudarat yang lebih besar seperti terjerumus ke dalam maksiat, perzinaan dan runtuhnya institusi kekeluargaan. Hal ini kerana perbuatan khalwat (berdua-duan) itu sendiri merupakan suatu ruang yang besar untuk dimasuki oleh syaitan dalam usaha merosakkan anak Adam dan menimbulkan fitnah yang besar pada diri mereka. Hal ini bertepatan sebagaimana riwayat daripada Umar R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَلاَ لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa tidaklah seorang lelaki dan seorang perempuan itu berdua-duaan melainkan yang ketiganya adalah syaitan.”
Riwayat al-Tirmizi (2165)
Al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan bahawa syaitan ada bersama kedua-duanya iaitu lelaki dan perempuan yang berkhalwat itu, lalu membisikkan syahwat kepada mereka sehinggalah ia mencampakkan mereka berdua ke lembah penzinaan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 6/320).
Justeru dalam isu ini kami katakan ikatan pertunangan hanyalah ikatan janji ke arah mendirikan perkahwinan dan ia bukanlah satu ikatan yang menghalalkan perkara yang ditegah oleh syarak. Oleh yang demikian, status pertunangan sama sahaja seperti lelaki atau perempuan ajnabi yang lain dalam menjaga had batasan pergaulan seperti tidak boleh bersentuhan, mendedahkan aurat dan berdua-duaan. Sekiranya ada keperluan untuk keluar dengan tunang disebabkan ada urusan-urusan yang penting, maka hendaklah ditemani oleh mahramnya seperti ahli keluarga.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”