Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah sah berwuduk dengan menggunakan semburan air melalui spray? Hal ini kerana kadang-kadang seseorang itu mengalami kesukaran untuk mendapatkan air seperti ketika mendaki bukit, dalam kapal terbang dan seumpamanya. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya:Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

(Surah al-Ma’idah: 6)

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61).

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan bahawa rukun wuduk ada enam. Empat daripadanya adalah berdasarkan ayat al-Quran iaitu membasuh muka, membasuh kedua tangan, menyapu sebahagian kepala dan membasuh kedua kaki. Manakala dua rukun yang berbaki adalah berdasarkan sunnah iaitu niat dan tertib. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 82).

Berwuduk dengan Menggunakan Spray

Tidak dapat dinafikan, wuduk merupakan medium syarak yang terpenting untuk menghilangkan (mengangkat) hadas kecil daripada anggota badan bagi menjadikan seorang Muslim itu suci, lalu membolehkannya melaksanakan segala perbuatan atau amalan yang disyaratkan padanya suci daripada hadas — seperti mendirikan solat, memegang mashaf al-Quran, tawaf dan lain-lain. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/69).

Wuduk ialah perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu berserta dengan niat. Ia dinamakan demikian kerana perbuatan tersebut mengelokkan dan menyerikan anggota yang dibasuh dan dibersihkan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/53). Seseorang itu dikira sah wuduknya, bilamana telah memenuhi semua rukun-rukun dan syarat-syarat sah wuduk.

Oleh itu, dalam menjawab soalan di atas, kami melihat penggunaan spray bagi berwuduk berkait rapat dengan sekurang-kurangnya dua syarat sah wuduk iaitu air yang disembur itu hendaklah dipastikan air mutlak dan air itu hendaklah mengalir lalu ia diratakan keseluruhan anggota wuduk. Hal ini adalah jelas kerana di antara syarat sah wuduk ialah menggunakan air yang suci lagi menyucikan (iaitu air mutlak) seperti mana kami telah sebutkannya di atas, dan begitu juga kerana hadas tidak akan terangkat melainkan dengan hanya air mutlak. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 96 dan 57). Dalam bahasa mudahnya, air mutlak ialah air yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah SWT. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/31).

Selain itu, di antara syarat sah wuduk juga ialah mengalirkan air pada anggota wuduk yang dibasuh dan tidak cukup dengan hanya sekadar menyapu air pada anggota tersebut tanpa mengalirkannya kerana ia tidak dinamakan sebagai basuhan. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/70; Lihat Hasyiah al-Syeikh Ibrahim al-Baijuri ‘ala Fath al-Qarib al-Mujib, 1/95). Oleh itu, ketika menggunakan spray bagi berwuduk hendaklah dipastikan semburan air pada anggota wuduk itu mengalir lalu ia diratakan keseluruhan anggota wuduk.

Begitu juga di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah mendatangkan syarat-syarat sahnya wuduk di antaranya ialah menggunakan air bersih dan mesti mengalirkan air ke atas anggota wuduk. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 43/330).

Selain itu, sebelum menyembur air dengan menggunakan spray atau berwuduk dengan air yang sedikit hendaklah juga dipastikan tidak ada apa-apa kotoran atau najis pada anggota wuduk, yang dapat menghalang air daripada sampai pada anggota wuduk. Hal ini kerana menghilangkan najis atau kotoran serta apa-apa yang menghalang air daripada sampai ke anggota wuduk termasuk dalam syarat sah wuduk seperti mana yang disebutkan oleh Dr. Muhammad al-Zuhaili dalam kitabnya, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i (1/70).

Kesimpulannya

Justeru, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa seseorang yang berwuduk dengan menggunakan spray adalah sah wuduknya jika ia memenuhi semua syarat-syarat sah wuduk seperti menggunakan air mutlak dan mengalirkan air pada anggota wuduk serta ia diratakan keseluruhan anggota wuduk.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Leave a Reply