Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang sebab berlakunya peperangan Bani Quraizah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Sebelum menjelaskan tentang peperangan Bani Quraizhah, kami nukilkan terlebih dahulu kisah pengkhianatan Bani Quraizhah dalam peperangan Ahzab.
Pengkhianatan Bani Quraizhah dalam Perang Ahzab
Dijelaskan dalam kitab al-Rahiq al-Makhtum (hlm. 522) oleh Syeikh al-Mubarakfuri:
Ketika tentera Islam sedang menghadapi keperitan dan kesukaran dalam peperangan itu, ‘ular-ular licik mula menyelinap masuk ke dalam kamar- kamar mereka dengan tujuan melakukan tipu daya dan menyembur racun ke dalam tubuh mereka. Penjenayah besar Bani al-Nadhir telah menuju ke perkampungan Bani Quraizah, lalu bertemu dengan Ka’ab bin Asad al-Qurazi (ketua Bani Quraizah serta orang yang bertanggungjawab menyetujui perjanjian dengan Rasulullah SAW). Ka’ab telah memeterai perjanjian dengan Rasulullah SAW untuk membantu Rasulullah SAW jika berlakunya peperangan. Huyay mengetuk pintu rumahnya tetapi Ka’ab terus menutup pintu apabila melihat kedatangan Huyay.
Huyay terus mendesak dan memujuknya sehingga akhirnya Ka’ab pun membukakan pintu. Berkatalah Huyay, “Hai Kaab, aku datang kepadamu membawa kemuliaan masa silam dan harapan seluas laut yang melimpah. Aku datang membawa tentera Quraisy termasuk pimpinan dan pembesarnya sehingga aku berjaya menempatkan mereka di Majma al-Asyal (مجمع الأسيال) di Rumat. Aku juga berjaya membawa tentera Ghatfan termasuk pimpinan dan pembesarnya sehingga aku tempatkan mereka di Zanab Naqmai (ذَنَب نَقْمَي) berdekatan Uhud.”
Kaab menjawab, “Demi Allah, engkau hanya datang kepadaku membawa kehinaan masa silam dan awan tandus yang tidak berair, hanya kedengaran bunyi guruh dan kilauan kilat padahal tidak menurunkan apa-apa. Jahanam kamu, hai Huyay! Biarkan aku dengan keadaanku sekarang kerana aku tidak ada pilihan terhadap Muhammad melainkan bersikap benar dan menepati janji.” Namun, Huyay terus mendesak dan memujuk dengan pelbagai cara sehingga akhirnya dia bersetuju memberi jaminan kepada Kaab dengan katanya, “Jika Quraisy dan Ghatfan pulang tanpa dapat mengalahkan Muhammad, aku akan masuk bersama kamu menetap di dalam kubu kamu sehingga aku juga akan bersama-sama menanggung apa yang menimpamu.”
Akhirnya Ka’ab bin Asad membatalkan perjanjian dengan Rasulullah SAW dan berlepas diri daripada sebarang keterikatan perjanjian antara dia dengan orang Islam. Dia menyertai tentera musyrikin untuk memerangi tentera Islam.
Yahudi Bani Quraizah akhirnya terjun bersama-sama melibatkan diri dalam Peperangan ini. Ibn Ishaq berkata bahawa Safiyyah binti Abd al-Muttalib berada di suatu sudut yang tinggi dalam kubu milik Hasan bin Thabit. Hasan berada di dalam kubu itu bersama-sama para wanita dan kanak-kanak Safiyyah berkata, “Ada seorang lelaki Yahudi datang ke arah kami sambil berlegar di sekitar kubu itu. Sebelum itu, Bani Quraizah telah mengisytiharkan perang dan memutuskan perjanjian mereka dengan Rasulullah SAW. Kami tidak mempunyai siapa lagi yang dapat mempertahankan kami daripada mereka. Rasulullah SAW dan tentera Islam yang lainnya semua keluar menghadapi musuh. Mereka tidak akan berupaya untuk meninggalkan musuh itu jika ada sesiapa yang menceroboh kami.”
Katanya lagi, “Lalu aku berkata, ‘Hai Hasan, orang Yahudi ini seperti kamu lihat sedang berlegar-legar di kubu ini. Demi Allah, aku rasa tidak selamat, kalau-kalau dia mengintip sasaran kita dan menyampaikannya kepada orang Yahudi yang berada di belakang kita, sedangkan Rasulullah SAW dan para sahabatnya sedang sibuk dengan urusan mereka. Turunlah kamu ke bawah dan bunuhlah dia.” Hasan menjawab, “Demi Allah, engkau sendiri pun mengetahui aku bukannya seorang yang mahir membunuh.” Kata Safiyyah lagi, “Lalu aku ikat pinggangku dan aku capai sebatang tiang, kemudian aku turun ke bawah lantas aku pukul lelaki itu hingga mati. Kemudian aku berpatah balik naik ke atas kubu dan aku berkata, ‘Hai Hasan, turunlah ke bawah dan tarik masuk mayatnya. Bukannya aku tak mampu untuk berbuat demikian tetapi kerana dia seorang lelaki.’ Hasan menjawab, “Aku rasa tidak perlulah dia ditarik masuk.”
Tindakan mulia yang dilakukan oleh ibu saudara Rasulullah SAW ini mempunyai kesan besar yang dapat menjaga keselamatan anak-pinak dan golongan wanita Islam. Tindakan tersebut menimbulkan sangkaan kepada orang Yahudi bahawa kubu tersebut dikawal ketat oleh tentera Islam, sedangkan ia sebenarnya tidak dikawal. Lantaran itu, orang Yahudi tidak berani untuk melakukan pengintipan kali kedua; tetapi mereka bertindak menghulurkan bantuan bekalan kepada tentera berhala sebagai menunjukkan bahawa mereka benar-benar menyertai pasukan musuh menentang tentera Islam. Sehinggakan ada di antara bekalan-bekalan itu dapat dirampas oleh tentera Islam, iaitu sejumlah 20 ekor unta.
Berita mengenai pengkhianatan itu akhirnya sampai ke pengetahuan Rasulullah SAW, lalu Rasulullah SAW segera menjalankan siasatan supaya jelas pendirian sebenar orang Yahudi Bani Quraizah itu sebelum Baginda SAW mengambil tindakan terhadap mereka. Untuk menyiasat berita ini, Rasulullah SAW mengutuskan dua orang Sa’ad iaitu Sa’ad bin Mu’az dan Sa’ad bin ‘Ubadah, Abdullah bin Rawahah dan Khawwat bin Jubair. Rasulullah SAW berpesan, “Pergilah sehingga kamu dapat lihat sendiri apakah benar berita yang sampai kepada kita mengenai mereka atau sebaliknya. Jika ternyata benar, maka berikan isyarat kepadaku supaya aku faham, jangan dihebah-hebahkan di kalangan orang ramai. Tetapi, kalau mereka masih lagi berpegang pada janji, maka hebahkanlah di kalangan orang ramai.”
Apabila mereka menghampiri tempat orang Yahudi itu, didapati mereka dalam keadaan yang sungguh buruk. Mereka dengan beraninya memaki dan menyatakan permusuhan serta menghina Rasulullah SAW. Kata mereka, “Siapa Rasulullah? Kami tidak ada janji apa-apa dengan Muhammad, tidak ada sebarang perjanjian!” Maka, utusan itu pun beredar meninggalkan mereka. Setelah sampai kepada Rasulullah SAW, mereka memberikan isyarat kepadanya dengan berkata, “Adal (عَضَل) dan Qarah (قَارَة)” yang bererti mereka itu telah khianat seperti mana pengkhianatan Adal dan Qarah terhadap para sahabat di al-Raji.
Walaupun mereka cuba sedaya upaya menyembunyikan hal tersebut tetapi orang ramai mulai peka dengan perkara sebenar yang berlaku. Bahaya besar sedang menanti di hadapan mereka. Inilah saat yang sungguh getir dihadapi oleh orang Islam. Tidak ada sesuatu pun yang dapat menghalang Yahudi Bani Quraizah menikam mereka dari belakang. Sementara di hadapan mereka pula telah sedia menanti pasukan yang terlalu besar, dan tentera Islam tidak boleh meninggalkan tempat itu. Anak-pinak dan wanita-wanita mereka berada di kedudukan yang hampir dengan para pengkhianat tanpa sebarang kawalan dan perlindungan. Keadaan mereka adalah seperti firman Allah:
إِذْ جَاءُوكُم مِّن فَوْقِكُمْ وَمِنْ أَسْفَلَ مِنكُمْ وَإِذْ زَاغَتِ الْأَبْصَارُ وَبَلَغَتِ الْقُلُوبُ الْحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِاللَّهِ الظُّنُونَا (10) هُنَالِكَ ابْتُلِيَ الْمُؤْمِنُونَ وَزُلْزِلُوا زِلْزَالًا شَدِيدًا
Maksudnya: “(laitu) ketika tentera musuh datang menyerang kamu dari sebelah atas dan dari sebelah bawah (tempat pertahanan) kamu dan pada ketika itu pandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan (adakah mendapat pertolongan atau tidak). Pada saat itulah diuji orang yang beriman dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat.”
(Surah al-Ahzab: 10-11)
Orang munafik mula menampakkan kemunafikan mereka sehinggakan ada yang berkata, “Muhammad telah menjanjikan kita istana-istana Kisra dan Kaisar, sedangkan pada hari ini setiap seorang daripada kita hendak pergi ke tandas pun tidak selamat.” Sebahagian yang lain pula berkata di khalayak ramai dalam kalangan kaumnya, “Rumah-rumah kita telah menjadi sasaran ancaman musuh! Benarkanlah kami keluar untuk kembali ke rumah kami yang berada di luar Kota Madinah.” Bani Salamah hampir-hampir merasa putus asa. Mengenai mereka ini, Allah menurunkan firman-Nya:
وَإِذْ يَقُولُ الْمُنَافِقُونَ وَالَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ مَّا وَعَدَنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ إِلَّا غُرُورًا (12) وَإِذْ قَالَت طَّائِفَةٌ مِّنْهُمْ يَا أَهْلَ يَثْرِبَ لَا مُقَامَ لَكُمْ فَارْجِعُوا ۚ وَيَسْتَأْذِنُ فَرِيقٌ مِّنْهُمُ النَّبِيَّ يَقُولُونَ إِنَّ بُيُوتَنَا عَوْرَةٌ وَمَا هِيَ بِعَوْرَةٍ ۖ إِن يُرِيدُونَ إِلَّا فِرَارًا
Maksudnya: “Dan ketika itu orang munafik dan orang yang berpenyakit di dalam hatinya berkata, ‘Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja. Dan ketika itu segolongan antara mereka berkata, “Wahai penduduk Yathrib, tempat ini bukan tempat bagi kamu, oleh itu baliklah. Dan sebahagian daripada mereka pula meminta izin kepada Nabi hendak balik) sambil berkata, “Sesungguhnya rumah-rumah kami memerlukan perlindungan, padahal ia tidak memerlukan perlindungan. Mereka hanya bertujuan hendak melarikan diri (dari berjuang menegakkan Islam).“
(Surah al-Ahzab: 12-13)
Apabila menerima kesahihan berita mengenai pengkhianatan orang Yahudi Bani Quraizah, Rasulullah SAW menutup mukanya dengan kain lalu berbaring dan berdiam lama, sehinggakan orang mulai merasa gelisah dengan bala yang menimpa. Kemudian Rasulullah SAW mendapat pengharapan lalu bingkas bangun dan berkata, “Allahu Akbar! Terimalah berita gembira, hai sekalian orang Islam, dengan kemenangan daripada Allah dan pertolongan-Nya!”
Lalu, Rasulullah SAW mula mengatur rancangan untuk menangani suasana yang genting itu. Salah satu rancangan Rasulullah SAW ialah menghantar pengawal ke Madinah supaya anak-anak dan para wanita tidak diserang. Namun, rancangan itu memerlukan satu tindakan yang mantap sehingga mampu menyebabkan pihak lawan berpecah belah sesama mereka.
Untuk mencapai matlamat tersebut, Rasulullah SAW bercadang untuk mengadakan perjanjian dengan Uyainah bin Hisn dan al-Harith bin Auf – dua orang ketua Kabilah Ghatfan, agar mereka bersetuju membawa kaum masing-masing beredar meninggalkan medan perang. Sebagai balasannya, mereka akan diberikan satu pertiga daripada hasil kurma Madinah. Dengan itu orang Islam hanya akan menghadapi tentera Quraisy dan boleh menewaskan pasukan Quraisy itu dengan kekalahan teruk dan cepat kerana tentera Islam telah beberapa kali bertempur dengan tentera Quraisy dan mengetahui sejauh mana kekuatan tentera Quraisy itu.
Cadangan Rasulullah SAW dibahas hebat dalam kalangan para sahabat. Rasulullah SAW meminta pandangan dua orang Sa’ad dalam hal ini. Mereka berdua berkata, “Wahai Rasulullah, kalau Allah menyuruh engkau melakukan ini, maka kami bersedia mendengar dan mematuhinya. Kalau ia adalah mengikut perkiraan kamu untuk kebaikan kami, maka kami tidak memerlukannya. Sebelum ini, semasa kami dan mereka sama-sama berada dalam syirik dan menyembah berhala, mereka tidak sudi untuk memakan sebiji kurma pun melainkan jika dihidang sebagai tetamu atau dijual. Maka, apabila Allah memuliakan kami dengan Islam dan memberikan hidayah kepada kami serta memuliakan kami denganmu, apakah kami hendak menyerahkan kepada mereka harta benda kami? Demi Allah, hanya pedang sahaja akan kami serahkan kepada mereka.”
Lalu, Rasulullah SAW bersetuju dengan pendapat mereka berdua dan berkata, “Itu hanya usahaku untuk keselamatan kamu, disebabkan aku melihat orang Arab semuanya sepakat untuk menyerang kamu.”
Kemudian Allah melakukan sesuatu dari sisi-Nya yang menyebabkan para musuh mulai saling tidak mempercayai dan mereka semua akhirnya tewas.
Peperangan Bani Quraizhah
Setelah selesai peperangan Ahzab, pada hari kembalinya Rasulullah SAW ke Madinah, Jibril AS datang kepada Baginda SAW pada waktu Zuhur. Ketika itu Rasulullah SAW sedang mandi di rumah Ummu Salamah R.Anha. Kata Jibril, “Apakah engkau sudah meletakkan senjata? Sesungguhnya malaikat-malaikat belum lagi meletakkan senjata mereka. Mereka belum pulang lagi melainkan kerana hendak memburu kaum itu. Bangkitlah kamu dengan mereka yang bersamamu untuk menuju ke kampung Bani Quraizah. Aku akan berjalan di hadapanmu menggoncang kubu-kubu mereka dan mencampakkan rasa takut ke dalam hati mereka.” Kemudian, Jibril AS pun berjalan bersama-sama rombongan para malaikat.
Rasulullah SAW menyuruh seorang menyeru:
مَنْ كَانَ سَامِعًا مُطِيعًا، فَلَا يُصَلِّيَنَّ الْعَصْرَ إلَّا بِبَنِي قُرَيْظَةَ
Maksudnya: “Sesiapa yang mahu dengar dan patuh, maka janganlah dia mendirikan solat Asar melainkan di kampung Bani Quraizah.” (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 2/234; al-Mawahib al-Laduniyyah oleh al-Qastalani, 1/294)
Rasulullah SAW melantik Ibn Ummi Maktum memangku Baginda SAW di Madinah. Bendera perang diserahkan kepada Ali bin Abu Talib r.a. Ali r.a telah pergi terlebih dahulu ke kampung Bani Quraizah. Apabila beliau sampai berhampiran kubu kaum tersebut, beliau mendengar kata-kata keji yang dilemparkan terhadap Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW keluar bersama-sama angkatannya daripada kalangan Muhajirin dan Ansar sehingga sampai di sebuah perigi Bani Quraizah yang dipanggil Perigi Ana. Orang Islam bergegas menjunjung perintah Rasulullah SAW dan dengan segera bergerak menuju ke perkampungan Bani Quraizah. Dalam perjalanan mereka, waktu Asar telah masuk. Lalu, sebahagian daripada mereka berkata, “Kita tidak akan bersembahyang Asar kecuali di kampung Bani Quraizah sebagaimana yang diperintahkan kepada kita,” sehinggakan ada daripada kalangan mereka bersembahyang Asar setelah masuk waktu Isyak sudah lewat. Sebahagian lagi berkata, “Bukannya Rasulullah SAW bermaksud begitu, akan tetapi tujuan Baginda SAW berkata begitu ialah supaya kita cepat-cepat keluar.” Lantaran itu, mereka pun bersembahyang di pertengahan jalan. Rasulullah SAW tidak mencela sesiapa pun daripada dua kumpulan ini.
Begitulah pergerakan tentera Islam ke Bani Quraizah berperingkat- peringkat sehingga akhirnya mereka bergabung dengan Rasulullah SAW. Jumlah mereka seramai tiga ribu orang dengan 30 ekor kuda. Mereka berhenti di kubu Bani Quraizah dan melakukan pengepungan. Apabila pengepungan semakin menyukarkan orang Yahudi itu, maka ketua mereka iaitu Kaab bin Asad memberi tiga pilihan kepada kaumnya, iaitu:
- Sama ada mereka menyerah dan masuk ke dalam agama Muhammad SAW; dengan itu akan terselamat nyawa, harta benda, anak-pinak dan wanita-wanita mereka. Ka’ab juga berkata kepada mereka, “Demi Allah, sekarang ternyata kepada kamu bahawa dia itu memang seorang nabi yang diutuskan, dan dialah yang kamu dapati paling tulus dalam kitab kamu.”
- Mereka membunuh anak-pinak dan wanita-wanita mereka dengan tangan mereka sendiri kemudian keluar berperang dengan Muhammad SAW sehingga menang atau mereka semuanya terbunuh.
- Mereka melancarkan serangan terhadap Rasulullah SAW dan para sahabatnya secara mengejut pada hari Sabtu kerana orang Islam merasa selamat bahawa mereka (Yahudi) tidak akan berperang pada hari Sabtu.
Tidak ada satu pun tawaran itu yang diterima oleh kaumnya. Maka, berkatalah Ka’ab bin Asad dengan nada terperanjat dan marah, “Tidak ada seorang pun lelaki daripada kalangan kamu sejak dilahirkan mempunyai pendirian yang tetap walaupun barang semalam!”
Setelah menolak ketiga-tiga tawaran itu, Bani Quraizah tidak ada pilihan lain kecuali bersedia menerima hukuman yang bakal diputuskan oleh Rasulullah SAW. Namun, sebelum itu mereka terlebih dahulu mahu menghubungi sebahagian sekutu-sekutu mereka daripada kalangan orang Islam dengan harapan mereka dapat mengetahui apakah hukuman yang bakal dikenakan jika mereka menerima keputusan Rasulullah SAW. Mereka mengutuskan kepada Rasulullah SAW supaya menghantar Abu Lubabah kepada mereka untuk diminta pandangan kerana Abu Lubabah dahulunya merupakan sekutu mereka; harta benda dan anak-anaknya berada di dalam kawasan kediaman mereka.
Apabila mereka melihat kedatangan Abu Lubabah, beberapa orang lelaki menerpa ke arahnya; wanita serta anak-anaknya pula menangis di hadapannya. Melihatkan hal tersebut, Abu Lubabah merasa kasihan kepada mereka. Mereka berkata, “Wahai Abu Lubabah, adakah engkau berpendapat kami perlu menerima keputusan Muhammad?” Jawabnya Abu Lubabah, “Ya,” sambil mengisyaratkan tangannya ke halkum, dia pun berkata, “Hukumannya ialah pancung.” Serentak itu juga Abu Lubabah tersedar bahawa dia telah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya, lantas dia terus beredar dan tidak kembali kepada Rasulullah SAW.
Dia pergi ke Masjid Nabi di Madinah lalu mengikat tubuhnya pada sebatang tiang dan bersumpah tidak akan merungkaikan ikatannya kecuali Rasulullah SAW sendiri membukanya dengan tangan Baginda SAW. Dia juga bersumpah tidak akan masuk lagi ke kampung Bani Quraizah selama-lamanya. Ketika berita itu sampai ke pengetahuan Rasulullah SAW (sebelum itu Rasulullah SAW menanti kedatangan Abu Lubabah dengan begitu lama sekali), Rasulullah SAW berkata, “Kalau dia datang berjumpa, nescaya aku akan memohon keampunan untuknya tetapi oleh kerana dia telah melakukan tindakan itu, maka aku tidak berupaya untuk melepaskannya dari tempatnya melainkan setelah Allah menerima taubatnya.”
Walaupun Abu Lubabah telah memberikan pandangannya mengenai hukuman yang bakal dijatuhkan oleh Rasulullah SAW, Bani Quraizah nekad mengambil keputusan untuk menerima keputusan Rasulullah SAW. Sebelum itu mereka berupaya untuk bertahan dari pengepungan yang memakan masa yang lama kerana mereka memiliki bekalan makanan, air dan perigi serta kubu pertahanan yang kukuh. Tentera Islam pula keperitan menahan sejuk yang mencengkam serta kelaparan yang melampau.
Tentera Islam berada di tempat yang terbuka, di samping rasa letih yang amat sangat kerana terlibat terus menerus dalam operasi perang sejak bermulanya Perang Ahzab lagi. Namun, perang yang dilancarkan ke atas Bani Quraizah itu sebenarnya merupakan perang saraf. Allah telah mencampakkan rasa takut ke dalam diri pihak musuh sehingga semangat mereka runtuh sama sekali. Kemuncak yang menunjukkan runtuhnya semangat mereka ialah apabila Ali bin Abu Talib r.a dan al-Zubair bin al- Awwam r.a berteriak, “Hai pasukan yang beriman! Demi Allah, aku akan menempuh nasib yang mengenai Hamzah, atau aku akan berjaya membuka kubu mereka!”
Ketika itu juga Bani Quraizah segera turun untuk menerima hukuman yang bakal diputuskan oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW memerintahkan supaya golongan lelaki ditangkap dan diikat tangan mereka Mereka diletakkan di bawah kawalan Muhammad bin Maslamah al-Ansari. Golongan wanita dan kanak-kanak dipisahkan daripada golongan lelaki pada satu sudut. Orang Aus cuba berunding sesuatu dengan Rasulullah SAW dan berkata, “Wahai Rasulullah, engkau telah berbuat baik terhadap Bani Qainuqa seperti yang engkau tahu, sedangkan mereka itu adalah sekutu saudara-saudara kami dari kabilah al-Khazraj. Mereka ini pula adalah sekutu-sekutu kami, maka haraplah engkau berbuat baik kepada mereka.” Rasulullah SAW bersabda, “Adakah kamu rela jika seorang lelaki dari kalangan kamu sendiri yang menjatuhkan hukuman?” Mereka menjawab, Sudah tentu.”
Rasulullah SAW bersabda lagi, “Nah, orang itu ialah Saad bin Muaz.” Mereka menjawab, “Kami setuju.” Lalu, diutuskan utusan untuk menjemput Saad yang ketika itu sedang berada di Madinah. Beliau tidak keluar bersama-sama pasukan Islam disebabkan kecederaan yang dialami pada urat tangannya semasa Perang Ahzab. Saad dinaikkan ke atas seekor keldai dan datang kepada Rasulullah SAW. Mereka yang mengiringi di kiri dan kanannya cuba mempengaruhi Saad. Mereka berkata, “Hai Saad, berbuat baiklah dengan sekutu-sekutumu itu kerana Rasulullah SAW telah melantik engkau untuk menjatuhkan hukuman agar engkau berbuat baik kepada mereka.” Saad diam tanpa menjawab sepatah pun kata-kata mereka. Apabila mereka terlalu kerap mendesaknya, Saad pun berkata, “Sekarang telah tiba masanya bagi Saad untuk tidak gentar dengan celaan orang demi kerana Allah.” Apabila mereka mendengar kata-kata Saad itu, sebahagian daripada mereka pulang ke Madinah lalu menyampaikan berita tentang kematian kaum tersebut.
Setelah Saad sampai kepada Rasulullah SAW, Baginda SAW berkata kepada para sahabat, “Pergilah kepada ketua kamu.” Ketika mereka menurunkan Saad dari kenderaan, mereka berkata, “Wahai Saad, sesungguhnya kaum ini bersetuju turun untuk menerima hukumanmu.” Saad bertanya, “Apakah hukumanku benar-benar akan dilaksanakan ke atas mereka?” Mereka menjawab, “Ya, benar.” “Dan ke atas orang Islam semuanya?” tanya Saad lagi. “Ya, benar,” jawab mereka. “Dan ke atas semua orang yang berada di sini?” sambil memalingkan wajahnya dan mengisyaratkan ke arah Rasulullah SAW kerana menghormati dan membesarkan Baginda SAW. Rasulullah SAW berkata: “Ya, juga ke atasku.”
Lalu Saad berkata, “Aku menjatuhkan hukuman bahawa semua lelakinya dibunuh, wanita dan anak-pinak mereka dijadikan tawanan, serta harta benda mereka dibahagikan.”
Rasulullah SAW pun bersabda, “Sesungguhnya engkau telah menghukum ke atas mereka dengan hukum Allah dari atas tujuh lapisan langit.”
Hukuman yang dijatuhkan oleh Saad itu sebenarnya cukup adil dan saksama. Ini kerana Bani Quraizah bukan sahaja melakukan pengkhianatan yang keji, malah mereka juga turut menghimpun 1500 bilah pedang, 2000 batang tombak, 300 baju besi, 500 ratus perisai besi dan kulit dengan tujuan untuk menghapuskan orang Islam. Semua peralatan ini ditemui oleh orang Islam setelah menggeledah rumah-rumah mereka.
Rasulullah SAW mengeluarkan arahan supaya Bani Quraizah dikurung dalam rumah anak perempuan al-Harith, iaitu seorang wanita dari Bani al- Najjar. Kemudian, digali beberapa buah parit di pasar Madinah untuk ditempatkan mayat-mayat mereka. Setelah selesai menggali parit itu, perintah pun dikeluarkan supaya dibawa mereka berperingkat-peringkat. Di dalam parit itulah kepala mereka dipenggal. Orang yang masih berada di dalam kurungan itu (sementara menanti giliran mereka) berkata kepada ketua mereka iaitu Kaab bin Asad, “Apakah yang bakal dilakukannya terhadap kita?” Jawab Kaab, “Apakah kamu ini tidak faham-faham? Tidakkah kamu lihat orang yang datang menjemput tidak berhenti dan orang kita yang pergi tidak kembali lagi? Demi Allah, kita akan dibunuh!” Jumlah mereka yang dipenggal leher pada hari itu ialah antara 600 hingga 700 orang.
Meskipun begitu, pendapat yang kuat menyatakan bahawa jumlah mereka yang dijatuhkan hukuman adalah 400 orang. Semua dikenakan hukuman kecuali sebahagian kecil kerana mereka menemui Nabi SAW dan menyatakan keislamannya atau kerana memperoleh jaminan keamanan daripada sebahagian sahabat atau kerana ada keterangan yang membuktikan bahawa dia tetap setia dengan perjanjian ketika berlakunya pengepungan. Dan jumlah mereka tidak lebih daripada jumlah satu keluarga. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah fi Dhau’i al-Masadir al-Asliyyah, hlm. 461)
Begitulah sempurnanya penghapusan ‘ular-ular pembelot yang pernah membatalkan perjanjian dengan Rasulullah SAW serta membantu tentera bersekutu (Ahzab) untuk menghapuskan umat Islam. Tindak-tanduk mereka itu bererti bahawa mereka telah menjadi penjenayah perang besar yang sewajarnya dibicarakan dan dihukum mati.
Dalam kalangan mereka itu ada seorang ‘syaitan’ daripada kalangan Bani al-Nadir serta penjenayah perang yang paling besar dalam Perang Ahzab, iaitu Huyay bin Akhtab (dia merupakan bapa Safiyyah Ummul Mukminin R.Anha). Sebelum itu, Huyay telah masuk ke kubu Bani Quraizah ketika orang Quraisy dan Ghatfan pulang ke tempat mereka sebagai menunaikan janjinya kepada Ka’ab bin Asad semasa dia memujuk Kaab untuk khianat ketika berlakunya Perang Ahzab. Semasa dia dibawa untuk dihukum mati, dia memakai pakaian indah yang telah dikoyakkan dari segenap segi dengan koyakan seluas beberapa jari agar tidak menjadi harta rampasan.
Dia dibawa dalam keadaan tangannya terikat hingga ke lehernya. Sesampainya ke tempat hukuman, dia berkata kepada Rasulullah SAW, “Demi Allah, aku tidak akan mencela diri sendiri kerana memusuhi engkau, akan tetapi aku hanya ingin menyatakan bahawa barang siapa yang menentang Allah pasti ditewaskan.” Kemudian dia berkata, “Hai manusia, tidak mengapalah dengan ketentuan Allah, ia sudah menjadi suratan, takdir dan pengazaban yang telah ditetapkan oleh Allah kepada Bani Israel.” Kemudian dia pun duduk dan kepalanya dipenggal. Dalam kalangan wanita mereka, ada seorang yang dihukum bunuh kerana dia telah melontar batu penggiling ke atas Khallad bin Suwayd sehingga beliau mati. Wanita itu dibunuh kerana pembunuhan tersebut.
Rasulullah SAW mengarahkan dibunuh semua lelaki yang baligh dan ditinggalkan yang belum baligh. Dalam kalangan mereka yang belum baligh itu ialah Atiyyah al-Quraziy. Dia dibiarkan hidup; dia kemudiannya memeluk Islam serta menjadi sahabat yang baik.
Thabit bin Qays meminta supaya al-Zubair bin Bata beserta keluarga dan harta bendanya diserahkan kepadanya kerana al-Zubair pernah memberi pertolongan kepada Thabit. Lalu, Rasulullah SAW memberikan mereka kepada Thabit bin Qays. Thabit berkata kepada al-Zubair, “Rasulullah SAW memberikan engkau kepadaku, begitu juga harta dan keluargamu adalah milikku.”
Al-Zubair bertanya setelah mengetahui bahawa kaumnya telah dibunuh, “Aku memohon kepadamu dengan kuasamu terhadapku, hai Thabit, agar engkau pertemukan aku dengan orang yang aku kasih.” Thabit memancung kepalanya, lalu bertemulah al-Zubair dengan orang Yahudi yang dikasihinya itu. Thabit membiarkan hidup anak al-Zubair bin Bata iaitu Abdul Rahman bin al-Zubair yang kemudiannya memeluk Islam dan menjadi sahabat yang baik. Ummul al-Mundhir Salma binti Qays dari Bani al-Najjar meminta Rasulullah SAW supaya diserahkan kepadanya Rifa’ah bin Samuel al-Quraziy, lalu Rasulullah SAW serahkan kepadanya. Ummul Mundzir membiarkan Rifa’ah hidup; Rifa’ah kemudiannya memeluk Islam dan menjadi sahabat yang baik.
Dalam kalangan orang Yahudi itu, pada malam sebelum mereka turun menerima keputusan Rasulullah SAW, ada yang memeluk Islam. Lantaran itu, mereka terselamat termasuk harta benda dan anak-pinak mereka. Pada malam itu juga (sebelum dijatuhkan hukuman) Amru (seorang lelaki yang tidak bersekongkol dengan Bani Quraizah mengkhianati Rasulullah) keluar dari kubu itu. Dia dilihat oleh Muhammad bin Maslamah, ketua pengawal Rasulullah SAW tetapi dibiarkannya pergi setelah dikenalinya. Tidak seorang pun tahu ke mana dia pergi membawa diri.
Rasulullah SAW membahagi-bahagikan harta benda Bani Quraizah setelah Baginda SAW mengeluarkan satu perlima daripadanya. Diberikan tiga bahagian untuk penunggang kuda, iaitu dua bahagian disebabkan perkhidmatan kuda itu dan satu bahagian disebabkan jasa penunggangnya; kepada tentera pejalan kaki diberikan satu bahagian. Tawanan-tawanan itu ada yang dihantar ke Najd di bawah seliaan Saad bin Zaid al-Ansari. Di sana mereka dijual dengan tukaran kuda dan senjata.
Rasulullah SAW memilih untuknya Raihanah binti Amru bin Khanaqah, salah seorang wanita tawanan mereka. Wanita itu tetap berada di bawah milik Rasulullah SAW sehinggalah Rasulullah SAW wafat, seperti yang dilaporkan oleh Ibn Ishaq. Al-Khabiy berkata bahawa Rasulullah SAW telah memerdekakannya dan mengahwininya pada tahun 6 Hijrah. Wanita itu meninggal dunia setelah Rasulullah SAW kembali dari menunaikan Haji al- Wada, dan jenazahnya dikebumikan di al-Baqi’.
Setelah selesai urusan Bani Quraizah itu, maka termakbullah doa seorang hamba yang soleh iaitu Saad bin Muaz R.A. Sebelum itu Rasulullah SAW telah memasang sebuah khemah untuknya di dalam masjid supaya mudah untuk Rasulullah SAW mengunjunginya. Setelah urusan Bani Quraizah selesai, luka Saad mula pecah. Aisyah R.Anha berkata bahawa terpancarlah darah dari dada Saad (tempat lukanya membengkak sehingga merebak ke bahagian dadanya; bahagian itu mulai pecah dan berdarah semula). Namun, mereka tidak menyedarinya (di dalam masjid itu juga ada khemah lain yang diduduki oleh Bani Ghifar) melainkan setelah darahnya mengalir kepada mereka. Lantas mereka pun berkata, “Hai ahli khemah, apa yang kamu bawa ke tempat kami ini?” Tiba-tiba mereka dapati Saad yang sudah parah lukanya dan akhirnya meninggal dunia.
Dalam hadis riwayat daripada Jabir R.A, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
اهْتَزَّ العَرْشُ لِمَوْتِ سَعْدِ بْنِ مُعَاذٍ
Maksudnya: “Arasy bergegar kerana kematian Sa‘ad bin Muaz.”
Riwayat al-Bukhari (3803) dan Muslim (2466)
Para ulama menyatakan hadith ini menunjukkan bahawa para malaikat bergembira dengan kedatangan Sa‘ad bin Mu’az melihat kepada kedudukannya.
Di dalam riwayat yang lain, ada diceritakan berkaitan kematian Sa‘ad bin Muaz dan perkara tersebut merupakan di antara kelebihan serta kemuliaan yang terdapat pada beliau sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik RA, katanya: Apabila diusung jenazah Sa‘ad bin Muaz maka orang munafik berkata: “Alangkah ringannya jenazahnya ini, dan ini adalah akibat penghakimannya terhadap Bani Quraizah.” Maka perkara ini sampai kepada Nabi SAW. Lalu Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الـمَلَائِكَةَ كَانَتْ تَحْمِلُهُ
Maksud: “Sesungguhnya para malaikat yang mengusung jenazahnya.”
Riwayat al-Tirmizi (3849) dan beliau menilai hadith ini sebagai hasan sahih gharib. Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Syarh al-Sunnah (14/182) menyatakan bahawa sanad hadith ini sahih.
Semasa operasi pengepungan Bani Quraizah tersebut, seorang lelaki muslim iaitu Khallad bin Suwayd telah terbunuh kerana dilontar batu penggiling oleh seorang perempuan Yahudi Bani Quraizah. Semasa dalam pengepungan itu juga, Abu Sinan bin Mihsan iaitu saudara Ukashah, telah meninggal dunia. Sementara itu, sudah enam hari Abu Lubabah yang mengikat dirinya di tiang masjid. Setiap kali waktu solat, isterinya datang membuka ikatannya supaya dia dapat solat, kemudian dia kembali mengikat dirinya ke tiang.
Kemudian turunlah wahyu kepada Rasulullah SAW memberitahu mengenai penerimaan taubat Abu Lubabah pada waktu sahur. Ketika itu Rasulullah SAW sedang berada di rumah Ummu Salamah R.Anha. Abu Lubabah menceritakan bahawa Ummu Salamah bangun di muka pintu biliknya dan berkata kepadaku, “Hai Abu Lubabah, terimalah berita gembira, Allah telah menerima taubatmu.” Lalu bergegas-gegaslah manusia untuk membuka ikatannya tetapi dia enggan dibebaskan kecuali oleh Rasulullah SAW. Maka, apabila Rasulullah SAW keluar untuk solat Subuh, Baginda SAW pun melepaskan ikatan Abu Lubabah.
Peperangan Bani Quraizah ini berlaku pada bulan Zulkaedah tahun 5 Hijrah dan pengepungannya berterusan selama 25 malam. Mengenai Perang Ahzab dan peristiwa Bani Quraizah ini, Allah menurunkan firman-firman- Nya di dalam surah Al-Ahzab. Dalam surah ini Allah menyebut mengenai perkara-perkara terpenting yang mencakupi keadaan orang mukmin dan orang munafik. Kemudian, diceritakan perihal percakaran tentera-tentera bersekutu serta akibat daripada pengkhianatan yang dilakukan oleh ahli kitab. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 500; Lihat juga Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 136)
Demikianlah kesudahan Bani Quraizah yang telah mengkhianati perjanjian dengan Rasulullah SAW dan umat Islam, bahkan telah berusaha menikam umat Islam dari belakang, ketika mana umat Islam sedang menghadapi musuh yang sangat berat.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”