Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah Abu Lahab dan Abu Jahal orang yang sama atau berlainan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Dalam menjawab persoalan di atas, Abu Lahab dan Abu Jahal adalah orang yang berlainan. Kami nyatakan sedikit latar belakang mereka seperti berikut:
Siapa Abu Lahab?
Nama sebenar Abu Lahab ialah Abdul Uzza bin Abdul Muttalib (Abdul Uzza dengan makna hamba kepada berhala Uzza). Nasabnya adalah seperti berikut: Abdul Uzza bin Abdul Muttalib bin Hasyim bin Abdi Manaf bin Qusai bin Kilab.
Berdasarkan nasab ini, dapat difahami bahawa Abu Lahab merupakan bapa saudara kepada Rasulullah SAW. Bapa Nabi SAW iaitu Abdullah dan Abu Lahab adalah daripada bapa yang sama, iaitu Abd al-Muttalib.
Beliau lebih dikenali dengan nama kuniyah Abu Lahab berbanding nama sebenarnya. Lahab bermaksud menyala-nyala. Ada yang mengatakan bahawa yang memberi gelaran Abu Lahab adalah ayahnya, Abdul Muttalib, kerana Abu Lahab wajahnya sangat cerah dan kemerah-merahan.
Abu Lahab terkenal dengan sifat memusuhi agama Allah. Cukuplah kalimah beliau mencelakan Nabi SAW, maka Allah SWT menurunkan Surah al-Masad:
تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ ﴿١﴾ مَا أَغْنَىٰ عَنْهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ ﴿٢﴾ سَيَصْلَىٰ نَارًا ذَاتَ لَهَبٍ ﴿٣﴾ وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الْحَطَبِ ﴿٤﴾ فِي جِيدِهَا حَبْلٌ مِّن مَّسَدٍ
Maksudnya: Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama! Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. – Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal.
(Surah al-Masad: 1-5)
Al-Maraghi berkata dalam mentafsirkan ayat di atas: Dia kelak akan menderita bakaran panas api neraka dan akan diseksa dengan nyalaan api itu. Kesimpulannya, Abu Lahab dalam kerugian, amalnya tersia-sia, usahanya yang ditempuh untuk menentang agama Allah SWT menjadi gagal, harta yang dibanggakannya tidak dapat menolongnya dan tidak pula dapat menolong dirinya.
Ini disebabkan Allah SWT mengangkat seruan rasul-Nya, menyebarkan dakwah-Nya, menyiarkan penyebutannya dan Abu Lahab akan diseksa di hari Kiamat dengan api yang bergejolak lagi menyala-nyala, pembakaran yang keras, disediakan oleh Allah SWT bagi orang kafir, melebihi penyeksaannya di dunia dengan pembatalan usahanya dan tertolak amalnya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/7735)
Dikatakan Abu Lahab tidak hadir dalam peperangan Badar kerana usianya sudah tua tetapi apabila mendengar berita tersebut, beliau amat berdukacita.
Syeikh Sofiyyurahman al-Mubarakfuri menceritakan kisah yang berlaku selepas perang Badar di Kota Mekah: Abu Rafi’ ialah seorang hamba yang dimerdekakan oleh Rasulullah SAW. Beliau berkata: Dahulu aku adalah hamba milik al-Abbas. Ketika itu Islam telah sampai kepada seluruh Ahli Bait. Al-Abbas masuk Islam, kemudian aku dan Ummu Fadhl juga masuk Islam. Namun al-Abbas menyembunyikan keislamannya. Pada waktu peperangan Badar, Abu Lahab tidak ikut berangkat. Tatkala berita kekalahan Quraisy sampai kepadanya, Allah memalukan dan menghinakannya. Sedangkan kami memperoleh sedikit kekuatan di dalam diri kami.
Ketika itu aku seorang yang lemah. Aku bekerja membuat anak panah. Aku merautnya di dalam sebuah bilik yang berhampiran telaga zamzam. Demi Allah, ketika aku sedang duduk meraut anak panahku di sana, sementara Ummu Fadhl duduk berhampiran denganku dan kami sedang bergembira kerana berita kemenangan tentera Islam yang sampai kepada kami, tiba-tiba Abu Lahab datang dengan menyeret kedua-dua kakinya, sehingga dia duduk tepat di hadapan kain penutup bilik dan belakangnya bersandar pada belakangku. Ketika dia sedang duduk, orang ramai berkata, “Inilah Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Muttalib. Dia datang.”
Maka Abu Lahab berkata: “Ke marilah! Dekatilah aku! Engkau pasti membawa banyak berita.” Abu Sufyan lantas duduk berhampiran dengannya, sementara orang ramai berdiri di hadapannya. Abu Lahab bertanya, “Hai anak saudaraku, beritakanlah kepadaku apa yang terjadi.”
Abu Sufyan menceritakan, “Tiada lain kecuali pasukan mereka berhadapan dengan kami, lalu kami menyerahkan belakang kami kepada mereka. Mereka membunuh orang-orang kita semahu mereka. Mereka juga menawan orang-orang kita sesuka hati mereka. Demi Allah, walaupun begitu, aku tidak mengancam siapa pun, sebab kami berhadapan dengan orang-orang yang berpakaian putih yang turun memakai kuda belang di antara langit dan bumi. Demi Allah, kuda-kuda itu tidak meninggalkan jejak sedikit pun dan tidak berpijak pada apa-apa pun.”
Abu Rafi’ meneruskan, “Kubuka kain penutup bilik dengan kedua-dua tanganku, lalu aku berkata, “Demi Allah, itu malaikat.”
Mendadak Abu Lahab mengangkat tangan, lalu memukul wajahku dengan kuat. Aku menerkamnya, tetapi dia mengangkat tubuhku, lalu membalingku di tanah. Kemudian dia berlutut di atas tubuhku sambil memukulku. Waktu itu aku orang yang lemah sehingga Ummu Fadhl mengambil salah satu tiang penyangga bilik, lalu digunakannya untuk memukul Abu Lahab sehingga kepalanya luka parah. Ummu Fadhl berkata, “Kau berani menyeksa orang ini semasa tuannya tidak ada?”
Abu Lahab beranjak pergi dengan kepala tertunduk. Demi Allah, dia hanya hidup tujuh hari selepas itu, sehingga Allah menimpakan pada lukanya bernanah yang biasanya membuatkan orang ramai Arab berasa jijik, lalu kesan itu membunuhnya. Tidak ada saudaranya yang mahu mengurusnya, sehingga mayatnya dibiarkan begitu sahaja selama tiga hari tanpa dikuburkan. Disebabkan khuatir akan dicemuh kerana membiarkan mayatnya, maka barulah mereka menggalikan liang kubur untuknya. Kemudian mereka menolak mayatnya ke dalam lubang tersebut dengan sebatang kayu, lalu melemparnya dengan batu-batu dari jauh sehingga jasadnya tertimbun. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 335-336)
Begitulah pengakhiran hidup Abu Lahab, orang yang kuat memusuhi Islam dan menentang dakwah Rasulullah SAW semasa hidupnya.
Siapa Abu Jahal?
Nama sebenar beliau ialah ‘Amr bin Hisyam bin al-Mughirah bin Abdillah bin Amr bin Makhzum bin Yaqazah bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’ai bin Ghalib. Ramai yang menyangka bahawa Abu Jahal adalah bapa saudara Nabi SAW.
Berdasarkan silsilah nasab ini, dapat diketahui bahawa Abu Jahal bukan bapa saudara Nabi SAW. Dia hanyalah sepupu jauh dengan Nabi SAW. Mereka hanya bertemu pada nasab moyang yang bernama Murrah bin Ka’ab bin Lu’ai bin Ghalib.
Murrah mempunyai tiga orang anak lelaki, iaitu Kilab, Taim dan Yaqazah. Daripada Yaqazah inilah lahirnya Makhzum yang kemudian dikenali sebagai Bani Makhzum, suku Amr bin Hisyam. Daripada Kilab, lahirnya Qusai, dan melahirkan keturunan Hasyim bin Abdi Manaf bin Qusai. Bani Hasyim adalah suku Nabi SAW.
Sebelum dikenali sebagai Abu Jahal, beliau memiliki nama panggilan Abu al-Hakam (bapa kebijaksanaan). Ini kerana beliau terkenal di Makkah dengan kecerdasan dan ketepatan pendapatnya. Dalam pelbagai majlis dan perbincangan di Makkah, beliau kerap menjadi tumpuan untuk menyelesaikan sesuatu perkara kerana pendapatnya yang baik. Namun, setelah Nabi SAW menyampaikan dakwah kepada Islam, Abu al-Hakam diberi panggilan Abu Jahal (bapa kebodohan) oleh Nabi SAW kerana beliau telah membunuh Sumaiyyah binti Khayyat dengan tombak yang ditusuk pada kemaluan sehingga mati.
Abu Jahal atau nama sebenarnya Amru bin Hisyam dibunuh oleh dua remaja beriman dari Kabilah Ansar ketika Perang Badar. Dua pahlawan muda itu adalah Muaz ibn ‘Amru ibn al-Jamuh dan Muaz atau Mu’awwiz ibn Afra’. Kisahnya, ketika Abdul Rahman Ibn Auf R.A bersiap-siaga menanti sebelum tercetusnya perang Badar, beliau disapa dua pahlawan muda tersebut: “Wahai pak cik, adakah pak cik kenal Abu Jahal?” tanya seorang daripada pemuda itu. Abdul Rahman menjawab: “Ya! Mengapakah kamu bertanya tentang perihalnya?”
Dengan nada tegas remaja itu menjawab: “Kami dengar dia selalu mencaci Rasulullah, demi (Allah) yang jiwaku berada pada tangan-Nya, jika aku mendapatinya sudah pasti aku tidak akan melepaskannya sehinggalah dia mati terlebih dahulu daripada kami.”
Abdul Rahman terpegun dan mendapati temannya juga berkata demikian. Setelah perang tercetus, Abdul Rahman mengerling dua remaja itu lalu menunjukkan kepada mereka berdua yang mana satu yang bergelar Abu Jahal itu.
Sejurus itu juga dua remaja Ansar itu menerkam Abu Jahal dengan pantas lagi ganas seakan dua helang menerkam si arnab yang terkapai-kapai mencari perlindungan. Nasib Abu Jahal sama dengan musuh Allah lain dalam sejarah manusia sebagaimana firman Allah:
فَكُلًّا أَخَذْنَا بِذَنبِهِ ۖ فَمِنْهُم مَّنْ أَرْسَلْنَا عَلَيْهِ حَاصِبًا وَمِنْهُم مَّنْ أَخَذَتْهُ الصَّيْحَةُ وَمِنْهُم مَّنْ خَسَفْنَا بِهِ الْأَرْضَ وَمِنْهُم مَّنْ أَغْرَقْنَا ۚ وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَٰكِن كَانُوا أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ
Maksudnya: “Maka setiap mereka (umat lampau pendusta para nabi mereka) Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempa bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di dalam bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di dalam laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.”
(Surah al-Ankabut: 40)
Satu riwayat menyebut, ketika mayat Abu Jahal ditemui, terdapat lebam besar iaitu sebesar tapak kasut pada belakangnya. Rasulullah mengatakan ia adalah kesan pukulan malaikat.[1] (Lihat Jami’ al-Bayan, 11/230; al-Muharrar al-Wajiz, 2/540 dan al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 8/28)
Ia disebut Allah dalam kisah perang Badar dalam surah al-Anfal:
وَلَوْ تَرَىٰ إِذْ يَتَوَفَّى الَّذِينَ كَفَرُوا ۙ الْمَلَائِكَةُ يَضْرِبُونَ وُجُوهَهُمْ وَأَدْبَارَهُمْ وَذُوقُوا عَذَابَ الْحَرِيقِ
Maksudnya: “Dan (amatlah ngerinya) kalau engkau melihat (wahai orang yang memandang), ketika malaikat mengambil nyawa orang-orang kafir dengan memukul muka dan belakang mereka (sambil berkata): “Rasalah kamu azab seksa neraka yang membakar.”
(Surah al-Anfal: 50)
Selepas kematian Abu Jahal dan selesainya peperangan, Rasulullah SAW mengumpulkan mayat-mayat orang kafir dan meminta digali satu lubang besar dan dipanggil sebagai qalib. Kemudian sebelum dikambus, Rasulullah SAW berucap kepada mayat tersebut dengan menyatakan:
يَا أَبَا جَهْلِ بْنَ هِشَامٍ! يَا أُمَيَّةَ بْنَ خَلَفٍ! يَا عُتْبَةَ بْنَ رَبِيعَةَ! يَا شَيْبَةَ بْنَ رَبِيعَةَ! أَلَيْسَ قَدْ وَجَدْتُمْ مَا وَعَدَ رَبُّكُمْ حَقًّا؟ فَإِنِّي قَدْ وَجَدْتُ مَا وَعَدَنِي رَبِّي حَقًّا.
Maksudnya: “Wahai Abu Jahal bin Hisyam, wahai Umayyah bin Khalaf, wahai Utbah bin Rabi’ah, wahai Syaibah bin Rabi’ah, bukankah kamu telah menemui kebenaran janji Rabb kamu? Sesungguhnya aku telah menemui kebenaran janji Rabbku yang dijanjikan padaku.”
Saidina Umar R.A yang mendengar ucapan Nabi SAW lalu berkata, “Wahai Rasulullah, bagaimana mereka dapat mendengar dan bagaimana mereka dapat menjawab. Lihatlah mereka telah menjadi bangkai.” Nabi SAW bersabda: ”Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, kamu tidak lebih mendengar ucapanku melebihi mereka. Hanya sahaja mereka tidak dapat menjawab.”
Riwayat Muslim (2874)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ
Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”
Nota kaki:
[1] Daripada al-Hasan, katanya: Seorang lelaki berkata: ‘يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي رَأَيْتُ بِظَهْرِ أَبِي جَهْلٍ مِثْلَ الشِّرَاكِ ، فَمَا ذَاكَ ؟ قَالَ : ضَرْبُ الْمَلاَئِكَةِ.’