Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya sudah penat dengan suami saya yang sering leka apabila saya meluahkan masalah seharian kepadanya, kerana dia sekadar mendengar ‘masuk telinga kanan keluar telinga kiri’. Kadang-kadang si anak bercakap pun tidak diambil endah. Apakah nasihat yang boleh diberikan kepada suami atau ayah di luar sana yang berperangai begini? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pertamanya, sebagai seorang pemimpin keluarga, suami atau ayah memainkan peranan penting dalam mengemudi emosi ahli rumahnya agar sentiasa dapat berada dalam keadaan stabil dan sihat. Oleh yang demikian, kita dapat melihat bagaimana ahli psikologi menitikberatkan isu perhubungan kekeluargaan, iaitu komunikasi. Dr Airil Haimi Mohd Adnan, Ahli Daftar Kaunseling Profesional United Kingdom dan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata, dalam bidang psikologi kaunseling, komunikasi diberi fokus paling utama sebenarnya. Ia kerana dalam 10 perhubungan yang gagal, mungkin sembilan dari sebab kegagalan itu boleh diletakkan pada proses komunikasi yang kurang cekap atau kurang berkesan.[1]
Tiada keluarga yang terlepas dari masalah, masalah kesefahaman, dan kurang mendengar antara kedua-dua pihak terhadap yang lain. Akan tetapi, masalah ini mempunyai peringkatnya, ada yang boleh ditanggung dan dianggap sebagai sesuatu yang biasa dalam setiap keluarga, dan ada yang tidak dapat ditanggung dan tidak dianggap sebagai perkara biasa, yang boleh membawa kepada kehancuran keluarga.
Mendengar yang dimaksudkan di sini bukanlah sekadar mendengar apa jua suara atau bunyi yang ada di sekeliling kita sahaja, kerana ini tidak dapat menyelesaikan sebarang masalah yang ada di hadapan kita. Sebaliknya, yang dimaksudkan dengan mendengar ini adalah dengan meneliti apakah masalah yang dilalui oleh seseorang itu, dan seterusnya memikirkan solusi yang terbaik untuk membungkam masalah tersebut. Oleh sebab itu, mendengar ini juga termasuk dalam salah satu cara bergaul yang baik antara suami isteri.
Allah SWT telah berfirman:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِٱلْمَعْرُوفِ ۚ
Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”
(Surah al-Nisa’: 19)
Imam Ibn Kathir berkata ketika menafsirkan ayat di atas, bercakaplah dengan baik, dan perelokkkan tingkah laku semampu mungkin sepertimana kalian suka perkara tersebut dilakukan oleh para isteri, maka perlakukanlah perkara yang sama terhadap mereka. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/212)
Ini sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:
وَلَهُنَّ مِثْلُ ٱلَّذِى عَلَيْهِنَّ بِٱلْمَعْرُوفِ ۚ
Maksudnya: “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajiban yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syara‘).”
(Surah al-Baqarah: 228)
Rasulullah SAW juga menasihatkan agar kita berbuat baik kepada pasangan kita, dan termasuklah dalam perbuatan baik itu adalah menjadi pendengar yang baik. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
خَيْرُكُمْ خُيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ، وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي
Maksudnya: “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik (hubungannya) dengan ahli keluarganya, dan aku adalah yang paling baik di antara kamu kepada keluargaku.”
Riwayat Ibn Majah(1977)
Mendengar ini merupakan satu asas yang penting dalam sesebuah perhubungan. Dan alangkah indahnya Islam ini apabila perkara ini pada hakikatnya telah ditunjukkan sendiri contohnya oleh Saidatina Khadijah R.Anha ketika peristiwa turunnya wahyu pertama kepada Rasulullah SAW, sehinggakan Baginda merasa ketakutan yang teramat. Diriwayatkan daripada Saidatina ‘Aisyah R.Anha, katanya:
فَدَخَلَ عَلَى خَدِيجَةَ بِنْتِ خُوَيْلِدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا، فَـقَالَ: زَمِّلُونِي زَمِّلُونِي. فَـزَمَّلُوهُ حَتَّى ذَهَبَ عَنْهُ الرَّوْعُ، فَـقَالَ لِخَدِيجَةَ وَأَخْبَرَهَا الخَبَرَ: لَقَدْ خَشِيتُ عَلَى نَـفْسِي. فَـقَالَتْ خَدِيجَةُ: كَلَّا وَاللهِ مَا يُخْزِيكَ اللهُ أَبَدًا، إِنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمَ، وَتَحْمِلُ الكَلَّ، وَتَكْسِبُ الـمَعْدُومَ، وَتَـقْرِي الضَّيْفَ، وَتُعِينُ عَلَى نَـوَائِبِ الحَقِّ
Maksudnya: “Baginda SAW lalu masuk menemui Khadijah binti Khuwailid R.Anha dan berkata: ‘Selimutkan aku, selimutkan aku.’ Maka, dia (Khadijah) menyelimutkannya sehingga hilang rasa takut Baginda. Rasulullah SAW menceritakan peristiwa yang berlaku kepada Khadijah R.Anha dan berkata: ‘Sesungguhnya aku benar-benar bimbangkan diriku.’ Khadijah R.Anha berkata: ‘Demi Allah, sampai bila pun Allah tidak akan menghinamu. Sesungguhnya engkau ialah orang yang selalu menyambung silaturrahim, menanggung beban orang-orang susah, mengusahakan sesuatu untuk orang yang tiada perusahaan, melayani tetamu dan membantu orang yang ditimpa bencana alam’.”
Riwayat al-Bukhari (3) dan Muslim (160)
Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata, antara faedah yang terdapat dalam kisah ini adalah sunnah menenangkan orang yang menghadapi sesuatu masalah dengan menyebutkan sesuatu yang boleh menyenangkan hatinya, agar perkara yang dihadapi terasa ringan. Dan sunnah juga bagi seseorang yang sedang menghadapi sesuatu untuk berkongsikan perkara tersebut dengan orang yang dipercayai nasihat serta sudut pandangnya. (Lihat Fath al-Bari, 1/25)
Apabila seseorang wanita itu telah berkahwin, tidak ada yang lebih dekat dengannya dan lebih mengetahui tentang masalah peribadinya berbanding si suami. Begitu juga anak, tidak ada yang lebih mengetahui keperluan serta kehendaknya melainkan ibu bapanya sendiri yang menjaga serta membesarkannya. Apabila seorang bapa atau suami itu hanya mendengar ‘masuk telinga kanan keluar telinga kiri,’ bagaimana mungkin sesuatu masalah yang diperdengarkan kepadanya itu dapat diatasi dengan baik. Sekiranya perkara ini berterusan berlaku, nescaya tidak tercapailah maqasid perkahwinan yang telah disebutkan oleh Allah SWT sepertimana firman-Nya:
وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًۭا لِّتَسْكُنُوٓا۟ إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةًۭ وَرَحْمَةً ۚ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”
(Surah al-Rum: 21)
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)
Kesimpulan
Perbincangan ini membawa kita kepada satu natijah, iaitu pentingnya menjadi pendengar yang baik terutamanya bagi seseorang yang bergelar ketua, sama ada suami, bapa, majikan, dan lain-lain. Hal ini agar mereka dapat mengetahui apakah masalah yang dihadapi oleh mereka yang berada di bawah jagaannya, dalam masa yang sama dapat meringankan sedikit tekanan yang dihadapi oleh mereka yang meluahkan.
Perkara ini adalah suatu fitrah yang sememangnya tidak asing lagi dalam diri seorang manusia. Oleh kerana itu, kita dapat melihat bagaimana Rasulullah SAW sendiri pernah meluahkan apa yang Baginda hadapi kepada isterinya Saidatina Khadijah R.Anha. Dan lihatlah bagaimana Saidatina Khadijah R.Anha memainkan peranan penting sebagai pendengar yang baik, menenangkan kegusaran Rasulullah SAW dan menunjukkan betapa beliau memberikan perhatian yang penuh kepada luahan Baginda SAW.
Semoga saudari dan suami dapat mengambil manfaat dari perkongsian ini, seterusnya memperbaiki hubungan kekeluargaan menjadi lebih baik dan harmoni. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Wallahu a‘lam
Nota kaki:
[1] Lihat https://www.hmetro.com.my/WM/2021/10/770015/jaga-komunikasi-dalam-hubungan. Diakses pada 11 December 2023.