Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum memakan sotong kurita berjalur biru? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu sedikit pengenalan berkenaan sotong kurita berjalur biru atau dipanggil juga sebagai sotong kurita bergelang biru atau dalam bahasa Inggeris ia ialah blue-ringed octopus.[1] Sotong kurita berjalur biru tergolong dalam genus Hapalochlaena. Ia biasanya terdapat di sepanjang pantai selatan Australia. la boleh dikenali dengan warnanya yang berjalur biru. Diameternya kira-kira empat sentimeter hingga enam sentimeter. la mempunyai muncung bak paruh burung nuri dan kadangkala ia menggigit manusia. Bisa daripada kelenjar liurnya kemudian masuk ke dalam luka. Beberapa orang telah mati kerana digigit oleh sotong kurita ini. Gigitannya biasanya tidak menyakitkan. Tompok kecil darah pada kulit apabila sotong kurita ini disingkirkan adalah satu- satunya tanda bahawa mangsa telah digigit. Kesan bisa yang pertama ialah rasa kebas. Mangsa biasanya berhenti bernafas, memerlukan resusitasi (pernafasan) mulut-ke-mulut sehingga dua atau tiga jam. Rawatannya sama seperti rawatan untuk gigitan ular. Tiada antivenen tertentu bagi gigitan oleh sotong. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 20/246).

Sotong kurita bergelang biru ini tergolong dalam hidupan laut yang paling beracun di dunia. Racunnya mengandungi tetrodotoxin, sejenis racun yang menyerang sistem saraf yang menyebabkan buta, loya, kerosakan sistem pernafasan, kelumpuhan dan boleh menyebabkan kematian. Racun tersebut cukup kuat untuk membunuh 26 orang dewasa dalam beberapa minit.[2]

Hukum memakan sotong bergelang biru

Pada asasnya, haiwan air dapat dibahagikan kepada dua kategori iaitu spesies ikan sebagaimana rupa bentuknya yang telah diketahui umum. Ia adalah halal untuk dimakan walau bagaimanapun cara ia dimatikan serta tidak perlu disembelih. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ

Maksudnya:Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”

Riwayat al-Baihaqi (1211) dan beliau menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.

Keduanya, haiwan air yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan seperti babi air dan anjing laut. Para ulama telah berselisih pendapat dalam kategori ini. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/547-548). Bagi kategori ini, Imam al-Nawawi ada menukilkan tiga pendapat yang masyhur mengenai perkara ini dalam kitab beliau, dan menyatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i adalah semuanya halal untuk dimakan, tanpa perlu berhajat kepada sembelihan. Justeru, bangkainya adalah halal untuk dimakan. Hal ini kerana perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548).

Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah ayat 96 seperti yang telah disebutkan di atas. Begitu juga, riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

Kesimpulannya

Berbalik kepada soalan yang diajukan, secara umumnya sotong kurita berjalur/bergelang biru termasuk dalam haiwan hidupan air yang mana hukum asalnya adalah halal untuk dimakan. Sekalipun begitu sotong kurita jenis ini juga dikenali sebagai haiwan yang mempunyai toksin yang beracun yang boleh menyebabkan kematian kepada pemakannya. Oleh yang demikian, hukum sotong kurita berjalur/bergelang biru berubah daripada hukum asalnya iaitu harus dimakan menjadi haram dimakan disebabkan oleh mudarat dan bahayanya kepada manusia — pemakannya. Firman Allah:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38).

Begitu juga Imam al-Baghawi dalam menjelaskan ayat ini menyebut bahawa setiap perkara yang membawa kepada kebinasaan dalam agama mahupun dunia, maka ia termasuk dalam makna ayat ini.  (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 1/367). Tambahan lagi, menurut Syeikh Sayyid Tantawi, maksud “التَّهْلُكَةِ” ialah kehancuran dan kematian atau apa jua yang boleh membawa kepadanya. (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 329).

Perkara ini adalah selari dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ النَافِعَةِ الإِبَاحَةُ، وَفِي الأَشْيَاءِ الضَّارَّةِ الحُرْمَةُ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu yang bermanfaat adalah dibolehkan (yakni harus) dan hukum asal bagi sesuatu yang berbahaya adalah diharamkan.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota kaki:

[1] Lihat https://kids.britannica.com/students/assembly/view/238487. Diakses pada 11 Disember 2023.

[2] Lihat https://www.mstar.com.my/global/dunia/2021/03/24/teruja-lihat-sotong-kurita-cantik-wanita-tak-sedar-terpegang-haiwan-laut-paling-beracun-di-dunia. Diakses pada 11 Disember 2023.

Leave a Reply