Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah seseorang itu bersedekah/memberi zakat kepada orang kaya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَنفِقُوا مِن مَّا رَزَقْنَاكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ

Maksudnya: “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya.”

(Surah al-Munafiqun: 10)

Syeikh al-Maraghi menafsirkan, nafkahkanlah sebahagian kurniaan harta yang Kami berikan kepadamu sebagai tanda syukur terhadap nikmat-Nya dan kasih kepada hamba-Nya yang fakir. Simpanlah nafkah itu untuk hari perhitungan supaya kamu boleh memetik hasil daripada apa yang kamu telah amalkan. Janganlah kamu menyimpannya dalam peti-peti kamu tinggalkan untuk ahli warismu. Ini disebabkan ahli warismu mungkin akan menghabiskannya pada jalan yang tidak akan mendatangkan kepujian dan sanjungan kepadamu, malah mendatangkan cacian dan makian kepadamu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 14/7032).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa tidak boleh bagi seseorang itu untuk memberi zakat kepada orang kaya melainkan kerana lima sebab berikut iaitu amil zakat, orang yang membeli harta zakat dengan hartanya, orang yang berhutang, orang yang berperang di jalan Allah, atau orang miskin yang diberikan sedekah (zakat) lalu dia menghadiahkannya kepada orang kaya.

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Sa‘id al-Kudri, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تَحِلُّ الصَّدَقَةُ لِغَنِيٍّ إِلاَّ لِخَمْسَةٍ: لِعَامِلٍ عَلَيْهَا، أوْ رَجُلٍ اشْتَرَاهَا بِمَالِهِ، أوْ غَارِمٍ، أوْ غَازٍ فِي سَبِيلِ اللهِ، أوْ مِسْكِيْنٍ تُصُدِّقَ عَلَيْهِ مِنْهَا، فَأَهْدَى مِنْهَا لِغَنِيٍّ

Maksudnya: “Zakat tidak dibenarkan bagi orang kaya kecuali salah satu daripada lima perkara berikut: amil zakat, orang yang membeli harta zakat dengan hartanya, orang yang berhutang, orang yang berperang di jalan Allah, atau orang miskin yang diberikan sedekah (zakat) lalu dia menghadiahkannya kepada orang kaya.”

Riwayat Ahmad (10838); Abu Daud (1636); Ibn Majah (1841); al-Hakim (1480)

Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam (3/416), asal pembahagian zakat — inilah yang dimaksudkan dalam hadith di atas — adalah untuk golongan asnaf yang lapan yang disebutkan oleh Allah SWT, dan penetapan hak mereka sudah terangkum dalam ayat al-Quran. Firman Allah SWT:

 إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya:Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang mengurusnya, orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

(Surah al-Taubah: 60)

Ibn Abbas R.Anhuma menyatakan bahawa ayat ini merupakan penerangan berkenaan golongan asnaf yang berhak menerima zakat. Mana-mana daripada golongan ini yang telah kamu berikan zakat, maka sudah memadai sebagaimana Allah SWT memerintahkan kita untuk menghadap kiblat iaitu kaabah. Sekiranya kita sudah menghadap sebahagian daripada Kaabah, maka sudah dikira menghadap kiblat. (Lihat al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 2/265).

Daripada ayat di atas, jelaslah kepada kita bahawa terdapat lapan kategori asnaf yang berhak menerima bahagian zakat iaitu:

  • Golongan Fakir, iaitu orang yang tidak mempunyai harta, yang dapat menampung keperluan makanan, pakaian dan kediamannya.
  • Golongan Miskin, iaitu orang yang mempunyai harta, tetapi tidak cukup untuk menampung keperluannya.
  • Golongan Amil, iaitu pemungut hasil yang ditugaskan oleh pemerintah untuk mengumpul dan mengagihkan zakat.
  • Golongan Muallaf, iaitu mereka yang baru memeluk agama Islam. Dengan pemberian zakat, ia diharap akan menguatkan pegangan mereka kepada agama Islam. Begitu juga orang Islam yang terkenal dan berkedudukan tinggi di kalangan kaum mereka.
  • Golongan Hamba, di mana hamba yang layak menerima zakat ialah orang yang ingin membebaskan dirinya daripada perhambaan (المكاتب), iaitu hamba yang membuat perjanjian dengan tuannya apabila dia dapat memberikan sejumlah harta kepadanya.
  • Golongan yang Berhutang, iaitu mereka yang dibebani hutang dan tidak mampu melunaskannya dengan syarat mereka berhutang untuk tujuan yang halal.
  • Golongan Musafir iaitu orang yang dalam perjalanan dengan tujuan yang diharuskan oleh syara’, sekalipun untuk melancong.
  • Fi sabilillah (untuk jalan Allah) bermaksud sukarelawan yang berjuang mempertahankan umat Islam tanpa imbuhan dan gaji. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/60-62).

Kemudian, Syeikh Abdullah al-Bassam turut menyatakan, dalam hadith di atas juga, tiga kategori/golongan daripada lapan golongan asnaf yang disebutkan telah dinyatakan, iaitu amil zakat, orang yang berhutang, dan pejuang di jalan Allah SWT. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/416).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Leave a Reply