Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Nabi SAW nampak sahabat sembahyang di belakangnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلاَةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ
Maksudnya: Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.
(Surah al-Baqarah: 238)
Merujuk kepada dalil di atas, al-Qurtubi mentafsirkan maksud perkataan “peliharalah” ialah merujuk kepada suruhan Allah SWT ke atas hambanya supaya memelihara serta menjaga solatnya dengan mengerjakan solat tersebut dalam waktunya dan memenuhi syarat-syaratnya. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/212)
Peri pentingnya solat berjemaah jelas dalam sebuah hadith, daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda :
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
Maksudnya : “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.”
Riwayat Muslim (1509)
Di dalam riwayat lain menyatakan :
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ أَحَدِكُمْ وَحْدَهُ بِخَمْسَةٍ وَعِشْرِينَ جُزْءًا
Maksudnya: “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat kalian yang secara bersendirian sebanyak 25 bahagian.”
Riwayat Muslim (1504)
Imam Al-Nawawi menyebut bahawa sama ada 25 atau 27 bahagian adalah berdasarkan keadaan solat dan orang yang menunaikannya. Ada yang dapat 25 darjat dan ada yang dapat 27 berdasarkan kesempurnaan solatnya dan sejauh mana dia menjaga solat secara berjemaah. (Lihat Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 4/183)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan ya, hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW, daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
هَلْ تَرَوْنَ قِبْلَتِي هَا هُنَا، فَوَاللهِ مَا يَخْفَى عَلَيَّ خُشُوعُكُمْ وَلاَ رُكُوعُكُمْ، إِنِّي لَأَرَاكُمْ مِنْ وَرَاءِ ظَهْرِي.
Maksudnya: “Adakah kamu menyangka aku mengadap ke arah kiblat? Oleh itu, aku tidak mengetahui keadaan kamu di belakang aku. Demi Allah, khusyuk dan rukuk kamu tidak disembunyikan daripada aku. Sesungguhnya aku benar-benar nampak kamu dari belakangku.”
Riwayat al-Bukhari (418)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Yang benar, bahawa hadith ini tetap difahami sebagaimana makna zahirnya. Penglihatan itu benar sebagaimana hakikatnya dan khusus bagi Nabi SAW yang merupakan perkara di luar kebiasaan. Pengertian seperti inilah yang menjadi pendapat Imam al-Bukhari, sehingga beliau menyebutkan hadith di atas pada pembahasan tentang tanda-tanda kenabian. Begitu juga yang dinukilkan daripada Imam Ahmad dan imam-imam yang lain. (Lihat Fath al-Bari, 3/121)[1]
Daripada Anas bin Malik, katanya:
صَلَّى بِنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلاَةً، ثُمَّ رَقِيَ المِنْبَرَ، فَقَالَ فِي الصَّلاَةِ وَفِي الرُّكُوعِ: «إِنِّي لَأَرَاكُمْ مِنْ وَرَائِي كَمَا أَرَاكُمْ».
Maksudnya: “Nabi SAW pernah mengimamkan kami dalam suatu solat, kemudian Baginda SAW naik ke atas mimbar lalu Baginda berkhutbah, dan apabila menyentuh mengenai solat dan rukuk, Baginda bersabda: “Sememangnya aku melihat keadaan kiblat kamu dari belakangku sebagaimana aku melihat kamu sekarang di hadapanku.”
Riwayat al-Bukhari (419)
Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut: Dalam riwayat ini, dapat diketahui bahawa makna ru’yah adalah melihat. Makna zahir hadith ini memberi petunjuk bahawa yang demikian itu khusus ketika solat. Namun, ada kemungkinan kejadian itu berlaku dalam setiap keadaan Baginda. Pandangan seperti ini telah dinukilkan daripada Mujahid. Telah dinukilkan oleh Baqi bin Makhlad, bahawa Baginda SAW dapat melihat dalam kegelapan, sebagaimana melihat di tempat terang. (Lihat Fath al-Bari, 3/122)
Kami katakan, terdapat juga beberapa nas yang lain menunjukkan Rasulullah SAW mengetahui perbuatan sahabat di belakang Baginda ketika solat, termasuk bacaan atau diam mereka. Ini juga sebahagian daripada min a’lam al-nubuwwah yang khusus diberikan kepada Rasulullah SAW. Hal ini tidaklah pelik dengan kurniaan mukjizat kepada Rasulullah SAW yang pelbagai.
Keduanya, penglihatan juga dengan maksud pengetahuan dan makrifah akan sesuatu. Dalam erti kata yang lain, Rasulullah SAW mengetahui dan melihatnya sama ada melalui ‘ain al-basariyyah (kaca mata zahir), atau ‘ain al-basiriyyah (kaca mata batin atau hati).
Itulah Rasullah SAW yang berbeza dengan orang yang lain, kerana diistimewakan dengan pelbagai keistimewaan. Merujuk kepada sirah Baginda SAW dan juga ucapan hadith Baginda SAW jelas menunjukkan hal tersebut berlaku kepada Rasulullah SAW.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”
Nota kaki:
[1] Al-Hafiz Ibn Hajar turut menyebut: Kemudian, penglihatan itu boleh sahaja dengan mata langsung yang merupakan perkara luar biasa, di mana Baginda mampu melihat tanpa perlu berhadapan mata. Ini kerana pandangan yang benar menurut Ahli Sunnah bahawa penglihatan – secara akal – tidak disyaratkan pada anggota badan tertentu, tidak juga perlu berhadapan atau perlu pada jarak tertentu. Hanya sahaja secara kebiasaan penglihatan tercapai dengan hal-hal tersebut, namun boleh sahaja penglihatan tercapai tanpa adanya perkara-perkara tersebut menurut akal. Oleh sebab itu, mereka membolehkan melihat Allah SWT di akhirat, berbeza dengan para ahli bid’ah yang membataskan pendapat mereka pada lingkup kebiasaan sahaja. (Lihat Fath al-Bari, 3/121)