Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Nabi SAW pernah solat di kandang kambing?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ الصَّلَاةَ فَلْتَقُمْ طَائِفَةٌ مِّنْهُم مَّعَكَ وَلْيَأْخُذُوا أَسْلِحَتَهُمْ فَإِذَا سَجَدُوا فَلْيَكُونُوا مِن وَرَائِكُمْ وَلْتَأْتِ طَائِفَةٌ أُخْرَىٰ لَمْ يُصَلُّوا فَلْيُصَلُّوا مَعَكَ

Maksudnya: “Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu.”

(Surah al-Nisa’: 102)

Ibn al-Munzir berkata: “Allah memerintahkan untuk mendirikan solat berjemaah meskipun dalam keadaan ketakutan, ini merupakan dalil bahawa berjemaah itu menjadi lebih wajib dalam keadaan aman.” (Lihat al-Awsat, 4/135)

Rasulullah SAW bersabda:

أُعْطِيتُ خَمْسًا لَم يُعْطِهِنَّ أَحَدٌ قَبْلِي..وَجُعِلَتْ لِيَ الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا، فَأَيُّمَا رَجُلٍ مِنْ أُمَّتِي أَدْرَكَتْهُ الصَّلاَةُ فَلْيُصَلِّ

Maksudnya: Aku (Rasulullah SAW) diberikan lima kemuliaan yang tidak diberikan kepada sesiapapun sebelum aku.. (antaranya) dijadikan kepada aku bumi sebagai tempat sujud dan tanahnya untuk bersuci. Oleh itu, dimana sahaja seseorang itu mendapati waktu solat, maka hendaklah dia mendirikan solat.

Riwayat al-Bukhari (438)

Al-Zajjaj berkata: “Setiap tempat diibadatkan padanya dinamakan dengan masjid seperti hadis di atas.” (Lihat Taj al-‘Arus, 8/174)

Dalam menjawab personal di atas, kami katakan bahawa Baginda SAW pernah melakukannya. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW, daripada Anas bin Malik, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي فِي مَرَابِضِ الغَنَمِ، ثُمَّ سَمِعْتُهُ بَعْدُ يَقُولُ: كَانَ يُصَلِّي فِي مَرَابِضِ الغَنَمِ قَبْلَ أَنْ يُبْنَى المَسْجِدُ.

Maksudnya: “Nabi SAW pernah mengerjakan solat di kandang kambing.” Kemudian aku (Abu al-Tayyah) mendengarnya (Anas) berkata: “Baginda SAW mengerjakan solat di kandang kambing sebelum masjid dibina.”

Riwayat al-Bukhari (429)

Jelas menunjukkan di sini bahawa Baginda SAW melaksanakan solat di kandang kambing ketika mana masjid belum dibina lagi. Justeru, kami katakan, apabila masjid telah dibina atau musolla dan surau, maka lebih aula dan sesuai solat di tempat tersebut kerana kebersihan dan memang diwakafkan untuk melaksanakan ibadat solat. Di samping, ia mempunyai keistimewaan tersendiri seperti boleh beriktikaf, solat tahiyyatul masjid dan lain-lain lagi.

Kami nukilkan sebuah doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Ibn Jarir al-Tabari berkata: Ya Tuhanku, jadikanlah aku mampu mendirikan solat yang telah Engkau wajibkan pada kami. ‘وَمِن ذُرِّيَّتِي’, maksudnya adalah, jadikanlah juga di antara anak cucuku itu orang-orang yang mendirikan solat kepada-Mu. ‘رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ’, maksudnya, Ya Tuhan kami, terimalah amalan dan ibadahku yang kulakukan untuk-Mu. (Lihat Jami’ al-Bayan, 15/609)

Syeikh Abu Bakar Jabir al-Jaza’iri menyebut: Yakni, wahai Rabbku, jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan keluargaku juga menunaikan solat, kerana solat adalah merupakan sebab bagi seluruh kehidupan. Ia adalah zikir dan syukur. Maka jika seorang hamba mendirikan solat dengan menunaikan syarat-syarat dan rukun-rukunnya secara sempurna, maka dia termasuk dalam kalangan orang-orang yang berzikir dan bersyukur. Dan ketika dia meninggalkannya, maka dia termasuk orang-orang yang lupa dan lalai, dan termasuk juga dari kalangan orang-orang yang kafir. (Lihat Aisar al-Tafasir, 3/61)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

Leave a Reply