Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah kita menghadap ke arah kiblat sedangkan unta di hadapan kita?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
فَوَل وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ
Maksudnya: “Maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjid al-Haram, dan di mana saja kamu berada, hadapakanlah wajahmu ke arah itu.”
(Surah al-Baqarah: 144)
Berdasarkan ayat di atas, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menafsirkan bahawa “Menghadap kiblat dengan tepat adalah wajib bagi mereka yang berada di sekitar Masjid al-Haram. Manakala bagi mereka yang jauh dari Makkah, memadailah menghadap ke arah Makkah sebagai menetapi syarat hukum. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 1/224)
Pada dasarnya, menghadap kiblat merupakan syarat sah solat dan hukumnya adalah wajib. Ini dikuatkan lagi dengan hadith Nabi Muhammad SAW:
إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَأَسْبِغِ الوُضُوءَ، ثُمَّ اسْتَقْبِلِ القِبْلَةَ فَكَبِّرْ
Maksudnya: “Apabila engkau hendak melakukan solat, maka berwudhu’lah dengan sempurna, kemudian menghadaplah ke kiblat dan bertakbir.”
Riwayat al-Bukhari (6251), Muslim (397)
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Menghadap kiblat adalah salah satu daripada syarat sah solat, sama ada ada solat fardhu pada waktunya, solat qadha fardhu dan solat solat sunat pada waktu selain solat sunat ketika musafir dan solat khauf (keadaan sangat takut). Sesiapa yang memulakan solat dalam keadaan tidak menghadap kiblat maka tidak sah solatnya. Manakala sesiapa yang beralih daripada kiblat ketika solat secara sengaja maka batallah solatnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/127)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan, tidak mengapa, Hal ini berdasarkan hadith daripada Nafi’ Rahimahullah, katanya:
رَأَيْتُ ابْنَ عُمَرَ يُصَلِّي إِلَى بَعِيرِهِ، وَقَالَ: رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَفْعَلُهُ.
Maksudnya: Aku melihat Ibn Umar menunaikan solat menghadap ke arah untanya dan beliau berkata: “Aku melihat Nabi SAW melakukan sedemikian.”
Riwayat al-Bukhari (430)
Nas ini dengan jelas menunjukkan bahawa Ibn ‘Umar memperakui yang perbuatannya solat ke arah untanya berdasarkan pengetahuan dan apa yang dilihat bagaimana Rasulullah SAW pernah melakukannya. Justeru, kami katakan jika berlaku keamanan dan selamat daripada gangguan unta tersebut, maka hukumnya adalah harus dan dibolehkan. Walaupun begitu, tempat yang paling baik untuk dilakukan solat sudah tentu di masjid, surau atau musolla, kerana ianya dikhususkan untuk tujuan solat.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”