Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Jika kita pergi ke satu-satu tempat yang dikenakan bala, adakah boleh dan layak kita sembahyang di situ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ الصَّلَاةَ فَلْتَقُمْ طَائِفَةٌ مِّنْهُم مَّعَكَ وَلْيَأْخُذُوا أَسْلِحَتَهُمْ فَإِذَا سَجَدُوا فَلْيَكُونُوا مِن وَرَائِكُمْ وَلْتَأْتِ طَائِفَةٌ أُخْرَىٰ لَمْ يُصَلُّوا فَلْيُصَلُّوا مَعَكَ

Maksudnya: “Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu.”

(Surah al-Nisa’: 102)

Al-Khatib al-Syarbini berkata: “Perintah ini diturunkan ketika waktu perang, maka sudah semestinya lebih utama dilakukan ketika dalam keadaan aman.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/350).

Ibn al-Munzir berkata: “Allah memerintahkan untuk mendirikan solat berjemaah meskipun dalam keadaan ketakutan, ini merupakan dalil bahawa berjemaah itu menjadi lebih wajib dalam keadaan aman.” (Lihat al-Awsat, 4/135)

Firman Allah SWT

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

(Surah al-Nisa’:103)

Al-Maraghi berkata: “Lima sembahyang wajib telah ditetapkan waktunya secara terperinci tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menjadikan mukmin itu selalu mengingati Tuhannya pada setiap waktu, supaya tidak lalai menghadapi perbuatan dosa atau kurang berbuat baik. Sesiapa yang ingin menambah perkara sunat dan zikir dengan lebih banyak, hendaklah memilih waktu-waktu yang sesuai dengan keadaan dan situasi dirinya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1338)

Dalam menjawab persoalan, adapun maksud tempat bala di mana ianya pernah berlaku bala Allah SWT kepada mereka sepertimana kaum Lut, sehingga menjadi Laut Mati. Firman Allah SWT:

فَلَمَّا جَاءَ أَمْرُنَا جَعَلْنَا عَالِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهَا حِجَارَةً مِّن سِجِّيلٍ مَّنضُودٍ

Maksudnya: Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.

(Surah Hud: 82)

Ibn Kathir menyebut: Jibril memporak-porandakan tempat tinggal mereka yang berjumlah tujuh kota- dengan hujung sayapnya. Mereka menyebut bahawa jumlah mereka adalah empat ratus orang. Ada yang mengatakan jumlah mereka empat ribu orang ditambah dengan haiwan-haiwan. Tempat-tempat dan daerah-daerah di sekitar itu juga diporak-porandakan. (Lihat Qasas al-Anbiya’, hlm. 274)

Justeru, kami katakan, ulama berpendapat hukumnya makruh dan tidak dibenarkan. Imam al-Bukhari menjadikan satu bab dalam Sahih al-Bukhari dengan tajuk:

بَابُ الصَّلاَةِ فِي مَوَاضِعِ الخَسْفِ وَالعَذَابِ

Bab: Solat Di Kawasan Reruntuhan Dan Kawasan Yang Pernah Ditimpa Azab

 Kemudian beliau menyebut:

وَيُذْكَرُ أَنَّ عَلِيًّا رَضِيَ اللهُ عَنْهُ: كَرِهَ الصَّلاَةَ بِخَسْفِ بَابِلَ.

Maksudnya: “Diriwayatkan bahawa Ali R.A tidak suka mengerjakan solat di kawasan reruntuhan Babylon.” (Lihat Sahih al-Bukhari, bab 53)

Adapun, adab ketika kita pergi ke tempat tersebut, maka ingatlah sebuah hadith daripada Abdullah bin Umar, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تَدْخُلُوا عَلَى هَؤُلاَءِ المُعَذَّبِينَ إِلَّا أَنْ تَكُونُوا بَاكِينَ، فَإِنْ لَمْ تَكُونُوا بَاكِينَ فَلاَ تَدْخُلُوا عَلَيْهِمْ، لاَ يُصِيبُكُمْ مَا أَصَابَهُمْ.

Maksudnya: “Janganlah kamu masuk ke kawasan kaum yang ditimpakan azab kecuali dalam keadaan menangis. Sekiranya kamu tidak mampu menangis, janganlah kamu masuk ke ke kawasan tersebut, agar azab  yang menimpa mereka tidak menimpa kamu pula.”

Riwayat al-Bukhari (433)

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan: “Sabda Baginda, ‘إِلَّا أَنْ تَكُونُوا بَاكِينَ’ (kecuali dalam keadaan menangis). Keadaan seperti ini tidak hanya pada permulaan memasukinya, akan tetapi selama mana berada di tempat itu.”

Beliau juga menukilkan bahawa Ibn Battal berkata: Lafaz hadith ini merupakan keterangan bolehnya solat di tempat tersebut, kerana solat merupakaan waktu untuk menangis dan merendahkan diri.” (Lihat Fath al-Bari, 3/161)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Leave a Reply