Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Berapa lamakah kadar tempoh kuarantin haiwan jallalah bagi mengharuskan dagingnya untuk dimakan? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.

(Surah al-A‘raf: 32)

Muhammad Ali al-Sabuni menyatakan bahawa ayat di atas adalah bagi menolak pendapat sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan, atau minuman atau pakaian, menurut pendapat diri mereka sendiri dan bukannya syariat daripada Allah SWT. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/15.)

Secara umumnya, haiwan jallalah ini haiwan yang makanannya berasal daripada najis sekalipun bukan daripada tahi seperti kambing yang membesar dengan susu daripada anjing atau keldai jinak. Justeru, termasuklah juga dalam kategori ini, ikan-ikan yang membesar di dalam kolam najis, ikan-ikan ternakan yang diberi makan najis berupa perut ayam dan sebagainya, ayam kampung yang dibiarkan bebas sehingga memakan kotoran serta najis dan lain-lain yang seumpama dengannya. Manakala dari sudut sains, haiwan jallalah ini dikenali sebagai coprophagous (coprophagy). Coprophagous ialah hidupan yang makan tahi atau najis haiwan yang lain. Kebanyakan serangga merupakan spesies coprophagous dan biasanya merupakan pengguna tegar tahi atau najis haiwan herbivor yang lebih besar daripadanya. Antara serangga daripada spesies ini ialah kumbang tahi (dung beetles). [1]

Adapun mengenai hukum memakan haiwan jallalah pula, para ulama telah berbeza pendapat mengenainya kepada dua iaitu sama ada haram atau makruh. Perbezaan pendapat ini timbul disebabkan oleh perbezaan mereka dalam memahami maksud sebenar larangan Rasulullah SAW dalam hadith berkenaan isu ini — yakni adakah ia merujuk kepada haram atau makruh — sebagaimana riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَكْلِ الْجَلَّالَةِ وَأَلْبَانِهَا

Maksudnya:Rasulullah SAW melarang daripada makan haiwan jallalah — yakni dagingnya — dan susunya.

Riwayat al-Tirmizi (1824); Abu Daud (3785) dan al-Albani menilai bahawa hadith ini adalah sahih.

Begitu juga terdapat riwayat lain yang datang dengan lafaz:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الجَلَّالَةِ فِي الْإِبِلِ  أَنْ يُرْكَبَ عَلَيْهَا، أَوْ يُشْرَبَ مِنْ أَلْبَانِهَا

Makasudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada makan haiwan jallalah daripada jenis unta, sama ada menunggangnya atau minum daripada susunya.

Riwayat Abu Daud (3787) dan al-Albani menilai hadith ini sebagai hasan sahih.

Pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i ialah hukumnya adalah makruh, dan ini juga merupakan pendapat mazhab Maliki dan Hanafi, serta salah satu riwayat dalam mazhab Hanbali. Hal ini kerana larangan tersebut tidak kembali kepada zatnya, akan tetapi kepada perkara yang mendatang — yakni bukan kekal pada zat — yang mana paling banyak pun, hanya akan mengakibatkan perubahan pada dagingnya. Oleh yang demikian, perkara itu tidak menjadikan hukumnya haram. Selain itu, mereka juga berhujah bahawa apabila haiwan berkenaan memakan najis dalam kuantiti yang banyak telah menyebabkan dagingnya berubah dan berbau busuk. Oleh itu, makruh memakannya sebagaimana makanan yang berbau busuk yang lain.[6] Berkenaan isu haiwan jallalah ini juga, kami telah bahaskan secara panjang lebar dalam artikel kami yang bertajuk: #506 Memakan Ikan Keli yang Dipancing dari Kolam Najis.[2]

Tempoh kuarantin haiwan jallalah

Berbalik kepada soalan yang diajukan, para ulama berpendapat bahawa haiwan jallalah yang dikuarantin terlebih dahulu selepas terzahirnya bau najis dan diberi makan makanan yang baik — yakni bukan najis — sehingga hilang bau najis tersebut, hukumnya tidak lagi dikira sebagai makruh. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/278; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/29.)

Tambahan lagi, al-Kasani  dalam kitabnya  Badai‘ al-Sanai‘, (5/40)  juga ada menyebutkan bahawa hukum makruh tersebut adalah berkait rapat dengan perubahan daging dan bau busuk. Sekiranya tiada lagi bau busuk itu, hukumnya tidak lagi dikira sebagai makruh. Malah, para ulama yang berpegang dengan pendapat haram daging haiwan jallalah seperti salah satu riwayat dalam mazhab Hanbali, juga membenarkan memakannya setelah dikuarantin dalam satu tempoh masa dan diberi makan makanan yang baik — bukan najis. Namun, mereka berbeza pada tempoh masa pengkuarantinan tersebut. Ada yang tidak menetapkan tempoh masa, manakala ada yang membezakan tempoh masa berdasarkan kesesuaian haiwan berkenaan seperti bagi kategori burung selama 3 hari, kambing selama 7 hari dan apa yang selain daripada kedua-dua kategori ini selama 40 hari. ( Lihat al-At‘imah oleh Dr. Soleh Fauzan, hlm. 51)

Pendapat dalam mazhab Syafi‘i mengenai hal ini dapat dilihat melalui kenyataan Imam al-Nawawi yang menyebutkan bahawa jika haiwan jallalah diberi makanan yang bersih, dan dagingnya suci — yakni tidak lagi berbau — maka hukumnya tidak lagi dikira sebagai makruh. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma yang menyatakan bahawa berikan makanan yang bersih kepada haiwan jallalah selama 40 hari jika ia ialah unta, 7 hari jika ia ialah kambing dan 3 hari jika ia ialah ayam. ( Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/28.)

Manakala terdapat dalam hadith yang lain datang dengan lafaz:

حَتَّى تُعْلَفَ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

Maksudnya:…sehingga diberi makan — yakni makanan yang bersih — selama 40 malam.

Riwayat al-Hakim (2269); al-Daraqutni (4753) dan Imam al-Hakim menyatakan dalam al-Mustadrak bahawa hadith ini sanadnya adalah sahih.

Al-Qalyubi menyebutkan dalam hasyiahnya ketika mengulas hadith di atas bahawa 40 malam ini adalah berdasarkan kepada kebiasaannya sebarang perubahan — yang mendatang dan tidak kekal — akan hilang selepas tempoh tersebut. Hal ini kerana setiap apa yang dimakan akan kekal manfaatnya di dalam badan selama 40 hari. Sekiranya perubahan tersebut hilang sebelum daripada tempoh berkenaan atau dengan tanpa perlu memberi makanan yang bersih, hukumnya tidak lagi menjadi makruh. Jika perubahan tersebut kembali — yakni kembalinya tanda-tanda haiwan jallalah — maka hukumnya kembali menjadi makruh. (Lihat Hasyiah Qalyubi, 4/262.)

Apa yang dinyatakan oleh para ulama ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

إِذَا زَالَتِ العِلَّةُ زَالَ الحُكْمُ

Maksudnya:Apabila hilang ‘illahnya, maka tiadalah hukum tersebut.”

Oleh itu, tiada khilaf dalam kalangan ulama, tidak kira yang berpegang kepada pendapat makruh mahupun haram berkenaan keharusan memakan dagingnya setelah dikuarantin dan diberi makanan yang bersih dalam suatu tempoh masa. Walau bagaimanapun, mereka berbeza pendapat mengenai tempoh masa haiwan jallalah perlu dikuarantin kepada beberapa pendapat:

Pendapat pertama: Tiada tempoh tertentu bagi proses pengkuarantinan dan tempoh memberinya makanan yang bersih. Akan tetapi ia berdasarkan kepada adat setempat dan sangkaan yang kuat bahawa perubahan pada daging tersebut dan baunya yang busuk telah hilang. Ini merupakan pendapat mazhab Syafi‘i dan Abu Hanifah. Walau bagaimanapun, al-Qalyubi dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i hanya menyatakan bahawa tempoh tertentu itu hanyalah sunat sebagaimana bagi unta jallalah diberi makan makanan yang bersih selama 40 hari, bagi lembu jallalah selama 30 hari, bagi kambing jallalah selama 7 hari dan ayam jallalah pula selama 3 hari. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/29; Badai‘ al-Sanai‘, 5/40; dan Hasyiah Qalyubi, 4/262.)

Pendapat kedua: Tempoh kuarantin haiwan jallalah adalah selama 3 hari, tidak kira daripada kategori burung atau selainnya kerana Ibn Umar R.Anhuma telah mengkuarantin ayam jallalah selama 3 hari bagi tujuan memakan dagingnya. Ini merupakan salah satu riwayat Imam Ahmad dan juga salah satu pendapat Abu Hanifah sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Yusuf. Walau bagaimanapun, al-Kasani menyatakan bahawa yang paling baik mengkuarantin ayam jallalah — dan selainnya — sehingga hilang najis yang terkandung di dalam badannya — yakni yang mengubah struktur dagingnya sehingga terzahir bau dan lain-lain. (Lihat al-At‘imah, hlm. 51; Badai‘ al-Sanai‘, 5/40; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 15/261.)

Pendapat ketiga: Membezakan tempoh pengkuarantinan yang diperlukan berdasarkan kepada jenis haiwan jallalah. Di antaranya:

  • Mengkuarantin haiwan jallalah jenis burung selama 3 hari, kambing selama 7 hari dan apa yang selain keduanya selama 40 hari. Ini adalah salah satu daripada riwayat Imam Ahmad. (Lihat al-At‘imah, hlm. 51; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 15/261.)
  • Ayam jallalah dikuarantin selama 3 hari, kambing jallalah selama 4 hari, dan lembu jallalah selama 10 hari. Begitu juga dengan unta jallalah selama 10 hari. Ini pula adalah salah satu daripada pendapat ulama dalam kalangan mazhab Hanafi. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 15/261.)

Kajian terhadap konsep halal dan al-Istibra’ pangasius sutchii (ikan patin)[3]

Kajian ini menggunakan sejenis makanan ikan iaitu organ babi (usus, daging, hati, paru-paru, kulit dan lemak) yang dibeli daripada pasar besar Kuantan, Pahang, Malaysia. Sebanyak lima ekor ikan yang dikaji akan dimasukkan ke dalam enam akuarium (0.5mx 0.2m). Akuarium turut dilengkapkan dengan sistem aliran air dan pengudaraan. Ikan tesebut tidak diberi makan selama satu hari lagi bagi memastikan perut ikan benar benar kosong. 2-3 ekor ikan di belah untuk memerhatikan kandungan dalam perut ikan yang tidak diberi makan. Tiga akuarium diberi makan organ babi sebanyak 6-8% berat-badan setiap hari pada pukul 9.00 pagi. Ikan daripada satu lagi akuarium adalah sebagai kawalan masih tidak diberi makan sehingga 24 jam. Makanan ikan dihentikan pada hari yang ke-5 pada pukul 9.00 pagi. Makanan yang tertinggal akan dikeluarkan daripada semua akuarium pada 30 minit dan 60 minit selepas pukul 9.30 pagi. Setiap 8 jam, 16 dan 24 jam selepas 9.30 pagi, 3 ekor ikan akan di ambil daripada setiap akuarium untuk dibelah dan dikaji kandungan perut ikan.

Hasilnya, sistem pencernaan ikan daripada jenis pangasius sutchii mengambil masa 24 jam bagi pencernaan makanan daripada unsur khinzir ketiga-tiga sampel ikan patin yang dikaji. Dapatan kajian adalah selari dengan kajian ke atas pencernaan ikan daripada sepsis prochilodus scrofa mengambil masa 24 jam, manakala masa makanan selesai melepasi system pencernaan bagi jenis ikan daripada spesis bighead carp ialah 7.1-12.8 jam. Walau bagaimanapun, pencernaan makanan african catfish pula adalah selama 1.5 hari. Berdasarkan kajian ini, tempoh kuarantin atau istiḥalah yang dicadangkan bagi ikan patin yang diberi makan unsur khinzir ialah selama 1 hari. Penulis juga mencadangkan penternak memberhentikan sama-sekali pemberian makanan yang kotor kepada ikan semasa tempoh kuarantin dijalankan. Diharapkan keputusan kajian ini memberi kelebihan kepada penternak dengan meningkatkan kualiti ikan dan menjadikan amalan kuarantin serta rujukan insdustri halal ikan di Malaysia.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tiada tempoh tertentu bagi proses pengkuarantinan dan tempoh memberinya makanan yang bersih. Akan tetapi ia adalah berdasarkan kepada adat setempat dan sangkaan yang kuat bahawa perubahan pada daging tersebut dan baunya yang busuk — disebabkan oleh najis yang dimakannya — telah hilang. Hal ini kerana tempoh pengkuarantinan tersebut dilihat berdasarkan kepada kesesuaian — yakni secara adatnya dan sangkaan yang kuat — mengikut saiz haiwan berkenaan.

Misalnya, haiwan yang saiznya kecil seperti burung, sudah tentu tempoh pengkuarantinan adalah lebih singkat berbanding dengan haiwan yang lebih besar seperti kambing dan unta kerana kotoran dan najis yang terkandung dalam badannya adalah berbeza bagi setiap jenis haiwan. Selain itu, makanan haiwan yang berbeza daripada segi kualiti dan faktor setempat — yakni persekitaran — juga memainkan peranan dalam mempercepatkan proses penyucian haiwan jallalah. Oleh kerana itu, tidak boleh diletakan satu tempoh yang spesifik melainkan setelah kajian yang terperinci dijalankan oleh pakar setempat.

Pada kesempatan ini juga, kami ingin mengesyorkan agar kajian saintifik yang bersifat empirikal dapat dijalankan bagi menentukan kadar tempoh pengkuarantinan yang lebih efisyen.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 16 Februari 2022 bersamaan 14 Rejab 1443H

[1] Lihat https://www.amentsoc.org/insects/glossary/terms/coprophagous.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/506-memakan-ikan-keli-yang-dipancing-dari-kolam-najis/. Diakses pada 16 Februari 2022.

[3] Lihat Kertas kerja Konsep halal dan al-Istibra’ pangasius sutchii menurut perspektif Islam dan sains akuakultur, oleh Tengku Nor Hidayati Bt Tengku Zainal Abidin et al., International Halal Conference 2016 (INHAC 2016), Academy of Contemporary Islamic Studies (ACIS).

Leave a Reply