Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ini amat meminati bola dan ke stadium, apakah hukum kita tengok bola di stadium?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami sengaja menerangkan terlebih dahulu konsep permainan bola sepak dan sejarahnya secara ringkas.

Permainan Bola Sepak

Bola sepak ialah sukan berpasukan yang dimainkan oleh dua pasukan yang mana setiap pasukan terdiri daripada 11 orang pemain yang menggunakan kaki mereka untuk mengawal bola di sekeliling padang yang berbentuk segi empat tepat, di atas rumput atau rumput buatan.

Pada amnya, hanya penjaga gol sahaja yang dibenarkan menyentuh bola dengan tangan di dalam kawasan golnya yang dipanggil kotak penalti manakala 10 pemain lainnya hanya dibenarkan menggunakan semua bahagian badannya selain daripada tangan, kebiasaannya kaki untuk menyepak, dada untuk mengawal, dan kepala untuk menanduk bola.

Pasukan yang memiliki gol terbanyak pada akhir perlawanan ialah pemenangnya. Jika sehingga masa berakhir kedua-dua pasukan seri, maka boleh dilakukan undian, pembaharuan masa ataupun tendangan penalti, bergantung kepada format penganjuran kejohanan. Undang-undang perlawanan pada awamnya dikemas kini setiap tahun oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa.

Sejarah

Berbagai-bagai jenis permainan bola juga telah diperkenalkan pada Zaman Pertengahan Eropah. Pada abad ke-19, permainan bola di sekolah-sekolah United Kingdom (yang mempunyai cara permainan yang berlainan mengikut sekolah) menjadi lebih terkenal. Lantaran itu, cara permainannya juga lebih teratur.

Undang-undang awal diperkenalkan bagi menyeragamkan cara permainan yang berlainan itu dan memudahkan pemain-pemain. Sukan bola sepak mula dimasyhurkan penjajah British di alam Nusantara melalui Risalat Peraturan Bola Sepak Yang Dinamai oleh Inggeris Football dicetak di Singapura tahun 1859.

Persatuan Bola Sepak England (The Football Association) telah ditubuhkan pada 1863 oleh beberapa kelab bola sepak. Persatuan ini berjaya menggubal undang-undang formal bola sepak yang pertama di dunia. Undang-undang ini kemudian berkembang menjadi Undang-undang bola sepak hari ini.

Urusan Undang-undang Bola Sepak dikendalikan oleh Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (International Football Association Board). Lembaga ini ditubuhkan pada 1886 dan mempunyai lapan ahli – empat wakil FIFA, empat wakil persatuan bola sepak England, Scotland, Wales dan Ireland Utara. Segala pemindaan Undang-undang Bola Sepak perlu diluluskan oleh Lembaga melalui undian majoriti.

Mengikut kajian yang dilakukan oleh Fédération Internationale de Football Association (FIFA), badan pentadbir bola sepak, yang diterbitkan dalam musim bunga 2001, lebih daripada 240 juta orang biasanya bermain bola sepak dalam lebih daripada 200 negara di seluruh pelusuk dunia. Peraturannya yang mudah dan memerlukan peralatan yang sedikit tidak syak lagi menolong penyebaran dan tumbesaran dalam popularitinya. Sebelum abad ke-21, sukan ini telah dimainkan lebih daripada 250 juta orang di lebih buah 200 negara.

Cara permainan

Bola sepak ialah sejenis permainan yang dimainkan antara dua pasukan yang mengandungi 11 orang pemain yang masing-masing cuba memenangi perlawanan dengan menjaringkan lebih gol daripada pasukan lawannya. Satu gol ialah hasil hantaran bola yang merentasi garisan gol yang terletak di antara tiang gol dan palang gol. Bola sepak dimainkan dengan menggunakan kedua-dua belah kaki, tetapi para pemain dibenarkan menggunakan semua bahagian badannya kecuali tangan. Penjaga gol yang bertugas mengelakkan bola daripada merentasi garisan gol pula dibenarkan menggunakan tangannya untuk menangkap bola di dalam kawasan penalti.

Pasukan yang menjaringkan lebih banyak gol memenangi sesebuah perlawanan. Namun, kalau kedua-dua menjaringkan jumlah gol yang sama, perlawanan itu dianggap seri. Dalam pertandingan kalah mati, bagi menentukan pemenang, masa 30 minit (masa tambahan) akan ditambah jika kedua-dua pasukan menjaringkan jumlah gol yang sama dalam 90 minit yang asal. Pasukan yang menjaringkan gol yang lebih pada masa berlebihan ini memenangi perlawanan.

Jika masa berlebihan tidak dapat menentukan pemenang, sepakan penalti akan diadakan. Setiap pasukan diberikan 5 sepakan penalti. Pasukan yang menjaringkan penalti yang lebih memenangi perlawanan.[2]

Berkenaan persoalan di atas, kami mulakan dengan kaedah fiqh:

 الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut). (Lihat al-Asybah wa al-Nazhoir, hlm.60)

Berkenaan isu stadium, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#137 Mencapai Khusyuk Ketika Solat di Stadium[1]

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum asal sesuatu perkara adalah harus selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Maka, dalam isu ini hukum menonton permainan bola sepak di stadium adalah harus. Namun, suka kami ingatkan agar tidak terlalu leka sehingga solat diabaikan, menjaga batas pergaulan di antara lelaki dan perempuan, memakai pakaian yang menutup aurat dan seumpamanya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”

Wallahu a‘lam

Nota kaki:

[1] https://maktabahalbakri.com/137-mencapai-khusyuk-ketika-solat-di-stadium/

[2] https://ms.wikipedia.org/wiki/Bola_sepak

Leave a Reply