Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya berkenaan dengan solat Jumaat. Adakah boleh solat sunat semasa khutbah Jumaat sedang dibaca oleh imam?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pertamanya, persoalan yang saudara ajukan ini telah menjadi persoalan ramai pihak, kerana terdapatnya dalil yang jelas tentang tuntutan mengerjakan solat sunat tahiyyat al-masjid apabila seseorang itu masuk ke dalam masjid dan sebelum dia duduk di dalamnya. Ini berdasarkan hadith yang thabit daripada Abu Qatadah bin Rib‘i al-Ansari R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ المَسْجِدَ، فَلَا يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ
Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu memasuki masjid, maka janganlah dia duduk sehingga dia mendirikan solat sebanyak dua rakaat.”
Riwayat al-Bukhari (1167) dan Muslim (714)
Imam al-Nawawi memperincikan hadith di atas dan membahagikannya kepada beberapa perbincangan:
Sunnah Solat Tahiyyat al-Masjid: Ini disepakati oleh ulama’ Islam, dan al-Qadi ‘Iyadh mengatakan bahawa Dawud al-Zahiri dan pengikutnya mengatakan bahawa hukum solat sunat ini adalah wajib.
Makruh Duduk Sebelum Solat: Difahami dari hadith ini isyarat yang menunjukkan hukum makruh untuk terus duduk sebelum menyelesaikan solat sunat tahiyyat al-masjid.
Sunnah Solat Ini Pada Semua Waktu: Faedah lainnya adalah disunatkan melakukan solat sunat ini pada semua waktu, dan inilah pendapat Mazhab al-Syafi‘i. Adapun Imam Abu Hanifah, al-Auza‘ie dan al-Laith mengatakan bahawa solat ini tidak boleh dilakukan pada waktu yang dilarang untuk solat (selepas solat Subuh dan selepas solat Asar).
Fuqaha’ al-Syafi‘iyyah menjawab semula, larangan ini bersifat umum bagi setiap solat yang tidak terikat dengan sebarang sebab. Ini kerana Rasulullah SAW pernah menggantikan solat sunat Zohor 2 rakaat selepas solat Asar. Oleh yang demikian, waktu yang dilarang solat itu masih didirikan solat yang terikat dengan sebab tertentu, dan solat tahiyyat al-masjid tidak ditinggalkan pada apa jua waktu. Sebaliknya Rasulullah SAW memerintahkan seorang lelaki yang masuk ke dalam masjid lalu terus duduk semasa Baginda sedang menyampaikan khutbah, agar lelaki tersebut bangun semula untuk menunaikan solat sunat 2 rakaat, sedangkan solat semasa khutbah itu tidaklah disyari‘atkan melainkan solat tahiyyat al-masjid. Sekiranya benar solat sunat ini boleh ditinggalkan pada waktu-waktu tertentu, sudah pasti ianya perlu ditinggalkan ketika Baginda sedang khutbah itu kerana pensyari‘atan solat ini hanya sebelum duduk di dalam masjid sahaja.
Penekanan Terhadap Solat Sunat Tahiyyat al-Masjid: Rasulullah SAW menghentikan seketika khutbahnya kemudian memerintahkan lelaki yang memasuki masjid itu untuk bangun solat tahiyyat al-masjid. Jika tidak ada penekanan dalam mengambil berat tentang solat sunat ini setiap kali masuk ke masjid, nescaya Baginda SAW tidak akan menekankan lelaki tersebut untuk solat tahiyyat al-masjid, bahkan berpada dengan Baginda menyuruhnya untuk solat sunat rawatib 2 rakaat atau selainnya sahaja. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/226)
Melihat kepada penekanan dan tuntutan ini, kami bawakan sebuah lagi hadith yang menyebutkan secara jelas tentang anjuran menunaikan solat sunat tahiyyat al-masjid semasa khutbah Jumaat sedang disampaikan. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Jabir bin ‘Abdullah R.A, katanya:
جَاءَ سُلَيْكٌ الْغَطَفَانِيُّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَرَسُولُ اللَّهِ ﷺ يَخْطُبُ فَجَلَسَ فَقَالَ لَهُ: يَا سُلَيْكُ قُمْ فَارْكَعْ رَكْعَتَيْنِ وَتَجَوَّزْ فِيهِمَا. ثُمَّ قَالَ: إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ وَلْيَتَجَوَّزْ فِيهِمَا
Maksudnya: “Sulaik al-Ghatafani datang (ke masjid) pada hari Jumaat, dan Rasulullah SAW sedang berkhutbah, lalu dia (Sulaik) terus duduk. Lalu Rasulullah SAW bersabda kepadanya: ‘Wahai Sulaik, bangunlah, rukuklah 2 rakaat (solatlah 2 rakaat) dan hendaklah meringkaskan kedua-dua rakaat.’ Kemudian Baginda bersabda: ‘Sekiranya seseorang datang ke (masjid) pada hari Jumaat dan imam sedang berkhutbah maka solatlah dua rakaat dan hendaklah meringkaskan kedua-dua rakaat’.”
Riwayat al-Bukhari (930) dan Muslim (875)
Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan, disunatkan untuk solat sunat tahiyyat al-masjid ketika imam sedang menyampaikan khutbah, berdasarkan hadith Sulaik di atas, dan tidak diharuskan baginya untuk menambah lebih dari 2 rakaat tersebut. Sekiranya dia tidak dapat menunaikan solat sunat tahiyyat al-masjid ini kerana dia tidak berada di dalam kawasan masjid, maka dia tidak boleh menunaikan apa-apa solat sunat. Sekiranya orang tersebut teringat bahawa dia perlu menggantikan solat fardhu, maka dia tidak boleh menunaikannya ketika itu, bahkan solatnya tidak sah, inilah zahir pendapat yang disebutkan oleh fuqaha’ yang terkemudian.
Jika orang itu masuk pada akhir khutbah, dan pada sangkaanya dia akan terlepas takbiratul ihram bersama imam, dia tidak perlu solat sunat tahiyyat al-masjid, bahkan dia perlu kekal berdiri sehingga dilaungkan iqamah, agar dia tidak duduk di dalam masjid sebelum menunaikan solat sunat tahiyyat al-masjid. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/554)
Kesimpulan
Natijah dari perbincangan ringkas ini, kami katakan bahawa boleh, bahkan sunat bagi seseorang itu untuk menunaikan solat sunat tahiyyat al-masjid atau rawatib semasa imam sedang menyampaikan khutbah. Hal ini berdasarkan zahir perbincangan fuqaha’ al-Syafi‘yyah yang mensyaratkan:
- Solat 2 rakaat yang diringkaskan.
- Solat tersebut terikat dengan sebab yang tertentu.
- Solat sunat tersebut sempat diselesaikan sebelum khutbah tamat.
Manakala mereka yang terlewat sampai ke masjid, dan menyangka bahawa khutbah sudah hampir selesai, maka dia perlu kekal berdiri sehingga iqamah dilaungkan, dan disunatkan untuk mendirikan solat sunat tahiyyat al-masjid setelah selesai solat Jumaat.
Adapun solat sunat mutlak yang tidak terkait dengan sebarang sebab, atau solat fardhu yang perlu digantikan, kesemuanya tidak dibenarkan untuk didirikan semasa ima sedang menyampaikan khutbah.
Semoga kita semua berolah manfaat dari perkongsian ini, seterusnya mengamalkannya di dalam kehidupan kita. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a‘lam