Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah maksud bersedekah dengan menyembunyikannya sehingga tangan kiri tidak mengetahui? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab soalan di atas, kami bawakan terlebih dahulu hadith yang berkaitan soalan yang diajukan. Ia merupakan hadith yang panjang, di mana disebutkan ada tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah di hari akhirat, dan salah satu golongan tersebut ialah orang yang bersedekah dengan menyembunyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya. Hadith tersebut daripada riwayat Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ فِي ظِلِّهِ، يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ: الإِمَامُ العَادِلُ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي المَسَاجِدِ، وَرَجُلاَنِ تَحَابَّا فِي اللهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ، وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ، فَقَالَ: إِنِّي أَخَافُ اللهَ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ، إِخْفَاءً حَتَّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ
Maksudnya: “Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya; (1) Pemimpin yang adil, (2) Seorang pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Allah, (3) Seorang yang hatinya selalu terikat dengan masjid, (4) Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul dan berpisah kerana Allah juga, (5) Seorang lelaki yang diajak zina oleh wanita yang kaya dan cantik tapi dia menolaknya sambil berkata: ‘Aku takut kepada Allah,’ (6) Seseorang yang bersedekah dengan menyembunyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya, serta (7) Seorang yang berzikir kepada Allah di kala sendiri hingga menitis air matanya basah kerana menangis.”
Riwayat al-Bukhari (660) dan Muslim (1031)
Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, lafaz “حَتَّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ”, beginilah riwayat-riwayat dalam sahih al-Bukhari dan selainnya. Akan tetapi dalam sahih Muslim, riwayat ini datang dengan lafaz yang terbalik (maqlub) iaitu “حَتَّى لاَ تَعْلَمَ يَمِينُهُ مَا تُنْفِقُ شِمَالُهُ”. Al-Qadhi ‘Iyadh menyebutkan, semua naskhah (salinan) yang sampai kepada kami daripada sahih Muslim datang dengan lafaz yang susunannya terbalik (maqlub). Namun, lafaz yang tepat ialah lafaz yang pertama kerana sunnah mengikat pemberian sedekah dengan tangan kanan.
Selain daripada itu, hadith ini mengandungi keutamaan dan kelebihan sedekah, dan ia merupakan sebab kebahagian di hari akhirat. Selain itu, hadith ini juga mengandungi keutamaan dalam menyembunyikan pemberian sedekah dan menjaga atau bersungguh-sungguh dalam menyembunyikannya, agar pemiliknya (pemberi sedekah itu) termasuk dalam tujuh golongan yang mendapat kebahagiaan iaitu mereka yang mendapat naungan Allah SWT pada hari kiamat, hari di mana tidak ada naungan yang dapat melindungi mereka daripada terik matahari yang membakar, kecuali naungan daripada Allah SWT. Firman Allah SWT:
إِن تُبْدُوا۟ ٱلصَّدَقَـٰتِ فَنِعِمَّا هِىَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا ٱلْفُقَرَآءَ فَهُوَ خَيْرٌۭ لَّكُمْ
Maksudnya: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu.”
Ertinya, menyembunyikan sedekah lebih baik daripada mengumumkannya (yakni bersedekah secara terang-terangan), kecuali jika ada kepentingan yang lebih besar dalam mengumumkannya, seperti menjadi teladan bagi orang lain dalam berbuat kebaikan, dan seseorang yakin bahawa dirinya terhindar daripada sifat riya’.
Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam lagi, hikmah dalam menyembunyikan pemberian sedekah adalah untuk menjauhkannya daripada sifat riya’, yang merupakan salah satu sebab yang menghapuskan amal perbuatan, dan penolakannya ke atas pelakunya. Mungkin juga ini sebagai tanda menghormati perasaan orang miskin, malah satu bentuk penghormatan terhadap maruah mereka yang mungkin berasa rendah diri dan terhina. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/385-386).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”