Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hukum bagi seseorang yang mengerjakan solat dalam keadaan dipengaruhi oleh alkohol, tetapi dia sedar akan apa yang dilakukannya? Adakah solatnya sah?? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, arak diharamkan buat umat Islam dan berdosa besar sekiranya melakukan aktiviti yang berkaitan dengannya. Sebagai umat Islam, kita diwajibkan untuk menjauhinya dan ini merupakan perintah Allah SWT melalui firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Ma’idah: 90)

Jumhur ulama bersepakat tentang pengharaman meminum arak sama ada sedikit atau banyak. Ini kerana sifatnya yang memabukkan dan menyebabkan hilang ingatan untuk mengingati Allah SWT. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/15).

Bukan itu sahaja, malah terdapat hadith yang jelas melarang daripada sebarang penglibatan dan aktiviti berkaitan arak sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A, beliau berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصَرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَشَارِبَهَا، وَحَامِلُهَا وَالْمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ وَسَاقِيهَا وَبَائِعُهَا، وَآكِلُ ثَمَنَهَا، وَالْمُشْتَرِي لَهَا وَالْمُشْتَرَي لَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat sepuluh golongan yang ada hubung kait dengan arak iaitu orang yang memerah arak, orang yang meminta arak diperah, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang dibawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, orang yang menjualnya, orang yang memakan hasil jualan arak, orang yang membeli arak dan yang dijual untuknya.”

Riwayat al-Tirmizi (1295)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan dalam pandangan syarak, adalah diharamkan bagi seseorang yang sedang mabuk untuk melakukan solat kerana keadaan mabuknya yang mengakibatkan ketidakmampuan untuk menjalankan solat dengan sempurna. Individu yang dalam keadaan mabuk tidak dapat menyedari atau memahami apa yang diucapkan dalam solat, disamping akal dan  pemikirannya tertutup. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan.

(Surah al-Nisa: 43)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini bliau menyatkan bahawa: Allah melarang hamba-hamba-Nya yang  beriman  daripada melaksanakan solat dalam keadaan mabuk yang mana dia tidak mengetahui apa yang diucapkannya dalam solat. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/308)

Namun dalam isu ini, individu yang mengambil minuman keras atau alkohol tetapi tidak sampai ke tahap yang  memabukkan atau menutupi akal, maka solatnya itu dikira sah kerana dia dianggap masih waras dan sedar apa yang diucapkan semasa  solat disamping rukun dan syarat solat dilakukan dengan sempurna.

Imam al-Syafi’i menyatakan dalam kitabnya al-Umm bahawa: Bagi orang yang solat dalam keadaan mabuk, solatnya tidak sah, kerana larangan Allah SWT  kepadanya untuk  solat sehingga dia menyedari apa yang diucapkannya.  Oleh itu, jika seseorang solat dalam keadaan mabuk, dia perlu mengulangi solatnya setelah  kembali waras. Namun, jika seseorang yang  minum minuman yang diharamkan tetapi tidak mabuk, dia berdosa dalam mengambil minuman tersebut  tetapi tidak perlu mengulangi solatnya kerana dia masih waras dan menyedari apa yang diucapkannya, berbeza dengan orang yang mabuk dan tidak memahami apa yang diucapkannya. (Lihat al-Umm, 1/87-88)

Syeikh Ibn Baz dalam isu ini  menyebutkan  bahawa: Solatnya dianggap sah jika dia solat dalam keadaan waras, di mana kesan mabuk telah hilang. Dia hendaklah berwuduk dan menunaikan solat. Namun, jika dia dalam keadaan mabuk, solatnya dianggap tidak sah kerana dia tidak waras. (Lihat Fatawa Nur ala Darb, 6/25)

Begitu juga Syeikh ‘Abd al-’Aziz al-Tarifi menyatakan: Bagi orang yang minum arak tetapi akalnya masih waras seperti yang minum dalam jumlah sedikit, atau minum dalam jumlah yang banyak tetapi tidak sampai membuatnya mabuk kecuali dalam jumlah yang sangat melampau maka, dia telah berdosa dan wajib dikenakan hukuman yang ditetapkan. Namun solatnya dianggap sah kerana  akalnya yang masih waras. (Lihat al-Tafsir wa al-Bayan li Ahkam al-Quran, 2/343)

Justeru kami katakan solat yang dilakukan oleh seseorang yang mengambil minuman alkohol masih dianggap sah apabila dia masih dalam keadaan waras dan memahami sepenuhnya apa yang diucapkannya semasa solat. Namun, apabila minuman alkohol  diambil secara berlebihan sehingga  menyebabkan mabuk dan hilangnya kewarasan, solat yang dilaksanakan  pada ketika itu dianggap tidak sah dan perlu diganti semula.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahua’lam

Leave a Reply