Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Soalan saya berkisarkan status lafaz talak yang meletakkan syarat “jatuh talak tiga sekiranya suami suka dan bernafsu kepada perempuan lain.” Adakah sah lafaz talak yang samar-samar begini? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, perbincangan mengenai talak ta‘liq ini sebenarnya telah banyak kami bincangkan dalam artikel-artikel sebelum ini, saudara boleh merujuk beberapa masalah yang berkaitan dengannya di dalam artikel-artikel berikut:

Taʻliq  yang dimaksudkan ialah suami menggantungkan talak kepada isterinya dengan sifat atau syarat  yang dikaitkan dengan isteri atau orang lain atau berlaku pada masa  hadapan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/128)

Fuqaha’ ada membincangkan masalah ta‘liq pada talak ini yang kebiasaannya diketahui dengan beberapa perkataan tertentu. Sebagai contoh, seperti yang pernah kami bawakan, perkataan yang digunakan bagi ta‘liq talak ini seperti perkataan “jika”, “apabila”, “kalau” dan seumpamanya. Sebagai contoh, si suami berkata kepada isterinya: “Kamu tercerai sekiranya keluar daripada rumah ini”. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adilatuhu, 7/444)

Nafsu menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat bermaksud, keinginan yang keras, kehendak hati yang kuat, kemahuan yang kuat, dan dorongan hati. Meneliti definisi ini, menjadi persoalan kepada beberapa pihak tentang status ta‘liq talak tersebut sama ada masih boleh berlaku atau tidak, kerana perkara yang melibatkan keinginan hati ini adalah perkara yang tersembunyi dan tidak boleh diketahui melainkan oleh pemilik hati tersebut. Oleh yang demikian, bagaimana kita ingin mengatakan bahawa talak itu terjatuh atau tidak?

Kami melihat masalah ini menyerupai masalah syak wasangka pada talak yang dibincangkan oleh fuqaha’ terdahulu. Syak berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat bererti  rasa kurang percaya (kurang yakin), curiga, sangsi, waswas, dan sebagainya. Yang demikian kerana nafsu itu tidak dapat diketahui oleh orang lain secara pasti, sebaliknya ia hanya kebarangkalian yang ditimbulkan oleh orang sekelilingnya. Manakala hakikat sama ada si suami itu timbul nafsunya terhadap wanita lain, perkara itu hanya diketahui olehnya dan Allah SWT sahaja.

Al-Khatib al-Syirbini mengatakan, syak dalam talak ini terbahagi kepada 3:

  • Syak pada talak itu sendiri: iaitu talak yang dilafazkan itu terjatuh atau tidak, syak sama ada sifat dan syarat yang dikaitkan itu berlaku atau tidak.
  • Syak pada bilangan talak: Sama ada talak yang terjatuh itu, talak satu, dua, atau tiga.
  • Syak pada orang yang ditujukan talak: Seperti seorang suami yang mentalakkan salah seorang dari isterinya, kemudian dia terlupa mana satu isteri yang ditalakkan tersebut.

Masalah yang saudara ajukan ini termasuk di dalam syak pada talak itu sendiri, kerana terdapat syak pada ta‘liq yang diletakkan oleh si suami, iaitu nafsu. al-Khatib berkata, talak tersebut tidak dihukumkan terjatuh. Beliau menukilkan, al-Mahamili mengatakan bahawa masalah ini disepakati, kerana hukum asal adalah tidak berlakunya talak dan perkahwinan tersebut kekal. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/491)

Hukum ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الْيَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ

Maksudnya: “Keyakinan tidak dihilangkan dengan syak.”

Kaedah ini bermaksud, sesuatu perkara yang diyakini tidak boleh diangkat semata-mata kerana timbulnya syak atau keraguan, dan tidak dihapuskan keyakinan itu semata-mata kerana keraguan. Ini kerana, sesuatu perkara itu tidak dapat dihilangkan oleh sesuatu yang lebih lemah daripadanya, dan tidak pula boleh ditentang melainkan ia serupa atau lebih kuat. Keyakinan juga tidak diangkat hukumnya dengan keraguan, iaitu al-Syak, sama ada ia sama atau salah satunya diutamakan (iaitu dengan al-Zan), dan inilah yang disokong oleh hujjah akal. (Lihat al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba‘ah, 1/97)

Bagi menjelaskan lagi perkara ini, kami meringkaskannya seperti dalam noktah yang berikut:

  • Perkara yang diragui dalam situasi ini: Nafsu suami terhadap wanita lain, dan jatuh sukanya terhadap wanita tersebut.
  • Perkara yang diyakini: Suami dan isteri masih dalam ikatan perkahwinan yang sah.
  • Natijah: Ikatan perkahwinan itu tidak akan terbubar kerana keraguan pada nafsu perasaan hati si suami.

Akan tetapi, keraguan atau syak ini boleh terangkat sekiranya si suami menzahirkan dengan jelas kecenderungan nafsunya terhadap wanita lain. Maka pada ketika itu, tidak terdapat lagi syak pada sifat dan syarat ta‘liq yang diletakkan, dan ini mengakibatkan talak tersebut dikira telah terjatuh sepertimana kes-kes ta‘liq talak yang lain. Ini bertepatan dengan sebuah riwayat daripada Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

المُسْلِمُونَ عِنْدَ شُرُوطِهِمْ مَا وَافَقَ الْحَقَّ

Maksudnya: “Orang Islam terikat dengan syarat-syarat yang ditetapkan, selama mana ia menepati kebenaran.”

Riwayat al-Hakim (2345)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan yang kami bawakan, hukum ta‘liq talak dengan keinginan hati ini dapat dibahagikan kepada dua keadaan:

  • Sekiranya si suami tidak menzahirkan kecenderungan hatinya terhadap wanita lain, sebaliknya ia hanya lintasan di dalam hatinya, maka ta‘liq tersebut bersifat syak dan talak tidak boleh terjatuh.
  • Sekiranya si suami menzahirkan nafsu dan kecenderungan hatinya terhadap wanita lain, maka tidak ada lagi sebarang syak atau kesamaran terhadap ta‘liq yang diletakkan. Oleh itu, talak tersebut boleh terjatuh apabila dia menzahirkannya.

Kami mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan kepada semua umat Islam agar tidak mengambil mudah berkenaan ta‘liq dalam talak. Sementelahan lagi, talak itu sendiri merupakan perkara halal yang amat dibenci oleh Allah SWT. Diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ

Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.”

Riwayat Abu Daud (2178)

Semoga, Allah SWT sentiasa memberikan kita sakinah, mawaddah dan rahmah bersama dengan pasangan kita, serta dapat membina rumahtangga yang harmoni sehingga ke Syurga-Nya. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply