Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apa hukum bagi seseorang yang mengatakan bahawa dia tidak percaya kepada al-Quran ketika dia dalam keadaan marah yang teruk, dan adakah tindakan ini menjadikan dia keluar dari agama Islam kerana perkara ini berpunca daripada perdebatan dengan orang lain? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا آمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي نَزَّلَ عَلَىٰ رَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي أَنزَلَ مِن قَبْلُ ۚ وَمَن يَكْفُرْ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا بَعِيدًا ‎

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.”

(Surah al-Nisa’: 136)

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, ayat ini memerintahkan untuk beriman kepada Allah, Rasul-Nya, Al-Quran, dan kitab-kitab sebelumnya. Semua ini merupakan iman yang wajib bagi seorang hamba, yang tidak dapat dianggap beriman kecuali jika ia beriman kepada semuanya ini. Secara umum, ini mencakup semua hal yang belum dijelaskan secara terperinci apa yang telah diketahui tentang iman ini. Sesiapa yang beriman kepada iman yang diperintahkan ini, maka dia telah mendapat petunjuk dan keberhasilan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 209).

Ibn al-‘Attar yang menyatakan bahawa sesiapa yang mengingkari kitab Taurat, Injil dan kitab-kitab Allah yang lain yang diturunkan atau kufur dengan kitab-kitab tersebut, atau melaknatnya, atau mencacinya, atau merendah-rendahkan dengannya, maka dia telah dikira kufur atau kafir. (Lihat al-I‘tiqad al-Khalis min al-Syak wa al-Intiqad, hlm. 168-169).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan sebagai umat islam beriman kepada kitab termasuk al-Quran adalah suatu kewajipan kerana ia termasuk dalam salah satu daripada rukun-rukun iman. Kewajipan ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan  Umar Bin al-Khattab bahawa Rasulullah bersabda:

أَنْ تُؤْمِنَ بِاَللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّه

Maksudnya:  Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah, dan malaikat-Nya, dan segala kitab-Nya, dan para Rasul-Nya, dan engkau beriman kepada takdir-Nya yang baik dan yang jahat.

Riwayat Muslim(8)

Sebagai seorang muslim adalah menjadi kewajipan untuk mengagungkan dan memuliakan al-Quran dan menjauhi segala perkara atau kata-kata yang menafikan kemuliaan al-Quran kerana ia boleh membawa kepada kekufuran dan terkeluar daripada islam. Firman Allah SWT:

ذَلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maksudnya: “Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.”

(Surah al-Hajj:32)

Diriwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

مَنْ جَحَدَ آيَةً مِنَ الْقُرْآنِ فَقَدْ حَلَّ ضَرْبُ عُنُقِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengingkari satu ayat daripada al-Quran (dalam kalangan kaum Muslimin), maka halallah untuk dipancung lehernya.”

Riwayat Ibn Majah (2539)

Dalam isu ini  al-Qadhi ‘Iyadh menyatakan :  Ketahuilah bahawa sesiapa yang (dengan sengaja) merendah-rendahkan al-Quran atau sesuatu daripadanya, mencacinya, mengingkarinya tidak kira satu huruf atau satu ayat, mendustainya walaupun sebahagian daripadanya, atau dia mendustai suatu hukum dan berita yang jelas dinyatakan di dalamnya, atau mengisbatkan suatu yang dinafikannya,  menafikan suatu yang diisbatkannya, dalam keadaan dia mengetahui perkara tersebut atau dia syak pada sesuatu daripada perkara tersebut, maka dia dikira jatuh kafir di sisi ulama secara ijma‘. (Lihat al-Syifa bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa, 2/646)

Begitu juga  Imam al-Nawawi menyebutkan :   Umat telah sepakat tentang kewajipan mengagungkan Al-Quran secara mutlak, mensucikannya, dan menjaganya. Mereka sepakat bahawa sesiapa yang meremehkan Al-Quran, atau sebahagian daripadanya, atau mushafnya, atau meletakkannya di tempat kotor, atau mendustakan sebahagian hukum atau berita yang dibawanya, atau menafikan apa yang telah disbatkan, atau mensabitkan apa yang telah dinafikan, atau meragui sesuatu daripada itu, sedangkan dia mengetahui hal tersebut maka  dia telah jatuh  kafir. (Lihat al-Majmu’, 2/170)

Namun sekiranya dia terlepas dalam melafazkan kata-kata kufur tanpa adanya niat maka dia tidaklah berdosa. Hal ini sepertimana yang telah dinyatakan oleh Imam al-Syirazi bahawa:  Apa yang diucapkan oleh lidah tanpa disengajakan maka ia tidak diambil kira sebagaimana jika lidahnya terlanjur dalam melafazkan  perkataan kufur. (Lihat al-Muhazzab, 3/94 )

Justeru kami katakan diwajibkan ke atas muslim untuk menjauhi segala perkara yang membawa kepada kekufuran baik pertuturan mahupun perbuatan.  Sesiapa yang telah terlanjur melakukan hal yang sedemikian hendaklahlah dia segera meperbaharui keimanannya dengan mengucap dua kalimah syahadah di samping bertaubat dan menyesali perbuatan tersebut serta berazam tidak mengulanginya lagi.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.

Wallahua’lam

Leave a Reply