Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah harus kita menamakan masjid dengan Bani Fulan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

 إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

(Surah al-Taubah: 18)

Terdapat dua aspek dalam isu mengimarahkan masjid, iaitu membinanya dan melaziminya. Seseorang hanya dikatakan mengimarahkan masjid sekiranya dia kerap berulang alik ke masjid. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 5/9)

Menurut Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya, bahawa terdapat golongan salaf menyatakan, “Sekiranya kamu melihat seseorang mengimarahkan masjid maka perelokkanlan prasangkamu kepadanya.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 8/90)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa dibolehkan untuk menamakan masjid dengan Bani Fulan. Antara dalilnya ialah daripada Abdullah bin Umar, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَابَقَ بَيْنَ الخَيْلِ الَّتِي أُضْمِرَتْ مِنَ الحَفْيَاءِ، وَأَمَدُهَا ثَنِيَّةُ الوَدَاعِ، وَسَابَقَ بَيْنَ الخَيْلِ الَّتِي لَمْ تُضْمَرْ مِنَ الثَّنِيَّةِ إِلَى مَسْجِدِ بَنِي زُرَيْقٍ. وَأَنَّ عَبْدَ اللهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ فِيمَنْ سَابَقَ بِهَا.

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW mengadakan pertandingan antara kuda terlatih bermula dari al-Hafya’ hingga Thaniyyat al-Wada‘. Baginda SAW juga mengadakan pertandingan di antara kuda tidak terlatih yang bermula dari Thaniyyat al-Wada‘ hingga ke Masjid Bani Zuraiq.” Abdullah bin Umar R.Anhuma juga ikut serta dalam perlumbaan itu.

Riwayat al-Bukhari (420)

Justeru, tidak pelik, kadang-kadang masjid dinisbatkan kepada seseorang seperti Masjid Nabawi, Masjid Saidina Abu Bakar, Masjid Saidina Umar, Masjid Saidina Uthman, Masjid Saidina Ali, Masjid Bilal bin Rabah al-Habasyi dan juga bani-bani juga kadang-kadang dinamakan seperti Masjid al-Butsyan dan lain-lain. Yang penting, masjid hendaklah diimarahkan dan pembinaan masjid biarlah dikeranakan semata-mata kerana Allah SWT agar memperolehi pahala daripada-Nya.

Daripada Saidina Uthman bin Affan RA, katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ بَنَى مَسْجِدًا ـ قَالَ بُكَيْرٌ حَسِبْتُ أَنَّهُ قَالَ ـ يَبْتَغِي بِهِ وَجْهَ اللَّهِ، بَنَى اللَّهُ لَهُ مِثْلَهُ فِي الْجَنَّةِ

Maksudnya: “Sesiapa yang membangunkan masjid – Bukair berkata: Saya mengira Baginda menyebut, ‘demi mengharapkan redha Allah,’ –  maka Allah akan membangunkan untuknya yang serupa dengannya di dalam syurga.”

Riwayat al-Bukhari (450) dan Muslim (43)

Semoga kita termasuk di kalangan golongan yang mengimarahkan masjid dan sentiasa hadir ke masjid sebagai saksi keimanan kita. Daripada Abi Said Al-Khudri R.A bahawa Rasullullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ

Maksud: “Bila kamu semua melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid maka persaksikanlah keimanan untuknya.”

Riwayat al-Tirmizi (1060), Ibn Majah (802) dan Ahmad (3/68)

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: “Setengah riwayat menyebut orang yang begitu setia mendatangi masjid atau memelihara untuk sentiasa ke masjid.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/389)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Leave a Reply